Gugup, teruja dan sarat dengan persoalan.
Itulah perasaan yang memenuhi dada beberapa pelajar yang secara sukarela tampil sebagai kumpulan praktikal bagi melaksanakan sebuah program siaran langsung.
Segmen Bual Bestari khas itu dilaksanakan secara langsung dengan hampir 20 pelajar mengendalikan keseluruhan produksi, memberi mereka peluang mengenali asas dunia pengacaraan dan kerja belakang tabir sebenar.
Tugasan yang diberikan bukan sekadar latihan biasa.
Mereka perlu bertugas seperti kru produksi profesional bermula dengan mengoperasi peralatan, mengurus audio, mengawal visual serta memastikan siaran berlangsung tanpa sebarang gangguan.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah, Muhammad Aril Farish Mohd Nazri, 16, pengalaman itu menjadi momen yang sukar dilupakan.
Ditugaskan sebagai pengadun visual, dia perlu mengawal paparan dari beberapa kamera utama agar siaran berjalan lancar.
“Saya juga bertanggungjawab mengawal fungsi teknikal peralatan untuk merakam, menyunting dan menyiarkan imej serta bunyi.
“Sebelum mula siaran langsung, memang saya berdebar tetapi atas bantuan dan tunjuk ajar kru produksi, semuanya berjalan lancar.
“Walaupun ada beberapa kesilapan, saya dan kawan-kawan dapat kendalikan dengan baik sehingga tamat siaran,” katanya.
Program Jelajah Literasi Digital TV PSS Sinar Bestari 2025 bersama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf itu menghimpunkan lebih 300 pelajar dan guru.
Bukan hanya kumpulan praktikal yang memperoleh pengalaman luar biasa, pelajar lain turut dibimbing mengenai asas kewartawanan oleh tenaga pengajar Muhammad Ikhwan Muhammad Azahari sebelum menyertai aktiviti berkumpulan menghasilkan video bertema digital.
Di sinilah bakat digilap, keyakinan dibina dan mimpi kecil mula tumbuh menjadi cita-cita besar.
Skrip hanya panduan
Berbeza pula pengalaman Muhammad Alwi Akmal Muzhaffar, 13, yang memang meminati dunia penyiaran dan secara sukarela menawarkan diri sebagai pengacara segmen Bual Bestari.
Walaupun kru produksi telah menyediakan skrip, Alwi lebih selesa berbicara secara spontan agar penyampaiannya tidak kaku.
“Biasanya untuk siaran langsung, saya sukar menghafal skrip. Jadi saya baca dan faham situasi.
“Kalau ada masalah dan terlari daripada skrip, kita boleh guna ayat sendiri tanpa ubah maklumat penting,” jelasnya.
Minat Alwi terhadap pengacaraan bukan baru.
Sejak sekolah rendah lagi dia pernah dipanggil guru bagi mengacarakan program meskipun tidak diberi maklumat penuh mengenai majlis tersebut.
“Mungkin sebab saya selesa berbual secara santai, jadi cikgu pilih saya,” katanya tersenyum.