Terpisah ratusan kilometer, kembar ini tetap tamatkan pengajian bersama

Iklan
Hakim (dua dari kiri) bersama adik kembarnya Hakimi selepas Istiadat Konvokesyen ke-103 UiTM, Shah Alam. Ibu bapa mereka turut hadir memberi sokongan.

Walaupun dipisahkan ratusan kilometer dan memilih universiti berbeza di dua penjuru tanah air, pasangan kembar seiras berusia 24 tahun ini tetap berkongsi satu detik manis yang sama dengan meraikan kejayaan menamatkan pengajian ijazah sarjana muda sebagai hadiah paling bermakna buat ibu dan ayah mereka.

Muhammad Hakim dan Muhammad Hakimi, anak jati Kuala Pilah, membuktikan bahawa doa keluarga lebih kuat daripada jarak. Hakim menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai pada 17 November lalu, manakala Hakimi menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Geomatik semasa Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam.

Iklan
Iklan

Kejayaan itu bukan sekadar satu pencapaian akademik tetapi simbol kasih sayang mereka terhadap ibu, Aini Ismail, 61, yang bergelar suri rumah dan ayah, Mohd Zain Mohd Aris, 66, pesara kerajaan yang membesarkan dua beradik itu dengan penuh pengorbanan walaupun tidak pernah menjejakkan kaki ke menara gading.

“Walau dipisahkan jauh oleh jarak, doa dan pengorbanan mak dan abah sentiasa menjadi tali yang menyatukan langkah kami. Ijazah ini hadiah untuk mereka,” kata Hakim.

Iklan

Hakimi pula berkongsi rasa bahawa pendidikan pertama mereka sebenarnya bermula jauh sebelum universiti.

“Walaupun ibu dan ayah tidak pernah masuk universiti, merekalah guru pertama kami. Setiap nasihat, setiap pengorbanan dan setiap doa mereka membentuk siapa kami hari ini,” katanya dengan penuh penghargaan.

Iklan

Pasangan kembar ini turut menzahirkan terima kasih kepada para guru dan pensyarah yang menjadi tunjang sepanjang perjalanan pendidikan mereka. Baginya, bimbingan dan sokongan tenaga pengajar membantu mereka menjadi lebih matang, berdikari dan bersedia melangkah ke alam dewasa.

Mereka tidak lupa menitipkan pesan kepada pelajar yang masih berjuang menuntut ilmu.

“Setiap usaha yang kita tabur hari ini akan menumbuhkan hasil esok. Jangan berhenti percaya pada diri sendiri walaupun perjalanan terasa sukar dan jauh,” pesan mereka.

Kini, sebagai graduan muda yang membawa harapan keluarga, kembar ini bersedia untuk menyumbangkan kepakaran mereka dalam bidang masing-masing kepada masyarakat, agama dan negara. Bagi mereka, kejayaan hari ini hanyalah permulaan dan kasih sayang mak serta abah kekal menjadi kompas hidup yang paling utama.