Krisis monsun: Menelusuri kesan musim tengkujuh terhadap pembangunan

Iklan

Isu musim monsun, khususnya Monsun Timur Laut, mempunyai kaitan rapat dengan perancangan dan pembangunan ekonomi Malaysia, terutamanya di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Ini menyebabkan hujan lebat, angin kencang dan banjir yang berterusan, yang memberi impak besar kepada ekonomi utama di kawasan tersebut. Antara sektor yang terjejas termasuk sektor pertanian, perikanan dan pelancongan yang merupakan nadi ekonomi bagi negeri-negeri ini.

Iklan
Iklan

Ketika musim monsun tiba, ini memberi kesan negatif terhadap sektor pertanian. Hal berkenaan menyebabkan tanaman padi mengalami kerosakan akibat banjir dan kepala air, sehingga mengakibatkan penurunan hasil tuaian serta pendapatan petani.

Oleh itu, kerajaan melalui jabatan pertanian perlu mengambil langkah awal seperti menyediakan pam air di kawasan yang berisiko dan penyelarasan bantuan bagi memastikan bekalan makanan serta pendapatan petani dapat dipulihkan segera.

Iklan

Pada masa yang sama, destinasi pelancongan utama seperti Pulau Redang dan kawasan pantai timur berisiko berhadapan cabaran apabila musim monsun tiba dengan hujan lebat dan angin kuat yang mengakibatkan peluang kunjungan pelancong berkurang. Maka, pendapatan sektor pelancongan juga turut terjejas sepanjang musim ini.

Oleh itu, langkah pemulihan termasuk promosi pelancongan musim luar monsun dan pembaikan kemudahan pelancongan perlu diusahakan bagi memulihkan sektor ini dengan lebih pantas.

Iklan

Sektor perikanan turut terjejas secara signifikan ketika musim monsun. Para nelayan tidak dapat turun ke laut akibat ombak besar dan risiko keselamatan yang tinggi, menyebabkan kekurangan bekalan ikan segar di pasaran. Hal ini memberi kesan langsung kepada kestabilan harga makanan, kerana kekurangan bekalan lazimnya menyebabkan kenaikan harga di pasaran tempatan.

Akibatnya, kos sara hidup meningkat dalam tempoh monsun, terutamanya bagi isi rumah yang bergantung kepada hasil laut sebagai sumber protein harian. Bagi nelayan kecil pula, ketiadaan pendapatan dalam tempoh ini memberi tekanan ekonomi dan psikologi, terutamanya bagi komuniti yang tidak mempunyai sumber pendapatan alternatif.

Banjir yang berlaku sepanjang musim monsun juga telah secara langsung merosakkan jaringan infrastruktur seperti jalan raya, jeti nelayan, kilang dan sistem pengangkutan.Perkara ini telah menjejaskan rantaian bekalan, memperlahankan aktiviti pengangkutan barang dan perkhidmatan serta mengakibatkan gangguan operasi perniagaan terutamanya di kawasan terjejas.

Akibat kerosakan yang dialami, kos pemulihan infrastruktur menjadi beban tambahan kepada kerajaan dan swasta, sekaligus menjejaskan pertumbuhan ekonomi jangka pendek.

Menurut laporan NADMA (2024), lebih daripada 120,000 penduduk dipindahkan setiap kali monsun melanda dan nilai kerosakan ekonomi dianggarkan melebihi RM600 juta setahun. Statistik ini menunjukkan bahawa kesan monsun bukan hanya bersifat sementara tetapi memberi impak besar terhadap kestabilan ekonomi jangka panjang.

Selain memberi impak terhadap sektor ekonomi utama, musim monsun juga menimbulkan cabaran dari segi sosial dan kesejahteraan komuniti tempatan. Bagi penduduk di kawasan pesisir pantai dan kawasan rendah, banjir yang berulang telah menyebabkan kerosakan tempat tinggal, kehilangan harta benda, serta mengganggu rutin kehidupan seharian.

