Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
Demikian penjelasan rasmi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Menurut JPN Kedah, pihaknya memandang serius isu melibatkan jemputan seorang pempengaruh media sosial untuk merasmikan majlis anugerah akademik di sebuah sekolah di negeri itu.
"Semua pentadbir sekolah diingatkan agar memastikan sebarang jemputan kepada pihak luar mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Tetamu yang dijemput hendaklah menjadi contoh yang baik dan seiring dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara," jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, pempengaruh dan usahawan, Faiz Aizif, 23, atau lebih dikenali sebagai Faiz Soul, memuat naik video dia merasmikan majlis akademik di sebuah sekolah di Kedah sekali gus mengundang persoalan mengenai kelayakannya.
Faiz berkata, dia hadir atas kapasiti sebagai seorang usahawan dan pengarah urusan syarikat serta tiada kaitan dengan pengaruh politik.
"Ramai yang salah faham. Saya dijemput untuk memberi motivasi dan menyuntik semangat pelajar supaya belajar lebih gigih dan cemerlang di masa hadapan. Saya juga berkongsi pengalaman hidup dan perjalanan menjadi seorang usahawan, bukan untuk agenda politik.
"Saya hadir sebagai usahawan menggunakan dana sendiri dan tiada dana daripada pihak lain. Selain majlis anugerah akademik, sekolah itu turut mengadakan majlis usahawan sekolah dan atas sebab itu saya dijemput," katanya.