Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan (SPL) mulai tahun hadapan kerana ia mampu mengurangkan beban tugas guru, seiring dengan penekanan terhadap keseimbangan hidup dan kerja (work-life balance -WLB).
NIOSH berkata, keputusan tersebut selari dengan usaha Kerajaan MADANI untuk menjaga kebajikan pekerja dengan memberi keutamaan kepada kesejahteraan mental dan fizikal mereka, termasuk yang bekerja dalam sektor pendidikan.
Katanya, pengurangan beban pentadbiran secara langsung ini dapat membantu guru menumpukan perhatian kepada tugas hakiki mereka, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian pendidikan.
Justeru, NIOSH ingin menegaskan bahawa WLB bukan sekadar isu kebajikan pekerja tetapi ia juga merupakan komponen penting dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
"Tekanan kerja berlebihan, waktu bekerja yang panjang serta kekurangan rehat boleh membawa kepada keletihan kronik, penurunan tahap tumpuan dan peningkatan risiko kesilapan serta kemalangan di tempat kerja," kata NIOSH dalam satu kenyataan pada Selasa.
Lebih membimbangkan, katanya, dilaporkan Malaysia berada di kedudukan kedua terburuk di dunia berkaitan WLB daripada 60 negara, berdasarkan kajian sebuah syarikat perkhidmatan sumber manusia global, Remote.
"Syarikat tersebut menganalisis data yang dikumpul pada Mac 2023 dengan mengambil kira beberapa faktor berkaitan tempat kerja seperti cuti berkanun, gaji minimum, penjagaan kesihatan, indeks kebahagiaan dan purata waktu kerja mingguan," kata kenyataan itu.
Kesan buruk berkaitan WLB ini dapat dilihat melalui beberapa insiden yang dilaporkan kebelakangan ini, termasuk kes juruterbang yang tertidur semasa penerbangan.
Insiden sebegini boleh menjadi punca kemalangan maut dan ia seharusnya menjadi peringatan jelas bahawa keletihan dan tekanan kerja boleh memberi implikasi serius terhadap keselamatan operasi dan keselamatan awam.
Sehubungan itu, NIOSH menawarkan kepakaran dalam bidang keselamatan, kesihatan dan psikologi pekerjaan dan bersedia membantu organisasi merangka, melaksana dan menilai inisiatif WLB mengikut keperluan dan konteks tempat kerja masing-masing.
"Pendekatan ini merangkumi aspek pengurusan beban kerja, kesejahteraan mental serta pembentukan budaya kerja yang sihat dan mampan," kata kenyataan itu lagi.
Pada masa sama, NIOSH turut menekankan aspek WLB dan kesejahteraan psikososial dalam modul latihan yang ditawarkan.
Antaranya kursus Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (Occupational Psychological First Aid - OPFA) yang bertujuan membantu majikan dan pekerja mengenal pasti rakan sekerja yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental agar mereka mampu memberikan bantuan awal yang sesuai.
"Melalui inisiatif ini, NIOSH berhasrat untuk meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental dan memperkukuh sistem sokongan dalaman organisasi agar intervensi awal dapat dilakukan sebelum masalah menjadi lebih serius," katanya.
NIOSH turut menyeru semua organisasi dan majikan untuk menjadikan WLB sebagai sebahagian daripada dasar dan budaya kerja bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, seimbang dan berdaya tahan.
"Majikan atau organisasi yang ingin mendapatkan khidmat nasihat daripada NIOSH boleh menghubungi mana-mana cawangan NIOSH yang berhampiran," katanya.