Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengesahkan berlaku kejadian banjir kilat secara tiba-tiba di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, Kedah sekitar jam 1.20 tengah hari, ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang berlangsung.
Insiden tersebut menjejaskan kawasan perkarangan dewan peperiksaan serta beberapa bahagian sekolah, menyebabkan proses peperiksaan perlu dialihkan demi keselamatan calon.
Menurut kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), air mula naik ketika peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 sedang berlangsung.
"Susulan itu, pegawai Sektor Pengurusan Peperiksaan (SPP) JPN Kedah segera hadir ke lokasi dan mengambil tindakan pantas dengan memindahkan 17 calon yang menduduki PSV Kertas 1 ke SMK Tanjung Pauh, bagi memastikan peperiksaan dapat diteruskan mengikut ketetapan Lembaga Peperiksaan," jelas kenyataan itu.
Bagi sesi Bahasa Melayu Kertas 2, seramai 163 calon SMK Jitra termasuk calon persendirian, telah dipindahkan pula ke SMK Bandar Baru Darulaman, pusat peperiksaan alternatif yang telah disediakan lebih awal.
"Proses pemindahan dijalankan oleh pihak sekolah dengan bantuan trak polis, kenderaan guru serta sokongan waris dan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan.
"Pihak sekolah bersama SPP PPD terus melakukan pemantauan paras air secara berterusan, manakala JPN Kedah memastikan segala aspek logistik, keselamatan dan pengurusan peperiksaan dipatuhi mengikut prosedur yang ditetapkan," kongsi mereka.
Sementara itu, JPN Kedah turut menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, pasukan keselamatan dan semua yang terlibat dalam memastikan peperiksaan dapat dijalankan tanpa gangguan demi kepentingan calon.
"Keselamatan calon dan kelancaran peperiksaan adalah keutamaan kami," menurut kenyataan media itu lagi.