Permulaan persekolahan, emosi anak jangan dipinggirkan!

Iklan
Bagi seorang kanak-kanak, melangkah ke sekolah rendah bukan sekadar berpindah tempat. Ia merupakan perubahan besar dalam dunia kecil mereka. Foto: Facebook SK Kg Johan Setia. Gambar kecil: Dr Siti Noor Fauziah

Setiap kali musim persekolahan baharu menjelang, suasana menjadi sedikit kelam-kabut, namun dalam masa yang sama penuh keterujaan dan meriah.

Ibu bapa sibuk membeli pakaian seragam, kasut, beg dan buku, menjahit lencana sekolah serta menulis nama anak-anak pada kelengkapan mereka. Anak-anak pula teruja mencuba pakaian baharu sambil membayangkan dunia sekolah yang bakal ditempuhi.

Iklan
Iklan

Namun, dalam keghairahan membuat persiapan luaran ini, ada satu perkara yang sering kita terlepas pandang iaitu perasaan atau kesejahteraan emosi anak-anak kita sendiri.

Dalam kekalutan dan debaran menyiapkan anak yang bakal melangkah ke alam persekolahan formal, khususnya Tahun Satu, jarang kita berhenti sejenak untuk bertanya; adakah anak benar-benar bersedia? Apakah yang bermain dalam fikiran mereka? Apakah kebimbangan yang mereka pendam tetapi tidak tahu bagaimana untuk diluahkan?

Iklan

Hakikatnya, sokongan emosi daripada ibu bapa inilah yang menjadi penentu sama ada anak mampu melalui hari dan minggu pertama persekolahan dengan tenang, yakin dan positif.

Menurut Attachment Theoryoleh John Bowlby (1969), kanak-kanak yang mempunyai hubungan emosi yang selamat dengan ibu bapa lebih mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,termasuk persekitaran sekolah.

Iklan

Bagi seorang kanak-kanak, melangkah ke sekolah rendah bukan sekadar berpindah tempat. Ia merupakan perubahan besar dalam dunia kecil mereka.

Dari sudut psikologi perkembangan, fasa transisi ini sangat kritikal kerana pengalaman awal di sekolah akan membentuk sikap anak terhadap pembelajaran, keyakinan diri dan persepsi terhadap dunia sosial untuk jangka masa panjang.

Anak bukan sekadar perlu bersedia, tetapi perlu difahami

Ramai ibu bapa menganggap anak sudah bersedia apabila mereka boleh membaca, menulis atau mengira.

Namun, kesediaan sebenar bukan hanya terletak pada kebolehan akademik, tetapi lebih kepada kestabilan emosi dan rasa selamat dalam diri anak.

Ada anak yang kelihatan diam dan menurut, tetapi dalam diam itu tersimpan pelbagai kebimbangan seperti takut ditinggalkan, risau tidak mendapat kawan, bimbang dimarahi guru atau sekadar takut kepada suasana baharu.

Malangnya, emosi ini jarang dizahirkan secara jelas kerana kanak-kanak belum mempunyai keupayaan regulasi emosi dan perbendaharaan bahasa emosi yang matang.

Justeru, peranan ibu bapa ialah menjadi pendengar yang peka, bukan sekadar pemerhati yang menganggap semuanya baik-baik sahaja.

Pendedahan awal membina rasa bersedia

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mampu mengurus emosi sendiri dan mempunyai keyakinan diri yang baik lebih mudah terlibat dalam aktiviti pembelajaran dan menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.

Salah satu sokongan emosi paling berkesan ialah memberi pendedahan awal tentang kehidupan di sekolah rendah.

Anak-anak perlu dibantu memahami bahawa suasana sekolah rendah berbeza daripada prasekolah.

Jika sebelum ini mereka berada dalam kumpulan kecil dengan seorang guru, kini mereka akan berhadapan dengan lebih ramai guru dan rakan daripada pelbagai latar belakang.

Ruang pembelajaran juga lebih luas termasuk bilik darjah, kantin, pusat sumber, padang dan blok bangunan yang berbeza.

Mata pelajaran bertambah, jadual menjadi lebih panjang dan peraturan sekolah kini sebahagian daripada rutin harian.

Pendedahan ini bukan bertujuan menakutkan anak, tetapi membantu mereka membina gambaran awal tentang apa yang bakal dilalui.

