Usaha Malaysia memperkukuh penggunaan kenderaan elektrik (EV) berada pada landasan yang positif, namun masih berhadapan cabaran besar terutama dari segi penyediaan kemudahan pengecasan.
Kekurangan stesen pengecas EV menjadi antara faktor utama yang menghalang peningkatan jumlah pengguna, sekali gus memberi kesan ketara kepada perkembangan ekonomi negara serta kemampuan Malaysia menarik pelaburan asing dalam sektor teknologi hijau.
Setakat 30 September 2025, Malaysia hanya mempunyai 5,149 unit pengecas awam EV di seluruh negara, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Angka ini masih jauh daripada sasaran kerajaan untuk mencapai 10,000 pengecas menjelang hujung tahun 2025. Data daripada MIDA pula menunjukkan bahawa sehingga Oktober 2024, hanya 956 pengecas pantas (DC) dan 2,398 pengecas arus ulang (AC) telah dipasang.
Majoriti infrastruktur ini tertumpu di kawasan bandar seperti Lembah Klang, menyebabkan pengguna luar bandar terus ketinggalan dari segi akses mobiliti hijau.
Kelemahan penyediaan pengecas ini membawa kesan langsung kepada ekonomi negara. Malaysia mensasarkan pertumbuhan ekonomi antara 4.5% hingga 5.5% pada tahun 2025, dengan industri teknologi hijau merupakan sektor tumpuan yang berpotensi menjana pendapatan baharu negara.
Namun, tanpa infrastruktur pengecas yang mencukupi, industri EV tidak dapat berkembang secara optimum, seterusnya menjejaskan usaha kerajaan menarik pelaburan berkaitan teknologi bateri, pemasangan EV, serta penyelidikan dan pembangunan automotif elektrik.
Pelabur antarabangsa lazimnya memilih negara yang mempunyai ekosistem EV yang lengkap dan stabil. Thailand dan Indonesia kini lebih agresif membangunkan infrastruktur EV sehingga berjaya menarik beberapa syarikat automotif gergasi dunia.
Jika Malaysia tidak mempercepat pembangunan rangkaian pengecas, negara berisiko kehilangan peluang ekonomi yang besar termasuk peluang pekerjaan baharu dalam sektor berkemahiran tinggi serta rantaian bekalan komponen EV.
Daripada sudut pengguna pula, kekurangan stesen pengecas menyebabkan rakyat masih ragu-ragu untuk beralih kepada EV. Isu 'range anxiety' atau kebimbangan kehabisan bateri tanpa akses pengecas paling hampir menghalang penerimaan secara besar-besaran.
Jika pengguna tidak beralih kepada EV, negara akan terus bergantung kepada petrol dan diesel, sekali gus meningkatkan keperluan subsidi bahan api yang membebankan kewangan kerajaan.
Ini memberi kesan jangka panjang terhadap struktur ekonomi negara. Selain itu, kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran agar 15 peratus kenderaan baharu yang dijual menjelang 2030 adalah EV, dan meningkat kepada 80 peratus menjelang 2050.
Namun tanpa pembangunan infrastruktur yang lebih agresif, sasaran ini sukar dicapai. Malaysia perlu memastikan kawasan bandar dan luar bandar menikmati pembangunan yang seimbang bagi mengelakkan jurang ekonomi semakin melebar.
Jika infrastruktur pengecas diperluaskan, aktiviti ekonomi setempat turut dapat dirancakkan.
Contohnya, kawasan rehat dan rawat (R&R), pusat beli-belah atau kawasan komersial yang menyediakan pengecas pantas biasanya menerima lebih banyak kunjungan pengguna kerana mereka menunggu kenderaan dicas.
Ini meningkatkan perbelanjaan domestik dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan. Dalam konteks peranan kerajaan, langkah lebih tegas perlu diambil untuk memastikan ekosistem EV berkembang secara menyeluruh.
Kerajaan boleh mewajibkan setiap pembangunan perumahan baharu menyediakan peratus minimum tempat letak kereta dengan kemudahan pengecas EV, terutamanya bagi kediaman bertingkat yang sering menjadi halangan utama kepada pemilik EV.
Kerajaan juga boleh menawarkan insentif, geran atau rebat cukai bagi menggalakkan lebih banyak syarikat menyertai industri pemasangan dan penyelenggaraan stesen pengecas.
Selain itu, adalah penting untuk kerajaan mewujudkan piawaian kebolehoperasian yang mewajibkan penyedia stesen pengecas memastikan kemudahan berfungsi sekurang-kurangnya 95 peratus sepanjang masa.
Ini bertujuan mengelakkan situasi di mana pengecas rosak berbulan-bulan tanpa dibaiki, yang terus menjejaskan kepercayaan pengguna.
Pembangunan infrastruktur pengecas EV bukan sahaja menyokong penggunaan EV, malah membuka peluang besar dalam sektor pekerjaan baharu seperti jurutera elektrik, teknisyen penyelenggaraan sistem tenaga, pereka perisian dan pengurus rangkaian tenaga.
Industri ini juga dapat merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui penyediaan peralatan pengecasan, penghasilan kabel, dan komponen elektronik.
Secara keseluruhannya, isu stesen pengecas EV yang sukar dicapai mempunyai kesan mendalam terhadap ekonomi negara, daya saing industri, menarik pelaburan asing serta kesejahteraan pengguna.
Jika kerajaan dapat mempercepat pembangunan infrastruktur dan memperkukuh insentif untuk industri EV, Malaysia berpotensi menjadi hab mobiliti hijau yang penting di Asia Tenggara.
Namun jika kelewatan berterusan, Malaysia mungkin kehilangan peluang ekonomi besar dalam era peralihan global kepada tenaga bersih.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu, Nurul Ain Nabila Nor Azman
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli