Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan pelbagai berita tragik yang berlaku di institusi pendidikan dimana tempat yang sepatutnya menjadi gedung ilmu dan tapak pembinaan sahsiah generasi muda namun kini semakin sering menjadi lokasi tercetusnya tragedi hitam seperti kes buli, rogol dan pembunuhan yang melibatkan pelajar sendiri.
Fenomena ini bukan sahaja menimbulkan ketakutan dalam kalangan ibu bapa malah menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju moral dan akhlak generasi muda masa kini.
Antara kes yang menggemparkan negara ialah kematian adik Zara Qairina, pelajar sekolah agama di Sabah yang dikaitkan dengan unsur buli sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.
Di Melaka pula, tular kes rogol yang melibatkan pelajar Tingkatan Lima terhadap pelajar Tingkatan Tiga, manakala di Selangor, kes tikaman pelajar perempuan oleh rakan sekolah sendiri di SMK Bandar Utama menggoncang hati masyarakat.
Kejadian-kejadian ini menggambarkan bahawa institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi zon selamat kini tercalar imejnya. Persoalannya, sejauh mana sekolah kita benar-benar menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak belajar dan membesar?
Realitinya, tragedi seperti ini bukanlah kes terpencil, sebaliknya cerminan kepada masalah sistem pendidikan kita. Peningkatan kes disiplin, buli, serta keganasan pelajar menunjukkan berlakunya krisis nilai dan empati dalam kalangan remaja.
Di mana silapnya sistem pendidikan kita?
Namun, isu ini tidak wajar dilihat sebagai masalah sosial semata-mata. Kes jenayah dalam kalangan pelajar sebenarnya memberi implikasi besar terhadap pembangunan ekonomi negara.
Pembangunan ekonomi tidak hanya bergantung kepada pelaburan asing atau infrastruktur moden tetapi juga kepada kualiti modal insan iaitu tenaga kerja yang berilmu, beretika dan bermoral tinggi. Pelajar hari ini ialah tenaga kerja masa depan.
Jika moral, emosi dan sahsiah mereka rosak sejak di bangku sekolah, maka produktiviti dan daya saing negara pada masa depan akan turut terjejas.
Setiap pelajar yang menjadi mangsa buli atau jenayah akan mengalami trauma mendalam, hilang keyakinan diri dan motivasi untuk belajar.
Pelajar yang melalui pengalaman keganasan di sekolah lebih cenderung tercicir daripada sistem pendidikan. Dalam konteks ekonomi, ini bermakna negara kehilangan potensi modal insan berkualiti yang sepatutnya menyumbang kepada sektor pekerjaan produktif.
Dalam jangka panjang, kadar produktiviti akan menurun, kadar pengangguran belia meningkat, dan daya saing Malaysia di peringkat global menjadi lemah.
Lebih membimbangkan, apabila sekolah gagal menjadi tempat yang selamat, masyarakat mula hilang kepercayaan terhadap sistem pendidikan.
Ibu bapa menjadi ragu-ragu untuk menghantar anak ke asrama, pelajar berasa takut ke sekolah, dan guru pula tertekan dengan tanggungjawab mendidik yang semakin mencabar.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan reputasi institusi pendidikan, malah boleh menurunkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan sosial dan keselamatan negara.
Pelabur biasanya melihat tahap keamanan dan keharmonian sosial sebagai faktor utama sebelum membuat keputusan pelaburan jangka panjang.
Untuk menangani isu ini, kerajaan perlu melaksanakan pendekatan yang menyeluruh dan berasaskan pencegahan awal. Pertama, sistem pendidikan mesti kembali menekankan pembentukan sahsiah, etika dan empati pelajar.
Pendidikan nilai tidak boleh disampaikan sekadar dalam bentuk teori dalam bilik darjah, tetapi mesti diterapkan dalam budaya sekolah dan aktiviti harian.
Program mentor-mentee, aktiviti khidmat masyarakat, serta bimbingan emosi perlu diperhebat bagi membentuk pelajar yang seimbang dari segi intelek dan emosi.
Guru pula perlu dilatih untuk mengenal pasti pelajar berisiko dan diberikan kemahiran psikologi asas untuk mengurus tingkah laku pelajar bermasalah.
