Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, media sosial dapat dilihat sebagai platform utama untuk berkomunikasi, pembelajaran, hiburan dan penyebaran maklumat.
Walaupun teknologi membawa banyak manfaat kepada masyarakat global namun ia juga mencetuskan fenomena yang semakin membimbangkan iaitu Short Attention Span atau mudah hilang fokus.
Fenomena ini merupakan keadaan di mana seseorang sukar menumpukan perhatian secara konsisten pada sesuatu perkara dan mudah terganggu yang menyebabkan kerja atau pelajaran menjadi kurang berkesan.
Situasi ini menjadi kebimbangan dalam masyarakat moden masa kini kerana ramai di antara masyarakat kini mudah terganggu dan sukar menumpukan perhatian dalam aktiviti harian mereka yang memberi kesan besar terhadap gaya hidup, kesihatan mental, prestasi akademik serta produktiviti pekerjaan.
Perubahan gaya hidup kini yang semakin bergantung kepada teknologi dan budaya multitasking yang dianggap normal telah melemahkan kemampuan individu untuk memberi perhatian secara menyeluruh terhadap sesuatu tugasan.
Hal ini menunjukkan bahawa persekitaran digital yang semakin berleluasa membawa perubahan kepada tumpuan manusia dalam kehidupan harian.
Oleh itu, isu short attention span wajar diberi perhatian kerana ia merupakan cabaran masyarakat dalam menyesuaikan diri dengan dunia moden yang penuh gangguan.
Antara penyumbang utama berlakunya masalah ini ialah disebabkan oleh penggunaan telefon pintar dan media sosial yang berlebihan.
Dalam dunia yang semakin moden dan bergantung kepada digital ini menjadikan telefon pintar sebagai alat yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian masyarakat.
Masyarakat kini biasanya akan menghabiskan beberapa jam setiap hari atau hampir 20 jam seminggu dengan melayari platform seperti Tiktok, Instagram, Facebook dan YouTube Shorts yang sekali gus telah mengakibatkan penurunan kepada daya fokus, menjejaskan ingatan, dan mengurangkan tahap produktiviti seseorang.
Aplikasi media sosial yang menyediakan kandungan yang menghiburkan dan menarik ini menyebabkan masyarakat mudah ketagih sehingga berlakunya masalah scroll tanpa henti yang membuatkan pengguna terus melayari media sosial tanpa sedar masa yang telah dihabiskan sehingga mengganggu rutin harian dan kualiti tidur mereka disebabkan oleh penggunaan telefon sehingga lewat malam yang secara tidak langsung menjejaskan tahap fokus dan produktiviti mereka pada siang hari.
Fenomena ini memberi kesan yang ketara terutamanya terhadap akademik dan kerjaya individu.
Dalam kalangan pelajar, Short Attention Span menyebabkan mereka hanya menumpukan perhatian dalam tempoh yang singkat yang boleh menyebabkan proses pembelajaran mereka terganggu kerana mereka mudah hilang minat, cepat bosan dan cenderung untuk membuka media sosial walaupun ketika pembelajaran sedang berlangsung.
Sebagai contoh, pelajar mungkin hanya bertahan dalam tempoh yang singkat iaitu sebelum fikiran mereka mula memikirkan perkara lain atau tangan mereka secara automatik mencapai telefon untuk melayari media sosial semasa pembelajaran sedang berlangsung.
Keadaan ini tidak hanya mengganggu pembelajaran mereka malah juga turut menyebabkan mereka ketinggalan serta sukar untuk memahami apa yang diajar, tugasan yang diberikan juga mungkin tertangguh kerana sukar untuk fokus menyiapkannya.
Situasi lain yang dapat dilihat juga ialah semasa mengulang kaji untuk peperiksaan.
Pelajar sepatutnya memberi perhatian sepenuhnya untuk mengulang kaji namun ramai antara mereka hanya belajar selama 30 minit kemudiannya terganggu oleh telefon dan meluangkan hampir satu jam untuk melayari media sosial tanpa sedar ia telah memakan masa yang lama dan mengurangkan masa mereka untuk mengulang kaji.
Akibatnya, prestasi akademik pelajar terus merosot dan motivasi untuk belajar menurun.
Kecenderungan terhadap kandungan yang pantas turut memberi kesan besar kepada tabiat dalam diri pelajar.
Ini kerana apabila pelajar sudah terbiasa dengan video ringkas dan pantas seperti di TikTok atau Reels ia menyebabkan bahan bacaan yang panjang dianggap membebankan kepada mereka.
