Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor mengesahkan pihaknya sedang menyiasat isu tular membabitkan seorang pelajar Tingkatan Enam di sebuah sekolah di negeri ini yang didakwa diminta untuk berhenti sekolah.
Dalam satu kenyataan, JPN Johor memaklumkan siasatan awal mendapati pelajar berkenaan telah membuat keputusan untuk berhenti sekolah atas faktor kesihatan.
Bagaimanapun, dakwaan berkaitan kelemahan pihak sekolah dalam menguruskan perkara tersebut kini sedang diteliti.
Pada masa sama, JPN Johor menegaskan bahawa peluang untuk mendapatkan pendidikan terbaik merupakan hak setiap murid.
Sehubungan itu, semua pentadbir sekolah, guru serta pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri diminta agar meningkatkan usaha bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan murid sentiasa terpelihara.