Sejak sekian lama, kejayaan sering didefinisikan dengan cara yang hampir sama. Keputusan peperiksaan yang cemerlang, sambung belajar ke peringkat tinggi, dapat kerja 'elok' dan akhirnya bergaji besar.
Takrif ini berulang dalam nasihat ibu bapa, sistem pendidikan, malah dalam paparan media. Tanpa sedar, ramai anak muda membesar dengan satu mesej jelas, jika tidak ikut laluan ini, kamu dianggap belum berjaya.
Namun persoalannya, adakah kejayaan benar-benar boleh diukur dengan satu perkara yang sama untuk semua?
Dalam realiti kehidupan hari ini, anak muda datang daripada latar belakang yang sangat berbeza. Ada yang membesar dengan sokongan keluarga yang kukuh, ada pula yang perlu bekerja sambil belajar. Ada yang cemerlang dalam akademik, ada yang lebih menyerlah dalam kemahiran teknikal, seni, sukan atau keusahawanan.
Apabila kejayaan ditentukan hanya berdasarkan pencapaian akademik dan status pekerjaan, ramai yang sebenarnya sedang berusaha keras tetapi tidak pernah 'diiktiraf'.
Sistem pendidikan sendiri secara tidak langsung membentuk cara kita menilai nilai seseorang.
Keputusan peperiksaan sering dijadikan penanda aras utama, seolah-olah ia mencerminkan keseluruhan potensi individu. Sedangkan di luar bilik darjah, dunia sebenar memerlukan lebih daripada sekadar gred, ia memerlukan kebolehan berfikir, menyesuaikan diri, berkomunikasi dan menyelesaikan masalah.
Tidak semua kemahiran ini boleh diukur melalui peperiksaan.
Pada masa yang sama, dunia pekerjaan juga telah banyak berubah. Laluan kerjaya tidak lagi lurus seperti dahulu.
Ramai anak muda hari ini bekerja dalam ekonomi gig, membina perniagaan kecil atau meneroka kerjaya yang tidak wujud satu dekad lalu.
Kejayaan tidak lagi semestinya bermaksud kekal dalam satu pekerjaan sepanjang hayat.
Namun, takrif lama masih digunakan untuk menilai pencapaian mereka, menyebabkan usaha dan pilihan alternatif sering dipandang rendah.
Tekanan akibat takrif kejayaan yang sempit ini bukan sekadar isu sosial, tetapi juga isu kesihatan mental. Apabila kejayaan diukur hanya melalui status dan pendapatan, kegagalan relatif seperti tidak mendapat pekerjaan yang dianggap 'hebat' boleh membuatkan anak muda merasa tidak cukup baik.
Perasaan ini boleh membawa kepada kebimbangan, hilang keyakinan diri dan keletihan emosi. Lebih membimbangkan, ada yang mula merasakan hidup mereka tidak bermakna hanya kerana tidak memenuhi jangkaan masyarakat.
Selain itu, faktor ekonomi dan sosial turut mempengaruhi peluang seseorang untuk berjaya.
Tidak semua anak muda bermula di garisan yang sama.Akses kepada pendidikan berkualiti, kemudahan pembelajaran dan jaringan sokongan memberi kesan besar terhadap perjalanan hidup mereka.
Menilai kejayaan tanpa mengambil kira realiti ini seolah-olah mengabaikan usaha dan cabaran yang dihadapi oleh sebahagian besar anak muda. Hakikatnya, kejayaan mempunyai banyak wajah.
Bagi sesetengah orang, kejayaan bermaksud kestabilan hidup. Bagi yang lain, ia tentang kebebasan memilih laluan sendiri, keseimbangan hidup, kesihatan mental yang terjaga atau keupayaan menyumbang kepada keluarga dan komuniti.
Kejayaan tidak semestinya tentang menjadi yang 'terbaik', tetapi tentang menjadi versi diri yang berkembang dan bermakna.
Maka, siapa yang sepatutnya menentukan erti berjaya? Jawapannya bukan satu pihak sahaja.
Ibu bapa, pendidik, pembuat dasar, media dan masyarakat keseluruhannya perlu lebih terbuka dalam membentuk naratif kejayaan yang lebih inklusif.
Anak muda perlu diberi ruang untuk mentakrifkan kejayaan mengikut potensi dan realiti hidup mereka sendiri, tanpa sentiasa dibandingkan dengan piawaian sempit.
Jadi, kejayaan bukan satu destinasi yang sama untuk semua, tetapi perjalanan yang berbeza bagi setiap individu.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan berubah pantas, sudah tiba masanya kita menilai semula apa yang dimaksudkan dengan 'berjaya'.
Dengan memahami kejayaan secara lebih luas dan berperikemanusiaan, kita bukan sahaja membantu anak muda bernafas dengan lebih lega, malah membina masyarakat yang lebih seimbang dan memahami.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Athirah Bilah Izzah
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my