Ramai pelajar berhenti membaca selepas hanya beberapa perenggan dan ada juga yang bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) untuk meringkaskan nota atau bab buku tanpa membaca sepenuhnya.
Walaupun kewujudan teknologi dilihat dapat membantu dari segi kefahaman dengan cepat namun ia secara tidak langsung turut mengurangkan kemahiran membaca secara mendalam dan sikap malas untuk berfikir kerana segala maklumat sudah disediakan dalam bentuk ringkas dan cepat
Golongan pekerja juga tidak terkecuali daripada fenomena Short Attention Span ini dimana ia boleh menjejaskan produktiviti serta sikap profesional mereka di tempat kerja.
Contohnya, pekerja yang terlalu kerap bermain telefon semasa bekerja akan menyebabkan mereka kurang fokus pada tugasan yang diberikan menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap kerja yang diberikan.
Kekurangan fokus ini menyebabkan seseorang itu mengambil masa lebih lama untuk menyiapkan satu tugasan yang sebenarnya boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat dan boleh menjejaskan kualiti hasil kerja serta ketidakcekapan.
Hal ini menyebabkan majikan mungkin menilai individu sebagai seorang yang kurang berdisiplin, tidak komited atau tidak mampu menjalankan tugas dengan baik.
Dalam situasi lebih serius, pekerja boleh diberikan amaran, penurunan prestasi atau kehilangan pekerjaan sekiranya masalah ini berpanjangan.
Keadaan ini menekankan bahawa fenomena short attention span bukan sahaja menjejaskan produktiviti malah boleh merosakkan reputasi individu di tempat kerja.
Walaupun media sosial dilihat dapat menghubungkan manusia tetapi sebenarnya ia turut memberi kesan terhadap kualiti hubungan sosial dalam kehidupan harian.
Masalah Short Attention Span yang semakin meluas menyebabkan interaksi manusia menjadi semakin berkurangan.
Ramai individu kini berhadapan dengan kesukaran untuk memberikan perhatian sepenuhnya ketika mendengar dan bercakap dengan orang lain disebabkan oleh short attention span yang menjadikan seseorang sukar memberikan perhatian sepenuhnya atau mendengar dengan teliti sepanjang perbualan sebelum fikiran mula melayang atau tangan mereka secara tidak sedar mencapai telefon.
Hal ini dapat dibuktikan dalam kalangan remaja pada hari ini yang kebanyakkan antara mereka apabila keluar bersama rakan lebih banyak menghabiskan masa dengan bermain telefon daripada komunikasi antara satu sama lain.
Bagi mengatasi masalah ini, langkah pencegahan yang berkesan diperlukan agar denomena ini tidak berpanjangan.
Antara pendekatan paling berkesan ialah dengan mengehadkan masa penggunaan telefon dan media sosial.
Sebagai contoh, individu cuba untuk menetapkan had masa harian untuk melayari media sosial kepada 30 hingga 60 minit sehari agar dapat membantu mengurangkan ketagihan dan mengelakkan penggunaan yang tidak terkawal.
Dengan cara ini, individu boleh melatih diri untuk lebih fokus dan menggunakan teknologi secara lebih berhemah agar dapat membantu individu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugasan penting atau aktiviti harian individu serta menjalani kehidupan yang lebih seimbang.
Kesimpulannya, fenomena Short Attention Span dapat dilihat sebagai isu yang semakin membimbangkan pada era moden dengan kewujudan digital seperti telefon pintar telah menyebabkan kemampuan fokus seseorang menjadi lemah yang sekaligus menjejaskan pelbagai aspek kehidupan dari segi akademik, kerjaya, kesihatan mental, dan kualiti hidup seseorang.
Oleh itu, usaha menangani masalah ini memerlukan individu untuk mengambil serius untuk mengubah tabiat ini dengan lebih bijak mengawal penggunaan teknologi dengan menetapkan had masa skrin.
Walaupun perubahan ini kelihatan kecil namun pengurangan masa skrin beberapa minit sehari membawa perubahan ke arah gaya hidup yang lebih seimbang.
Dengan disiplin diri dan pengurusan masa yang baik ini membantu kemampuan individu untuk memberi tumpuan sepenuhnya dan seterusnya menyumbang kepada kehidupan yang lebih seimbang serta berkesan.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Aliah Aqilah Zulkifli
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my