Menjelang 2030, Malaysia dijangka mencapai status negara tua apabila lebih 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas.
Perubahan demografi ini sering dikaitkan dengan peningkatan beban kewangan dan sosial termasuk kos kesihatan yang meningkat, kekurangan tenaga kerja muda serta cabaran penyediaan perlindungan sosial.
Namun, melihat penuaan sebagai liabiliti semata-mata adalah perspektif yang sempit.
Hakikatnya, kelompok warga emas memiliki potensi besar yang boleh dimanfaatkan untuk mencorakkan sektor ekonomi baharu sekiranya negara bersedia mengubah pendekatan lama kepada strategi yang lebih inklusif dan berorientasikan masa depan.
Salah satu sektor yang berpotensi besar ialah Ekonomi Perak. Ekonomi ini merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan yang direka khusus untuk warga emas.
Sebagai contoh, peranti kesihatan pintar, pemantauan jarak jauh, teknologi bantuan mobiliti, sehingga kepada makanan tambahan, perumahan mesra usia dan gaya hidup aktif.
Peningkatan jangka hayat, kesedaran kesihatan serta kemampuan kewangan generasi emas menjadikan mereka kumpulan pengguna yang signifikan.
Malaysia berpeluang menjadi peneraju dalam pembangunan produk tempatan seperti kerusi roda robotik, sistem keselamatan rumah pintar dan aplikasi penjagaan digital yang boleh dipasarkan di peringkat serantau.
Inovasi sebegini bukan sahaja merancakkan pertumbuhan industri teknologi kesihatan, tetapi turut mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Dalam masa yang sama, sektor hartanah dan perancangan bandar perlu menekankan pembangunan komuniti mesra warga emas.
Model perumahan berintegrasi seperti retirement village, pusat penjagaan harian, unit kediaman dengan ciri keselamatan automatik dan akses kepada perkhidmatan perubatan akan menjadi keperluan utama dalam dekad akan datang.
Pelaburan dalam infrastruktur sebegini mampu membawa pulangan ekonomi yang besar, selain menyokong kesejahteraan sosial jangka panjang.
Selain sebagai pengguna, warga emas juga merupakan aset tenaga kerja yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Ramai pesara memiliki pengalaman luas dalam bidang teknikal, profesional dan keusahawanan.
Jika mereka terus disisihkan setelah mencapai umur persaraan, negara kehilangan modal insan yang berharga.
Malaysia perlu menggalakkan model pekerjaan yang lebih fleksibel seperti kerja sambilan, kontrak kepakaran, konsultasi profesional dan pekerjaan dalam talian.
Pendekatan ini bukan sahaja dapat mengekalkan produktiviti ekonomi, tetapi juga membantu sektor industri mengatasi kekurangan tenaga kerja mahir.
Program mentor antara pesara dan golongan muda boleh mempercepat pemindahan ilmu serta mengurangkan jurang kemahiran.
Di samping itu, sektor kesihatan dan penjagaan jangka panjang akan menjadi pemacu pertumbuhan utama.
Dengan peningkatan jumlah warga emas, permintaan terhadap jururawat komuniti, pengasuh profesional, pusat rehabilitasi dan hospital geriatrik dijangka meningkat dengan ketara.
Situasi ini membuka ruang pekerjaan baharu dan menggalakkan pelaburan swasta dalam penyelidikan kesihatan, rawatan penyakit kronik serta teknologi penjagaan.
Malaysia turut berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan kesihatan warga emas, memanfaatkan kos rawatan yang kompetitif dan kepakaran perubatan yang diiktiraf antarabangsa.
Gabungan rawatan perubatan, pemulihan fizikal dan pelancongan santai boleh menjadi tawaran bernilai tinggi kepada pelawat luar.
Dalam konteks sosial pula, warga emas dapat memainkan peranan penting dalam pengukuhan komuniti.
Penglibatan aktif dalam aktiviti sukarelawan, program mentor belia, pendidikan kemahiran dan projek komuniti bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah meningkatkan kesejahteraan mental warga emas itu sendiri.
Penyelidikan menunjukkan bahawa penglibatan sosial mengurangkan risiko penyakit kronik, memperbaiki kesihatan mental dan mengurangkan kos penjagaan jangka panjang.
Oleh itu, inisiatif komuniti perlu dirangka lebih sistematik agar tenaga warga emas terus disalurkan ke sektor yang memerlukan.
Bagi memastikan penuaan penduduk menjadi kekuatan negara, Malaysia perlu melaksanakan reformasi dasar yang bersepadu.
Sistem persaraan perlu diperkasa melalui skim simpanan tambahan atau insentif padanan untuk golongan berpendapatan rendah.
Perancangan bandar dan pengangkutan awam harus memberi fokus kepada reka bentuk mesra usia bagi menjamin akses dan mobiliti semua golongan.
Pendidikan sepanjang hayat juga perlu diperluaskan, dengan menyediakan kursus kemahiran digital, literasi kewangan dan pembelajaran komuniti bagi memastikan warga emas terus relevan dan berdikari.
Secara keseluruhannya, penuaan penduduk bukanlah titik kelemahan, tetapi peluang untuk Malaysia membina ekonomi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan kompetitif.
Warga emas menyumbang bukan hanya melalui pengalaman dan tenaga kerja, tetapi juga melalui kuasa beli, permintaan terhadap industri baharu serta nilai sosial yang mereka bawa.
Dengan dasar yang tepat dan pelaksanaan yang konsisten, Malaysia mampu menukar tren penuaan menjadi pemacu ekonomi baharu menjelang 2030, sekali gus membangunkan masyarakat yang menghargai setiap peringkat usia sebagai aset negara.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Skhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Farzana Mohammad Fadzil
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my