Fenomena banjir bukan lagi perkara asing di Malaysia, malah semakin kerap berlaku hampir setiap tahun terutamanya ketika musim hujan.
Kejadian ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan penduduk, malah memberi kesan besar terhadap ekonomi tempatan. Apabila banjir melanda, banyak aktiviti harian tidak dapat dijalankan seperti biasa.
Perniagaan secara kecil-kecilan terpaksa ditutup, kemudahan awam banyak mengalami kerosakan dan penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Keadaan itu menyebabkan kehidupan masyarakat terganggu dan kos sara hidup meningkat.
Situasi tersebut ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana mangsa banjir bukan sahaja kehilangan harta benda, malah perlu menanggung beban kewangan yang besar untuk membaiki kerosakan selepas banjir surut.
Antara kesan utama banjir berulang ialah gangguan terhadap sumber pendapatan penduduk setempat. Golongan yang bekerja sendiri seperti peniaga kecil, petani dan nelayan merupakan kumpulan yang paling terkesan.
Apabila banjir berlaku, hasil tanaman rosak, kawasan tangkapan ikan terjejas dan peralatan kerja tidak dapat digunakan. Peniaga kecil pula terpaksa menutup kedai kerana kawasan perniagaan mereka berkemungkinan akan dinaiki air. Hal ini menyebabkan mereka kehilangan punca pendapatan dalam tempoh tertentu.
Bagi pekerja harian, ketiadaan kerja semasa banjir bermakna mereka tidak memperoleh sebarang pendapatan. Keadaan ini menyukarkan mereka untuk menampung perbelanjaan harian seperti makanan, sewa rumah dan keperluan keluarga.
Jelaslah bahawa banjir memberi kesan langsung kepada kehidupan ekonomi rakyat. Selain itu, banjir berulang turut memberi kesan buruk terhadap perniagaan kecil dan sederhana di peringkat tempatan. Banyak perniagaan mengalami kerugian akibat kerosakan stok, mesin dan peralatan.
Kos pembaikan yang tinggi menyebabkan peniaga terpaksa menggunakan simpanan sendiri atau membuat pinjaman. Namun, tidak semua peniaga mampu bangkit semula selepas banjir berlaku berulang kali. Ada yang terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mampu menanggung kerugian yang berterusan. Keadaan ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana pendapatan yang diperoleh hanya cukup untuk menampung keperluan asas tanpa sebarang simpanan.
Kesannya, ekonomi tempatan menjadi lemah akibat pengurangan aktiviti perniagaan. Dari sudut yang lebih luas, banjir yang berulang juga menjejaskan pembangunan ekonomi tempatan. Infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, sistem perparitan dan kemudahan awam sering rosak akibat banjir.
Kerajaan terpaksa memperuntukkan sejumlah besar wang untuk membaiki kerosakan tersebut. Dana yang sepatutnya digunakan bagi tujuan pembangunan, pendidikan dan kebajikan rakyat terpaksa dialihkan kepada kerja-kerja pemulihan. Keadaan ini menyebabkan perancangan pembangunan jangka panjang terganggu.
Selain itu, proses pemulihan yang mengambil masa lama turut menjejaskan kelancaran aktiviti ekonomi dan pergerakan penduduk. Hal ini membuktikan bahawa banjir bukan sahaja memberi kesan sementara, malah boleh membantutkan pembangunan sesuatu kawasan.
Tambahan pula, banjir berulang boleh mengurangkan keyakinan pelabur terhadap kawasan yang sering terjejas. Pelabur biasanya memilih kawasan yang selamat dan stabil untuk menjalankan perniagaan. Kawasan yang kerap dilanda banjir dianggap berisiko tinggi kerana boleh menyebabkan kerugian harta dan gangguan operasi.
Akibatnya, pelabur kurang berminat untuk melabur di kawasan tersebut. Keadaan ini menyebabkan peluang pekerjaan menjadi terhad dan pembangunan ekonomi tempatan berjalan dengan perlahan. Situasi berkenaan ibarat menampal bocor kapal, selagi punca banjir tidak ditangani dengan serius, selagi itulah masalah ekonomi akan terus berulang.
Tahukah anda, anjir berulang merupakan ancaman besar terhadap kelestarian ekonomi tempatan kerana memberi kesan kepada pendapatan penduduk, perniagaan kecil, pembangunan infrastruktur, pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur.
Oleh itu, langkah pencegahan perlu diberi keutamaan seperti menambah baik sistem perparitan, merancang pembangunan kawasan dengan lebih teratur dan menjaga alam sekitar. Kerjasama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat amat penting bagi memastikan masalah banjir dapat dikurangkan. Mencegah lebih baik daripada mengubati kerana jika masalah ini terus diabaikan, ekonomi tempatan akan terus terjejas dan kesejahteraan rakyat sukar untuk dipertahankan.
Maklumat penulis:
1 - Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Auni Yusra Zahirah Mohamed Yusof
2 - Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO 4373), UMT, Dr Jaharudin Padli Albanjari
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my