Ketelusan sistem kesihatan swasta dipersoal, adakah insurans jadi 'lubuk emas' hospital?

Iklan
Hospital swasta tumbuh bagai cendawan lepas hujan, lengkap dengan bangunan yang serba mewah dan teknologi terkini manakala syarikat insurans pula berlumba-lumba mempromosikan pelan perlindungan yang kononnya menyeluruh dan bebas risau. Foto: Canva. Gambar kecil: Raja Anis Sharinie dan Jaharudin

Dalam dunia hari ini yang semakin kompleks dan serba pantas, kesihatan bukan lagi dilihat semata-mata sebagai soal rawatan atau penjagaan tubuh badan sebaliknya ia sudah menjadi satu urusan perniagaan yang besar.

Di Malaysia, sistem kesihatan swasta berkembang dengan begitu pesat, menawarkan pelbagai kemudahan moden, kepakaran perubatan yang tinggi dan servis yang pantas serta selesa.

Iklan
Iklan

Hospital swasta tumbuh bagai cendawan lepas hujan, lengkap dengan bangunan yang serba mewah dan teknologi terkini manakala syarikat insurans pula berlumba-lumba mempromosikan pelan perlindungan yang kononnya menyeluruh dan bebas risau.

Namun, di sebalik semua kemilau dan janji manis itu, wujud satu realiti yang semakin jelas di mana sistem ini tidak sentiasa berpihak kepada pesakit.

Iklan

Ketelusan dalam urusan kos rawatan, proses tuntutan insurans dan penjelasan polisi masih menjadi isu yang membelenggu ramai pengguna.

Foto: Canva

Iklan

Dalam banyak keadaan, pesakit terpaksa berdepan dengan caj yang tidak dijangka, tuntutan yang ditolak tanpa alasan yang munasabah dan polisi yang rumit serta sukar difahami.

Maka, walaupun sistem ini kelihatan canggih dan profesional dari luar, hakikatnya ia masih belum benar-benar telus dalam menjaga kepentingan pesakit secara menyeluruh.

Isu ini sebenarnya bukan perkara baru. Sudah lama orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati tentang caj rawatan yang tak konsisten kadang-kadang untuk rawatan yang sama, harga boleh berbeza bergantung pada hospital, lokasi atau status insurans pesakit.

Tambah pula dengan tuntutan insurans yang ditolak tanpa penjelasan yang jelas dan polisi yang ditulis dalam bahasa yang sukar difahami oleh orang biasa, seolah-olah sengaja dibuat rumit.

Semua ini dah lama jadi rungutan, tapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, keresahan makin terasa terutamanya bila kos perubatan swasta naik mendadak, jauh melebihi kadar inflasi biasa.

Kalau harga barang dapur naik, kita masih boleh buat pilihan sama ada mahu beli atau tidak. Tapi bila melibatkan kesihatan, pilihan itu jadi makin sempit.

Foto: Canva

Orang sakit tak boleh tunggu dan bila hospital swasta jadi satu-satunya jalan keluar yang cepat, ramai terpaksa bayar walaupun tak pasti kenapa bilnya setinggi itu.

Dalam keadaan macam ini, makin jelas bahawa sistem yang sepatutnya membantu pesakit sebenarnya lebih banyak menguntungkan pihak-pihak tertentu yang berada di belakang tabir sama ada hospital, syarikat insurans atau mana-mana pemain industri yang mengambil kesempatan atas keperluan mendesak orang ramai terhadap rawatan kesihatan.

Insurans kesihatan swasta

Satu perkara yang semakin ketara ialah bagaimana insurans kesihatan swasta menjadi pemain utama pada masa kini.

Ramai yang mengambil polisi insurans sebagai langkah berjaga-jaga, dengan harapan ia akan melindungi mereka daripada beban kewangan jika berlaku kecemasan.

Namun, apabila tiba masa untuk membuat tuntutan, prosesnya tidak semudah yang disangka.

Dalam banyak kes, pesakit mendapati bahawa polisi insurans kesihatan yang mereka miliki tidak meliputi keseluruhan kos rawatan seperti yang dijangkakan.

Hal ini sering kali berlaku apabila terdapat caj tambahan yang diklasifikasikan sebagai 'tidak perlu', 'di luar skop perlindungan' atau 'melebihi had kelayakan' yang ditetapkan oleh polisi.

Lebih membingungkan, caj yang dikenakan oleh hospital swasta untuk prosedur yang sama boleh berbeza-beza bergantung kepada lokasi, jenama hospital atau status perlindungan insurans pesakit.

Ketidakkonsistenan ini bukan sahaja menyukarkan pesakit untuk membuat perbandingan kos secara telus, malah menimbulkan persoalan yang lebih besar tentang ketelusan dalam penetapan harga serta kejujuran dalam pelaporan kos kepada syarikat insurans.

