Bagi ribuan calon dan ibu bapa di seluruh negara, hujung Disember ini bukan sekadar penutup tahun persekolahan, sebaliknya detik penting yang boleh mengubah hala tuju masa depan seorang anak.
Pengumuman semakan keputusan kemasukan ke Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) bagi ambilan sesi 2026 menjadi saat yang dinanti penuh debaran.
Melalui perkongsian di laman KV d’Media, calon dimaklumkan bahawa semakan keputusan dan permohonan rayuan boleh dibuat bermula 26 Disember 2025 hingga 13 Januari 2026, dengan tarikh pendaftaran ditetapkan pada 13 Januari 2026.
Bagi yang belum berjaya, peluang rayuan masih terbuka dari 6 hingga 10 Februari 2026.
Namun di sebalik tarikh dan angka itu, tersembunyi seribu kisah harapan ibu bapa yang melihat pendidikan vokasional sebagai ruang anak membina masa depan melalui kemahiran, bukan sekadar keputusan akademik di atas kertas.
Ada yang memilih laluan ini kerana minat mendalam terhadap bidang teknikal, ada juga yang menemui keyakinan diri melalui pembelajaran berasaskan amali.
Kemahiran bekal masa depan
Pendidikan di KV dan SMT bukan lagi dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya alternatif strategik yang melahirkan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri.
Di bengkel dan makmal itulah pelajar diasah dengan disiplin, ketekunan serta kemahiran sebenar yang akan menjadi bekal memasuki alam pekerjaan atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Bagi ibu bapa, keputusan yang bakal diumumkan ini bukan sekadar tawaran sekolah tetapi peluang anak membina identiti dan masa depan mengikut kekuatan mereka sendiri.
Sama ada berjaya dalam tawaran awal atau melalui rayuan, setiap laluan tetap membawa potensi kejayaan jika disertai usaha dan kesungguhan.
Seperti pesan yang sering diulang, tidak semua kejayaan bermula dari bilik darjah konvensional.
Ada yang bermula dengan alatan di tangan, peluh di dahi dan keyakinan bahawa kemahiran juga mampu membawa seseorang melangkah jauh.
Paling penting setiap pelajar punyai inisiatif untuk terus melangkah dan mengorak kejayaan tidak kira dalam bidang akademik mahupun kemahiran!