Hal itu bukan sahaja menjejaskan kestabilan keluarga, malah berpotensi meningkatkan kadar kemiskinan terutama bagi kelompok B40 yang sering berada di kawasan berisiko tinggi. Keadaan tersebut menunjukkan bahawa monsun bukan sekadar fenomena alam tetapi turut menjadi punca ketidaksamarataan sosial sekiranya langkah mitigasi tidak dirancang dengan baik.

Dari segi kesihatan awam, musim monsun turut meningkatkan risiko penyakit bawaan air seperti leptospirosis, taun, cirit-birit dan penyakit kulit akibat banjir dan air bertakung.

Selain itu, peningkatan kes demam denggi sering direkodkan apabila air tidak mengalir dengan baik. Sistem kesihatan tempatan perlu lebih bersiap siaga dalam menyediakan bekalan ubat, kemudahan perubatan bergerak serta pusat rawatan sementara bagi mengelakkan peningkatan mendadak kes penyakit.

Perubahan corak monsun akibat pemanasan global dijangka menyebabkan ketidaktentuan iklim yang lebih kerap berlaku. Perkara ini telah menimbulkan risiko kepada pelbagai sektor ekonomi dan menuntut strategi pembangunan yang mampan dan berterusan.

Oleh itu, penekanan harus diberikan kepada pembangunan lestari yang mengintegrasikan aspek pengurusan sumber semula jadi, pengurangan risiko bencana dan pembangunan ekonomi inklusif demi masa depan Malaysia yang lebih stabil.

Dalam menangani masalah ini, kerajaan Malaysia perlu memperkukuhkan pelan mitigasi bencana dengan peruntukan dana khusus bagi pengurusan banjir dan pelaksanaan sistem amaran awal.

Oleh itu, agensi pengurusan bencana perlu melakukan latihan kesiapsiagaan, pembinaan pusat pemindahan sementara dan bekerjasama dengan kementerian serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelangsungan operasi ekonomi semasa monsun.

Kerajaan Malaysia telah pun melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan impak monsun, antaranya melalui penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pembangunan sistem amaran awal melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), serta pembinaan infrastruktur kawalan banjir seperti tebatan banjir, benteng sungai, sistem perangkap air bawah tanah dan empangan.

Walaupun pendekatan ini membantu mengurangkan risiko kerosakan, ia masih memerlukan penambahbaikan dari segi pelaksanaan, penyelenggaraan, peruntukan serta kerjasama antara kerajaan pusat, negeri, PBT dan komuniti setempat.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu melabur dalam infrastruktur tahan bencana seperti sistem saliran moden, empangan serta saluran air yang cekap memandangkan perkara ini sangat penting untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi musim monsun.

Pembinaan dan penyelenggaraan ini bukan sahaja melindungi aset nasional tetapi turut memberi peluang pekerjaan dan merangsang sektor pembinaan. Maka, pelaburan yang berterusan akan memastikan kestabilan ekonomi dan kelangsungan pembangunan walaupun berdepan risiko cuaca yang ekstrem.

Perubahan iklim yang mengakibatkan fenomena monsun menjadi lebih tidak menentu dan ekstrem telah menuntut pendekatan ekonomi yang lebih adaptif. Kerajaan perlu terus meningkatkan kapasiti adaptasi dengan memanfaatkan teknologi digital dan automasi untuk meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kerugian akibat bencana alam.

Dengan itu, ketika monsun memunculkan cabaran seperti gangguan aktiviti ekonomi, ia juga membuka peluang inovasi dalam teknologi pertanian, pengurusan air, dan insurans pertanian.

Teknologi terkini seperti automasi, mekanisasi dan kecerdasan buatan (AI) semakin digalakkan dalam sektor pertanian serta pengurusan bencana untuk meningkatkan daya tahan ekonomi. Sebagai contoh, penggunaan sistem pengairan automatik boleh membantu mengatasi kekurangan air dan kelembapan tanah semasa monsun. Melalui inovasi ini, sektor ekonomi boleh berkembang dengan lebih efisien dan kurang terdedah kepada kelemahan cuaca ekstrem.

