Biasiswa MSU perkasa akses pendidikan

Iklan
Mohd Shukri (tengah) bergambar bersama penerima selepas majlis penyampaian Biasiswa Yayasan MSU sesi 2025/2026 baru-baru ini.

RM50 juta bantu pelajar B40 seluruh negara

Komitmen memperluas akses pendidikan berkualiti terus diperkukuh apabila Management and Science University (MSU) melancarkan Biasiswa Yayasan MSU sesi 2025/2026.

Ia membabitkan peruntukan bernilai RM50 juta, melibatkan 157 institusi pendidikan di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Inisiatif menerusi Yayasan MSU dan MSU Engage itu, selari dengan Agenda Pendidikan Manusiawi di bawah Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024–2030 yang menekankan akses, kesaksamaan dan pembangunan holistik murid tanpa mengira latar belakang atau lokaliti.

Sebanyak 144 sekolah menengah dan 13 institusi pengajian tinggi terpilih merangkumi politeknik, kolej MARA, kolej matrikulasi, kolej tingkatan enam, kolej vokasional serta institusi pendidikan Islam.

Iklan

Program ini juga melibatkan institusi dari Selangor, Sarawak, Sabah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Melaka.

Biasiswa yang ditawarkan merangkumi tajaan penuh, separa dan bantuan kewangan bagi menyokong pelajar, khususnya kategori B40, bagi melanjutkan pengajian ke MSU.

Iklan

Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, program biasiswa itu merupakan pelaburan jangka panjang bagi membangunkan bakat serta melahirkan pemimpin masa hadapan.

Menurut beliau, tumpuan turut diberikan kepada bidang berimpak tinggi seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu, Yayasan MSU menyediakan pelbagai skim penajaan termasuk President Scholarship, MSU Outstanding Rewards Scholarship, Scholarship Reward for Excellence dan Scholarship for Mobility and International Experiences.