Kedua, peranan ibu bapa dan komuniti tidak boleh dipandang remeh.
Pendidikan moral bermula dari rumah, bukan di sekolah. Banyak ibu bapa hari ini terlalu sibuk mencari rezeki hingga mengabaikan pemantauan terhadap tingkah laku anak-anak.
Media sosial yang bebas tanpa kawalan turut menjadi punca utama kepada budaya ejek, sindir dan buli dalam talian yang akhirnya terbawa ke dunia sebenar.
Ibu bapa harus lebih aktif memantau penggunaan gajet anak-anak dan meluangkan masa untuk memahami tekanan emosi mereka. Komuniti setempat seperti persatuan penduduk dan masjid juga boleh memainkan peranan dengan mewujudkan program interaksi sosial yang positif bagi remaja.
Selain itu, kerajaan dan pihak swasta perlu melihat keselamatan pelajar sebagai satu bentuk pelaburan ekonomi jangka panjang. Menyediakan persekitaran sekolah yang selamat bukan hanya tanggungjawab sosial, tetapi strategi penting untuk menjamin pembentukan tenaga kerja masa depan yang sihat, beretika dan produktif.
Kajian Bank Dunia menunjukkan bahawa negara yang melabur dalam keselamatan dan kesejahteraan remaja memperoleh pulangan ekonomi yang tinggi melalui peningkatan produktiviti dan penurunan kadar jenayah. Dalam erti kata lain, melindungi pelajar hari ini bermaksud melindungi kestabilan ekonomi esok.
Pihak berkuasa juga disaran memperkukuh dasar keselamatan sekolah melalui sistem pemantauan bersepadu yang melibatkan polis komuniti dan pegawai psikologi pendidikan.
Pelaporan kes buli dan jenayah di sekolah perlu dipermudahkan agar pelajar tidak takut bersuara. Setiap sekolah wajar diwajibkan mempunyai kaunselor sepenuh masa dan sistem intervensi awal bagi mengesan tekanan mental pelajar.
Langkah ini bukan sahaja mencegah tragedi, tetapi juga membina budaya kepercayaan antara pelajar, guru dan pentadbir sekolah.
Lebih daripada itu, sistem pendidikan perlu menyesuaikan diri dengan cabaran abad ke-21. Pendidikan digital dan penggunaan media sosial memerlukan kawalan serta literasi emosi yang tinggi.
Kerajaan disaran memperkenalkan modul “Kesedaran Digital dan Empati” di sekolah bagi mendidik pelajar tentang kesan buli siber dan tanggungjawab etika dalam komunikasi dalam talian.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja membentuk generasi celik teknologi, tetapi juga generasi yang berakhlak, bertanggungjawab dan menghormati nilai kemanusiaan.
Akhirnya, kita harus sedar bahawa pembangunan ekonomi yang mampan tidak akan tercapai tanpa kesejahteraan sosial. Sekolah ialah tapak pertama pembentukan modal insan negara.
Sekiranya institusi pendidikan gagal melindungi pelajarnya daripada keganasan dan jenayah, maka masa depan ekonomi negara turut terancam.
Setiap kes buli, rogol dan bunuh bukan sekadar berita sensasi di dada akhbar, tetapi amaran bahawa pelaburan terhadap generasi masa depan sedang terhakis.
Sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu memandang isu keselamatan pelajar sebagai tanggungjawab bersama. Kita tidak boleh lagi bersikap reaktif hanya selepas tragedi berlaku.
Hanya dengan memastikan sekolah kembali menjadi tempat yang aman, beretika dan mendidik dengan kasih sayang, barulah kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berakhlak mulia dan berintegriti tinggi.
Generasi inilah yang akan meneruskan perjuangan pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih sejahtera. Keselamatan pelajar hari ini bukan sekadar isu pendidikan, tetapi asas kepada kestabilan sosial dan kemakmuran ekonomi negara.
Jika kita gagal menjaga anak-anak bangsa pada hari ini, maka kitalah yang akan menyaksikan kejatuhan nilai dan masa depan negara pada hari esok.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Siti Salwa Japri
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharuddin Padli