50 pelajar STPM daerah Kuala Pilah terima pendedahan awal dunia universiti!

Iklan
Mahasiswa anak Negeri Sembilan bersama pelajar Tingkatan Enam dari daerah Kuala Pilah, meraikan semangat pembelajaran dan aspirasi ke universiti melalui Program PERMANIS Outreach 2025.

Seramai 50 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan berpeluang menimba pendedahan awal dunia universiti menerusi Program PERMANIS Outreach 2025: Dari Bicara ke Aspirasi, Satu Langkah ke Universiti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Muhammad baru-baru ini.

Program berimpak tinggi itu bertujuan memperkasa aspirasi akademik pelajar STPM, selain membuka minda mereka terhadap pelbagai laluan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.

Iklan
Iklan

Lebih daripada sekadar sesi penerangan, program ini memberi penekanan terhadap pembinaan keyakinan diri, penetapan matlamat masa depan serta persediaan mental dan akademik dalam menghadapi cabaran pendidikan tinggi, selari dengan tema program yang mendorong pelajar melangkah daripada bicara kepada aspirasi, seterusnya ke menara gading.

Pengarah Program PERMANIS Outreach 2025, Nurussyakirah Nor Rosdi berkata, program berkenaan menjadi wadah bermakna bukan sahaja untuk pelajar STPM, malah kepada mahasiswa anak Negeri Sembilan yang pulang menyumbang bakti.

Iklan

Nurussyakirah

"Program ini bukan sekadar platform perkongsian ilmu, tetapi medan terbaik membentuk keyakinan diri dan hala tuju akademik pelajar STPM.

Iklan

"Dalam masa sama, ia membuka ruang kepada mahasiswa anak jati Negeri Sembilan untuk kembali menyumbang kepada masyarakat di negeri tercinta ibarat sirih pulang ke gagang," katanya.

Menurut beliau, program itu dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (PERMANIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Yayasan Negeri Sembilan, selain sokongan PERMANIS dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta SEMANIS Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Kerjasama rentas universiti ini mencerminkan kekuatan jaringan mahasiswa PERMANIS serta komitmen anak Negeri Sembilan dalam menyemai inspirasi dan berkongsi ilmu demi pembangunan generasi pelajar di peringkat akar umbi," ujarnya.

Para pelajar mendengar taklimat mengenai hala tuju ke IPTA daripada fasilitator.

Tambah Nurussyakirah, program ini turut menyalurkan maklumat penting berkaitan bantuan pendidikan dan sokongan kebajikan yang disediakan oleh Yayasan Negeri Sembilan, selaku badan yang sentiasa komited menyokong kebajikan pelajar negeri itu.

Sepanjang program berlangsung, para pelajar STPM mengikuti pelbagai pengisian interaktif dan berimpak tinggi termasuk Latihan Dalam Kumpulan (LDK), sesi Career Path serta Forum Bicara Sinar Mahasiswa bertemakan 'From Zero to Hero' yang memberi suntikan motivasi dan pendedahan realistik tentang kehidupan di universiti.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Penyelaras PERMANIS di Yayasan Negeri Sembilan, Firdaus Faisal.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Mohd Zain Abu; Guru Penolong Kanan SMK Tuanku Muhammad, Mohamad Hazrin Mazly dan Yang Dipertua GPMS Kuala Pilah, Muhammad Hakim Mohd Zain.

Dari kiri: Muhammad Hakim, Mohd Zain, Mohamad Hazrin, Firdaus dan Nurussyakirah semasa majlis penutup Program PERMANIS Outreach 2025: Dari Bicara ke Aspirasi, Satu Langkah.

Sesi Bicara Sinar Mahasiswa ‘From Zero to Hero’ dikendalikan oleh beberapa ahli panel yang terdiri daripada (kiri): Muhammad Hakim, Firdaus dan Nurussyakirah.