Seramai 19 pelajar Program Kosmetologi Kolej Vokasional (KV) Keningau, bersama guru melaksanakan program rawatan kecantikan dan dandan diri kepada penghuni pusat jagaan warga emas di Holy Family Residence for Senior Citizens, Papar.
Projek komuniti yang dikenali sebagai Beyond Beauty itu menerima peruntukan daripada Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) sebagai usaha mendekatkan kolej vokasional dengan masyarakat setempat.
Ia dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan wakil pusat jagaan warga emas berkenaan, Juitah Orou @ Sister Clara, sebelum para pelajar dan guru memulakan sesi dandanan.
Rawatan yang diberikan merangkumi penjagaan kuku tangan, kuku kaki, urutan dan menggunting rambut.
Seramai lebih 40 warga emas terlibat dan mereka merupakan penghuni pusat jagaan terbabit serta staf pengurusan.
Selain perkhidmatan rawatan dan dandan diri, KV Keningau turut menghulurkan sumbangan makanan dan perhiasan perayaan Krismas yang disumbangkan oleh warga kolej.
Program turut dimeriahkan dengan aktiviti menari dan menyanyi sebagai hiburan kepada kedua-dua pihak, selain rombongan KV Keningau meluangkan masa bersembang dengan penghuni pusat jagaan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang berkata, pihaknya gembira atas pelaksanaan projek berkenaan.
Katanya lagi, ia menjadi bukti kemenjadian pendidikan kolej vokasional yang bukan sahaja melahirkan pelajar mahir dalam bidang diceburi, malah berbakti kepada masyarakat.
Pihak Holy Family Residence for Senior Citizens mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada orang awam dan boleh menghubungi pihak pengurusan pusat jagaan ini melalui talian di 088 911334 atau 013 870 9800.