Dunia tanpa media? Mahasiswa UiTM Rembau cetus wacana melalui 'Commpulse'

Iklan

Bagaimana bentuk dunia jika media tidak lagi wujud? Persoalan besar itu menjadi nadi perbincangan dalam program Commpulse - #Disconected: A World Without Media anjuran mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau.

Program dua hari yang berlangsung pada 6 dan 7 Januari, di Dewan Biduanda itu menghimpunkan pengamal industri, ahli akademik dan masyarakat awam bagi membincangkan peranan media dalam membentuk pemikiran, kepercayaan dan literasi masyarakat moden.

Iklan
Iklan

Dianjurkan oleh pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Media, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Commpulse membawa maksud communication and pulse atau komunikasi sebagai nadi industri media. Tema #Disconnected dipilih bagi mencetuskan refleksi kritis tentang implikasi dunia tanpa media, khususnya dalam era digital yang sarat maklumat dan pengaruh.

Program itu dirasmikan oleh Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor yang menyifatkan inisiatif itu sebagai relevan dalam membentuk generasi muda berfikiran kritis serta beretika dalam penggunaan media.

Iklan

“Kita memerlukan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, malah berani mempertahankan kebenaran dengan prinsip yang kukuh dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Profesor Madya Ts Dr Noorlis Ahmad berkata, penganjuran program berskala besar tersebut membuktikan keupayaan mahasiswa mengaplikasikan teori komunikasi dalam konteks industri sebenar.

Menurut beliau, program seumpama itu menjadi platform penting untuk membentuk kepimpinan, nilai moral dan semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa, selari dengan keperluan dunia pekerjaan.

Ketua Projek, Nurul Izzah Mohamad Zaky pula menjelaskan Commpulse diwujudkan sebagai ruang dialog bersepadu yang menggabungkan elemen akademik, industri dan tanggungjawab sosial.

“Program ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada pelajar, malah membuka ruang kepada masyarakat memahami cabaran media dalam dunia tanpa sempadan,” katanya.

Sepanjang penganjuran, pelbagai pengisian menarik diketengahkan termasuk Forum Industri ‘Media Matters: Navigating Truth, Trust and Transparency’ yang menampilkan wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Presiden Malaysian Press Institute (MPI) serta wakil Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM).

Turut berlangsung ialah sesi Live Podcast MASSTalks, Forum Ikon Sukan & Media bersama Datuk Zainal Abidin Hassan dan Datuk Dollah Salleh, pameran industri pelajar, pesta buku mini serta perkongsian industri penerbitan yang menyentuh isu literasi dan kelangsungan kandungan bertulis.

Program itu turut menyaksikan pelancaran Buku Masscomm Rembau, pengenalan baju rasmi FKPM serta penyampaian sumbangan kepada Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan (PEYAKIN) sebagai simbol tanggungjawab sosial mahasiswa.

Commpulse menerima sokongan pelbagai rakan industri dan sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak, sekali gus mengukuhkan peranan institusi pengajian tinggi sebagai pemangkin wacana media dan komunikasi yang relevan dengan realiti semasa.