Silat fokus teknik dan mendidik

Iklan

Matlamat utama bukan semata-mata kemenangan tetapi pengalaman dan pembelajaran sepanjang latihan serta pertandingan

Pendekatan belajar sambil bermain menjadi kaedah utama jurulatih dalam melatih murid bersilat, khususnya bagi pesilat cilik yang masih di peringkat awal.

Melalui aktiviti berstruktur, permainan pergerakan dan latihan asas yang menyeronokkan, peserta diperkenalkan kepada dunia silat tanpa tekanan.

Iklan
Iklan

Jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) Negeri Sembilan, Mohd Hafizam Masri berkata, setiap gerak dilatih secara berperingkat selari dengan tahap perkembangan fizikal dan emosi pesilat.

“Untuk mereka yang umur sekitar lima tahun hingga 12 tahun, inilah asas paling penting. Kita fokus teknik asas, pergerakan betul dan disiplin, bukan terus kejar untuk menang.

Iklan

“Apabila asas kuat, insya-ALLAH, sudah besar nanti (murid-murid) senang nak pergi jauh,” katanya.

Mohd Hafizam berkata lagi, latihan dipastikan tidak terlalu keras sekali gus menyelipkan permainan, teknik berkumpulan dan pujian.

Iklan

“Kalau nampak mereka seronok datang latihan, itu tanda latihan kita menjadi. Budak-budak ini kalau tertekan, dia cepat hilang minat,” ujarnya lagi.

Pesilat cilik yang telah selesai sesi masing-masing memberikan sokongan kepada pesilat lain.

Cari pengalaman, menang kemudian

Dalam dunia silat kanak-kanak, jurulatih sering menekankan bahawa matlamat utama bukan semata-mata kemenangan tetapi pengalaman dan pembelajaran sepanjang latihan serta pertandingan.

Melalui setiap gerak langkah yang dilatih, anak-anak diajar untuk fokus, menghormati lawan dan mengawal diri, sambil menikmati proses pembelajaran secara menyeronokkan.

Kata Mohd Hafizam, pendekatan ini membolehkan mereka membina keyakinan, disiplin dan keberanian sejak usia awal, tanpa tekanan berlebihan.

“Ayat yang saya selalu guna kepada mereka bahawa 'kita pergi pertandingan untuk mencari pengalaman, tidak wajib untuk menang'. Saya yakinkan mereka bahawa berani naik gelanggang pun sudah satu kemenangan.

"Jadi, apabila mereka kurang tekanan, keyakinan itulah yang datang sendiri. Kebiasanya selepas pertandingan, mereka akan lebih matang, berani, yakin dan menghargai latihan.

“Walaupun kalah, dapat belajar kawal emosi dan bangkit semula,” katanya.

Mohd Hafizam turut berasa bangga apabila anak didiknya diangkat menjadi pesilat yang baik.

Mohd Hafizam bersama pesilat muda daripada Persatuan Silat Lincah Bandar Tasik Selatan, Nur Ainnis Qaisara menunjukkan trofi, pingat dan sijil hasil kejayaannya.

Tambah manis apabila seorang anak didiknya, Nur Ainnis Qaisara Mohd Shafie, dinobatkan sebagai pesilat terbaik kategori dini.

“Kejayaan itu adalah apabila mereka masih minat pada silat, berdisiplin dan jadi insan baik.

“Kalau mereka teruskan silat sampai dewasa, itu juga kejayaan besar bagi saya,” katanya.