Dalam sistem yang sepatutnya berfungsi untuk melindungi pengguna daripada beban kewangan, wujud kebimbangan bahawa mekanisme ini telah berubah menjadi ruang manipulasi yang menguntungkan pihak penyedia perkhidmatan, sementara pesakit terus terdedah kepada ketidaktentuan dan risiko kewangan yang tidak dijangka.

Hospital swasta pula beroperasi sebagai entiti perniagaan.

Mereka perlu menjana keuntungan untuk menampung kos operasi, membayar gaji pakar, dan melabur dalam teknologi perubatan terkini.

Dalam usaha ini, insurans kesihatan menjadi saluran utama aliran tunai.

Apabila pesakit dilindungi insurans, hospital cenderung untuk mengenakan caj yang lebih tinggi dengan andaian bahawa syarikat insurans akan menanggungnya.

Namun, ini membuka ruang kepada amalan yang tidak sihat seperti overcharging, prosedur yang tidak perlu, atau manipulasi kod tuntutan. Lebih membimbangkan, pesakit sering kali tidak menyedari perkara ini.

Mereka menyerahkan kad insurans, menandatangani borang dan hanya mengetahui jumlah sebenar apabila tuntutan ditolak atau baki perlu dibayar sendiri.

Foto: Canva

Ketelusan menjadi isu utama

Dalam sistem yang sepatutnya melindungi pengguna, ketelusan menjadi isu utama.

Siapa yang menetapkan harga? Siapa yang menentukan keperluan rawatan? Dan siapa yang memantau integriti proses tuntutan?

Dalam konteks Malaysia, sistem kesihatan awam masih menjadi pilihan utama bagi majoriti rakyat.

Namun, dengan kesesakan, masa menunggu yang panjang dan kekurangan sumber, hospital swasta menjadi alternatif terutamanya bagi mereka yang mampu atau dilindungi insurans.

Ini mewujudkan jurang antara golongan yang boleh membayar untuk keselesaan dan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada sistem awam.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menangani isu ini.

Inisiatif seperti RESET cuba memperkenalkan pembaharuan dalam ekosistem insurans dan kesihatan swasta.

Bank Negara Malaysia pula memperkenalkan mekanisme kawalan kenaikan premium secara berperingkat.

Namun, kesannya masih belum dirasai secara menyeluruh.

Tanpa pemantauan yang ketat dan mekanisme pelaporan yang telus, isu ini akan terus berlarutan.

Apa yang diperlukan ialah sistem yang meletakkan pesakit sebagai keutamaan.

Ketelusan dalam penetapan harga, penjelasan yang mudah difahami tentang polisi insurans, dan mekanisme aduan yang berkesan adalah antara langkah penting.

Selain itu, pendidikan awam tentang hak pengguna dan cara memahami polisi insurans perlu dipertingkatkan.

Ramai yang membeli insurans tanpa benar-benar memahami apa yang dilindungi dan apa yang tidak.

Dalam dunia digital hari ini, teknologi boleh memainkan peranan penting.

Platform dalam talian yang membolehkan perbandingan polisi, semakan caj hospital, dan penilaian pengalaman pesakit boleh membantu meningkatkan ketelusan.

Begitu juga dengan sistem e-claim yang lebih efisien dan mesra pengguna.

Namun, teknologi sahaja tidak mencukupi ia perlu disokong oleh dasar yang adil dan penguatkuasaan yang tegas.

Akhirnya, makin jelas bahawa insurans kesihatan swasta bukan sekadar alat perlindungan ia juga telah menjadi lubuk emas buat hospital dan pengendali insurans.

Foto: Canva

Nilai kemanusiaan dan etika perubatan

Dalam sistem yang semakin komersial, nilai kemanusiaan dan etika perubatan yang sepatutnya jadi tunjang utama sudah mula tenggelam di sebalik angka dan keuntungan.

Kesihatan bukan sepatutnya dilayan seperti produk di rak pasaraya; Ia adalah hak asas setiap insan, tak kira latar belakang atau kemampuan kewangan.

Sebagai pengguna, kita memang perlu lebih peka dan berani untuk bertanya.

Jangan biarkan istilah teknikal dan prosedur yang rumit buat kita rasa kecil atau keliru. Kita ada hak untuk tahu, untuk faham dan untuk persoalkan.

Ketelusan dalam sistem kesihatan bukan satu kemewahan ia adalah keperluan yang wajib ada.

Dalam sistem yang adil, tak sepatutnya ada pesakit yang terkejut bila tengok bil hospital mereka. Yang sakit perlu dirawat, bukan dibebankan dengan angka yang tak masuk akal.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Raja Anis Sharinie Raja Alui

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my