Ismail Sabri lulus viva PhD UUM, tesis fokus pengurusan krisis Covid-19

Iklan
Ketibaan Ismail Sabri di kampus (empat kanan) di UUM disambut oleh Ahmad Martadha (empat kiri) yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakar satu lagi pencapaian peribadi apabila berjaya melepasi sesi viva Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Isnin.

Peperiksaan lisan yang berlangsung di Bilik Viva, Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), UUM itu menyaksikan beliau lulus dengan pindaan kecil.

Iklan
Iklan

Tesis bertajuk 'Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan Tahun 2020–2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik Covid-19' meneliti pendekatan kerajaan dalam menangani krisis kesihatan awam sepanjang tempoh pandemik.

Perkara tersebut selaras dengan pengalaman beliau sebagai Perdana Menteri ketika negara berdepan cabaran getir tersebut.

Iklan

Ismail Sabri (empat kanan) membentangkan tesis bertajuk 'Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan Tahun 2020–2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik Covid-19' di UUM pada Isnin.

Sesi viva tersebut dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Kamarul Azman Khamis, Profesor Datuk Dr Sivamuragan Pandian pula bertindak sebagai pemeriksa luar manakala Profesor Madya Dr Nazariah Osman sebagai pemeriksa dalaman.

Iklan

Ismail Sabri dibimbing oleh tiga penyelia iaitu Profesor Dr Rusdi Omar selaku penyelia utama yang juga Dekan GSGSG, serta Profesor Madya Dr Che Mohd Aziz Yaacob dan Profesor Madya Dr Jessica Ong Hai Liaw sebagai penyelia kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, kelulusan penuh masih tertakluk kepada keputusan rasmi Senat Universiti seperti yang ditetapkan dalam prosedur akademik institusi pengajian tinggi tersebut.

Ketibaan beliau di kampus UUM pagi Isnin disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor.