AI telah mengubah cara pelajar mengakses ilmu pengetahuan. Pelajar kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada buku teks atau guru di dalam kelas. Mereka boleh mendapatkan penjelasan melaui AI.
Ini membolehkan proses pembelajaran berlaku di luar waktu sekolah dan mengikut rentak masing-masing. Penggunaannya merangkumi pelbagai aspek termasuk pembelajaran, pekerjaan dan komunikasi.
Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang tahun 2030, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.9 bilion dalam Belanjawan MADANI 2026 untuk memperkukuh penyelidikan, pembangunan dan inovasi berkaitan AI.
Sistem pendidikan negara berada dalam keperluan mendesak untuk bersedia sepenuhnya menghadapi perubahan teknologi yang pesat. Pelajar menjadi kumpulan yang paling terkesan dengan kemasukan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke dalam bilik darjah.
Pelajar telah menggunakan aplikasi seperti ChatGPT dan Gemini bagi tujuan memahami topik yang sukar, menyiapkan tugasan, serta melakukan ulang kaji pelajaran.
Penggunaan AI telah mendorong pelajar untuk belajar secara lebih berdikari. Pelajar berupaya menyemak semula topik yang tidak difahami dan mendapatkan cadangan idea untuk tugasan.
Perkara ini memberi peluang kepada pelajar untuk membina keyakinan diri dan mengembangkan minat terhadap subjek yang dipelajari. Pelajar yang mempunyai kemahiran digital yang baik dapat memanfaatkan AI dengan lebih berkesan.
Mereka belajar dengan lebih cepat, mudah dan fleksibel. Walau bagaimanapun, tidak semua pelajar mempunyai tahap kemahiran yang sama. Ada pelajar yang berasa terbeban kerana perlu mempelajari teknologi baharu.
Ada juga pelajar yang terlalu bergantung kepada AI sehingga kurang berfikir secara kritikal. Kebergantungan ini boleh menyebabkan pelajar menjadi pasif dan tidak berusaha sendiri.
Manakala guru memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan AI berlaku secara beretika dan bertanggungjawab. Guru bukan sahaja perlu mengajar seperti biasa, tetapi juga perlu menjadi pembimbing digital.
Mereka perlu memahami teknologi AI agar dapat membantu pelajar menggunakannya dengan betul.
Guru juga perlu memantau perubahan dalam corak pembelajaran dan hasil kerja pelajar. Jika berlaku perubahan mendadak dalam kualiti tugasan, guru perlu menyiasat kemungkinan penggunaan AI secara tidak wajar.
Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan bahawa penggunaan AI dalam pendidikan merupakan satu keperluan dan bukan sekadar trend. Kementerian sedang merangka pelan strategik bagi memperluas literasi AI di semua peringkat pendidikan.
Pelan tersebut merangkumi penyediaan latihan kepada guru serta pembangunan kurikulum yang relevan dengan keperluan semasa. Cabaran utama yang dihadapi ialah kurangnya pendedahan awal kepada AI di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Ramai pelajar hanya mula mengenali AI apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti atau kolej. Selain itu, tidak semua sekolah mempunyai kemudahan digital yang mencukupi untuk menyokong penggunaan AI secara meluas.
Jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar turut menjadi isu yang perlu diberi perhatian. Jika tidak ditangani, jurang ini boleh menyebabkan ketidaksamarataan dalam akses kepada teknologi.
Langkah pertama penyediaan latihan asas AI kepada pelajar dan guru merupakan langkah awal yang penting untuk memperkukuh penggunaan teknologi secara berkesan dalam pendidikan.
Ramai pelajar masih belum memahami cara menggunakan AI dengan betul, manakala guru memerlukan kemahiran tambahan untuk membimbing pelajar secara berkesan.
Pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan segera dengan menganjurkan bengkel atau modul khas yang memberi pendedahan awal tentang penggunaan AI.
Tindakan ini dapat memastikan pelajar dan guru bersedia menghadapi perubahan teknologi dalam bilik darjah dengan penuh tanggungjawab dan beretika.
Langkah kedua mengintegrasikan AI dalam kurikulum pendidikan merupakan langkah penting yang perlu diberi perhatian. AI bukan sahaja berfungsi sebagai alat bantu pembelajaran, tetapi juga sesuai dijadikan sebagai topik pembelajaran.
Pelajar perlu dididik tentang cara menggunakan AI dengan betul, menilai maklumat yang diperoleh, dan membuat keputusan yang bijak. Pendidikan berkaitan AI perlu menekankan aspek pemikiran kritikal agar pelajar dapat menggunakan teknologi secara beretika dan berkesan.
Langkah ketiga ialah penetapan garis panduan penggunaan AI dalam tugasan akademik merupakan langkah penting dalam memastikan teknologi ini dimanfaatkan secara beretika dan bertanggungjawab.
Tanpa peraturan yang jelas, pelajar berisiko menyalahgunakan AI untuk meniru atau menyalin tugasan tanpa usaha sendiri. Penyalahgunaan ini boleh menjejaskan nilai integriti akademik dan merendahkan kualiti pembelajaran.
Oleh itu, institusi pendidikan perlu menggubal peraturan yang tegas dan terperinci berkaitan penggunaan AI dalam konteks akademik. Peraturan ini harus menjelaskan batas penggunaan AI, termasuk jenis tugasan yang dibenarkan menggunakan bantuan teknologi dan tahap interaksi yang dibenarkan.
Pelajar perlu diberi pemahaman bahawa AI adalah alat sokongan, bukan pengganti kepada usaha dan pemikiran mereka sendiri. Dengan adanya garis panduan yang jelas dan pengawasan yang berkesan, penggunaan AI dalam pendidikan dapat dikawal dan dimanfaatkan secara positif.
Ini akan memastikan pelajar bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mempunyai sikap yang bertanggungjawab dan beretika dalam dunia digital. Justeru itu, AI mempunyai potensi besar untuk memperkasa sistem pendidikan negara.
Teknologi ini boleh membantu pelajar belajar dengan lebih cekap, guru mengajar dengan lebih berkesan, dan institusi pendidikan menjadi lebih responsif terhadap keperluan masa depan.
Bagi mencapai matlamat Malaysia sebagai Negara AI menjelang tahun 2030, sistem pendidikan perlu bersedia bukan sahaja dari segi teknologi, tetapi juga dari segi pemikiran, etika dan kemahiran insaniah.
Dengan sokongan dasar kerajaan, kerjasama sektor swasta dan kesediaan warga pendidik, Malaysia mampu melangkah ke arah masa depan pendidikan yang lebih pintar, inklusif dan mampan.
AI bukan sekadar alat teknologi, tetapi merupakan rakan strategik yang akan membentuk generasi masa depan yang bijak. Pelajar bukan sahaja perlu tahu menggunakan teknologi, tetapi juga perlu tahu bagaimana untuk mencipta masa depan dengannya.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Syadira Eizwin Binti Zakaria.
2) Penyelaras Kursus Peranangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT,Jaharuddin Padli.