Sekolah Kebangsaan (SK) Gambut, Batu Pahat, Johor meneruskan usahanya melahirkan generasi mencintai alam sekitar menerusi amalan dan pelbagai inisiatif kelestarian yang dilaksanakan secara konsisten hasil sokongan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat.
Guru Besar SK Gambut, Herlman Mohd Karim berkata, murid-murid kini menunjukkan perubahan ketara dalam amalan harian sekali gus membuktikan amalan hijau yang mesra alam semakin sebati dalam diri mereka.
Malah menurutnya, amalan kitar semula mula menyerlah apabila pihak PAAB membekalkan tong-tong kitar semula mengikut kategori kaca, plastik dan sisa organik di sekolah berkenaan.
"Bahan-bahan terbuang ini kami asingkan dengan betul. Untuk sisa organik, murid-murid telah dilatih menghasilkan baja kompos yang kemudian digunakan untuk tanaman organik di kawasan sekolah.
"Pihak sekolah turut membudayakan pengurangan plastik, khususnya di kantin. Mereka menggunakan beg kertas dan bekas makanan yang dibekalkan oleh PAAB.
"Mereka juga membawa botol air sendiri dan mengurangkan penggunaan plastik pakai buang termasuk polisterin yang tidak lagi digunakan di sekolah," katanya.
Tambah Herlman, pihak sekolah turut menerapkan elemen pendidikan kelestarian tersebut melalui aktiviti seni dan hiasan seperti penggunaan botol plastik untuk menghasilkan perhiasan antaranya nama sekolah yang tertera di pagar belakang.
"Selain itu, projek rumah hijau yang baru didirikan melalui sumbangan PAAB menjadi fokus utama untuk tahun 2026, dengan perancangan memperluaskan kerjasama bersama agensi berkaitan untuk membekalkan benih tanaman.
"Kita juga akan terapkan pembelajaran berasaskan pengalaman. Murid-murid di bawah Persatuan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan menguruskan sendiri rumah hijau ini, dari proses menanam hingga menuai hasil tanaman.
"Selain itu, usaha kelestarian itu juga memberikan nilai tambah kepada proses pembelajaran terutama dalam subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), termasuk topik penanaman hidroponik sebagai sebahagian daripada pentaksiran bilik darjah (PBD) dan itu menunjukkan tahap penguasaan mereka berada pada tahap terbaik," katanya.
Sementara itu, Herlman berkata, usaha berkenaan mendapat sokongan daripada pihak PPD yang turun padang untuk memantau amalan kelestarian di sekolah berkenaan.
"Kami berjaya mengumpulkan minyak masak untuk dihantar ke PPD. Komitmen berterusan itu juga membuktikan SK Gambut bukan sahaja mendidik murid-murid secara teori tetapi melatih mereka menjadi generasi yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap pemuliharaan alam sekitar.
"Kelestarian adalah nilai hidup. Kita mahu mereka melihat, menyentuh dan mengalami sendiri proses pemeliharaan alam sekitar," katanya.