Apabila anak dapat membayangkan pengalaman tersebut, tahap kebimbangan akan berkurang dan rasa bersedia meningkat. Dari sudut psikologi, ini adalah asas kepada penyesuaian diri yang sihat.

Dengarlah cerita mereka, walaupun kelihatan remeh

Perbualan santai antara ibu bapa dan anak sering dipandang ringan, sedangkan bagi kanak-kanak, perbualan inilah jambatan emosi yang paling kuat.

Tanyakan kepada anak bagaimana perasaan mereka apabila melihat baju sekolah, kasut baharu atau beg yang dibeli. Adakah mereka teruja atau sebenarnya ada rasa takut atau kebimbangan yang tidak terluah? Apabila anak mula berkongsi, dengarlah tanpa menghakimi dan tanpa tergesa-gesa memberi nasihat panjang.

Kadangkala anak hanya perlukan satu perkara: rasa difahami.

Ungkapan ringkas seperti 'Tak apa rasa takut, itu normal' atau 'Mama dan abah ada' mampu membina rasa selamat yang mendalam dalam jiwa anak dan menjadi asas kepada keyakinan diri serta daya tahan mental.

Hari pertama sekolah, memori emosi seumur hidup

Kehadiran ibu bapa pada hari pertama persekolahan sering dianggap perkara biasa, tetapi dari sudut psikologi, ia membawa makna yang besar.

Momen berjalan masuk ke sekolah bersama ibu bapa, melambai sebelum berpisah, atau sekadar mengetahui ibu bapa berada tidak jauh, menghantar mesej emosi yang kuat kepada anak: 'Aku tidak bersendirian'.

Pengalaman emosi positif pada hari pertama ini sering menjadi memori yang kekal hingga dewasa. Anak yang merasa disokong sejak awal lazimnya lebih mudah menyesuaikan diri, lebih berani berinteraksi dan lebih positif terhadap sekolah.

Sekolah bukan sekadar tempat, tetapi proses membentuk jiwa

Sekolah bukan hanya tempat anak belajar membaca dan mengira. Sekolah ialah ruang anak belajar mengurus emosi, membina persahabatan, mengenal diri dan membentuk keperibadian. Dalam keseluruhan proses ini, peranan ibu bapa tidak pernah terpisah.

Anak yang kuat emosinya lahir daripada rumah yang penuh empati. Anak yang yakin lahir daripada hubungan yang penuh sokongan, dan anak yang mampu menyesuaikan diri dengan dunia luar ialah anak yang sejak awal merasakan bahawa rumah sentiasa menjadi tempat paling selamat untuk kembali.

Secara tuntasnya, jika kita benar-benar mahu anak-anak membesar sebagai insan yang seimbang, persediaan persekolahan tidak boleh hanya tertumpu pada aspek luaran sahaja. Yang lebih penting ialah menyediakan hati dan emosi mereka untuk menghadapi dunia baharu.

Kerana akhirnya, beg sekolah dan baju sekolah boleh diganti, buku boleh dibeli semula, tetapi rasa selamat dalam jiwa anak hanya terbina melalui kehadiran, perhatian dan kepekaan ibu bapa.

Hari pertama sekolah adalah permulaan memori emosi seumur hidup, pastikan ia bermula dengan rasa selamat dan penuh keyakinan.

Selamat menempuhi alam persekolahan buat semua anak-anak!

Maklumat penulis:

Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Ikhtisas Pendidikan dan Siswazah, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Siti Noor Fauziah Abd Rahim

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

*Dr Siti Noor Fauziah mempunyai pengalaman hampir 12 tahun dalam bidang Psikologi Pendidikan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak, dengan fokus kepada kesejahteraan sosial dan emosi, perkembangan kognitif, pembelajaran berasaskan alam semula jadi, pendidikan alam sekitar serta pendekatan konstruktivisme dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Selain penglibatan akademik, beliau juga merupakan ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Persatuan Penyelidikan Kualitatif Malaysia (QRAM) dan Mental Illness Awareness and Support Association (MIASA Malaysia).

Beliau turut aktif sebagai sukarelawan MIASA Crisis Team Helpline, yang memberi tumpuan kepada sokongan kesihatan mental dan intervensi krisis.

Bagi Dr Siti Noor Fauziah, memahami kanak-kanak bermula dengan memahami perkembangan mereka kerana inilah kunci membentuk generasi masa depan yang cerdas dan berdaya tahan, sambil memberi mereka peluang untuk belajar dengan ceria, meneroka, bergembira dan mencabar minda.