Malaysia juga boleh mempelajari amalan terbaik dari negara lain yang turut berdepan risiko cuaca ekstrem. Contohnya, Jepun menggunakan sistem pengurusan air automasi bencana menggunakan teknologi IoT dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengawal aliran sungai, empangan dan sistem saliran secara masa nyata.

Bangladesh pula terkenal dengan pelaksanaan sistem tindak balas komuniti, di mana masyarakat dilatih untuk bertindak semasa kecemasan bagi meningkatkan keberkesanan pemindahan dan mengurangkan kehilangan nyawa.

Perbandingan ini menunjukkan bahawa keberkesanan pengurusan monsun bukan hanya pada teknologi moden, tetapi juga pada integrasi antara dasar, infrastruktur dan keupayaan komuniti.

Melihat kepada cabaran masa hadapan, pendekatan jangka panjang perlu memberi fokus kepada pembangunan ekonomi yang lebih berdaya tahan iklim (climate-resilient economy). Strategi ini melibatkan penggunaan teknologi pertanian moden seperti fertigasi, dron pemantauan tanaman, insurans tanaman, rumah hijau kalis banjir, serta pembangunan industri makanan berasaskan akuakultur tertutup sebagai alternatif kepada perikanan laut dalam. Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan makanan negara tidak bergantung sepenuhnya kepada keadaan cuaca luar jangka.

Sektor pelancongan juga boleh dipulihkan melalui strategi diversifikasi produk pelancongan seperti promosi pelancongan budaya, ekopelancongan hutan hujan, agro-pelancongan dan pelancongan pendidikan bagi mengatasi kebergantungan kepada pelancongan pantai yang terjejas ketika monsun.

Dengan langkah ini, impak kewangan akibat penurunan jumlah pelancong boleh dikurangkan dan pendapatan komuniti setempat dapat dikekalkan sepanjang tahun.

Di samping itu, pihak komuniti tempatan dan sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam membantu usaha kerajaan dalam menghadapi impak musim monsun dengan menyumbang kepada program kesedaran, kesiapsiagaan dan sokongan pemulihan.

Hal ini kerana inisiatif tanggungjawab sosial korporat dan kerjasama komuniti dapat mempercepatkan proses pemulihan serta memastikan solidariti sosial yang kukuh dalam menghadapi musibah. Penglibatan sektor swasta dan masyarakat sivil sangat penting dalam memperkukuh tindak balas monsun. CSR, sukarelawan komuniti dan koperasi tempatan boleh memainkan peranan dalam penyediaan sumber, bantuan kecemasan serta pendidikan kesedaran bencana. Kerjasama pelbagai pihak mampu mempercepatkan pemulihan serta meningkatkan ketahanan sosial dan ekonomi.

Secara keseluruhannya, musim monsun telah memberi kesan besar kepada sektor penting seperti pertanian, perikanan dan pelancongan yang menyumbang kepada ekonomi negara. Banjir dan cuaca buruk boleh mengganggu aktiviti ekonomi dan merosakkan infrastruktur.

Oleh itu, perancangan yang teliti dan pelaburan dalam infrastruktur tahan bencana sangat penting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang walaupun menghadapi cabaran alam seperti monsun. Monsun bukan sahaja memberi cabaran kepada pembangunan ekonomi, tetapi juga membuka peluang kepada inovasi, reformasi dasar dan pembinaan semula negara dengan lebih lestari.

Kerjasama antara kerajaan, komuniti, dan sektor swasta juga diperlukan bagi mengurangkan kesan buruk dan mempercepatkan pemulihan. Dengan persediaan yang baik, negara dapat menangani cabara musim monsun dengan lebih berkesan.

Maklumat penulis:

1 - Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Cruzs Gregory Kasim

2 - Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli