Malaysia sedang melaksanakan pelbagai agenda transformasi dalam sistem pendidikan bagi memastikan generasi masa hadapan mempunyai kemahiran yang relevan, berdaya saing dan mampu pemyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara mampan.
Usaha ini diperkukuh bagi menangani kadar pengangguran graduan negara yang berada pada paras 3.8 peratus pada tahun 2024, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Angka tersebut menunjukkan bahawa pasaran kerja semakin mencabar dan menuntut kemahiran lebih tinggi, terutama dalam bidang yang berkaitan teknologi.
Keadaan tersebut berpunca daripada ketidaksepadanan kemahiran antara graduan dan keperluan industri.
Ramai graduan masih belum bersedia menghadapi keperluan pekerjaan sebenar walaupun mempunyai pencapaian akademik yang baik.
Pihak industri menegaskan bahawa tenaga kerja terkini perlu menguasai kemahiran seperti analisis data, kecerdasan buatan (AI), automasi, komunikasi serta penyelesaian masalah bagi meningkatkan produktiviti organisasi.
Menurut laporan Bank Dunia 2024, negara yang melabur secara konsisten dalam pendidikan berkualiti mampu meningkatkan produktiviti ekonomi sehingga 15 peratus dalam jangka masa sepuluh tahun.
Laporan turut menyentuh kejayaan negara seperti Korea Selatan dan Singapura yang menumpukan pembangunan modal insan dalam meningkatkan daya saing ekonomi, menarik pelaburan asing dan mengurangkan jurang kemahiran dalam pasaran kerja.
Kejayaan tersebut menjadi contoh kepada Malaysia untuk memperkukuh strategi pendidikan nasional yang lebih sistematik dan inklusif.
“Kita mahu graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memenuhi kemahiran yang diperlukan industri agar mereka bukan sekadar mencari pekerjaan, tetapi mencipta peluang baharu untuk negara,”kata Menteri Pendidikan Tinggi, pada satu sidang media baru-baru ini.
Beliau juga menjelaskan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan pihak industri perlu dipertingkat bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan reformasi pendidikan ini.
Seiring perkembangan teknologi pesat, Malaysia kini memberi tumpuan kepada penguasaan digital dalam kalangan pelajar dan warga pendidik.
Dasar Pendidikan Digital Negara (DPDN) dilaksanakan bagi memperluas penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Melalui dasar ini, sekolah serta institusi pengajian tinggi diperkasa dengan infrastruktur ICT yang moden, rangkaian internet lebih stabil dan akses kepada pelbagai platform pembelajaran digital.
Usaha ini bertujuan untuk merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar yang masih menjadi isu utama sehingga kini.
Pelajar kini digalakkan untuk memanfaatkan aplikasi pendidikan, sistem pembelajaran atas talian serta penggunaan perisian interaktif bagi meningkatkan kemahiran digital.
Guru pula diberi latihan berterusan melalui Program Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPPB) supaya mereka bersedia menyesuaikan pedagogi dengan teknologi terkini.
Pendidik memainkan peranan penting dalam membantu pelajar menghadapi perubahan besar dalam ekonomi global yang semakin kompleks dan berteraskan ilmu pengetahuan.
Selain penekanan terhadap pembelajaran digital, kerajaan turut memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin menjadi keperluan utama ekonomi moden.
Pelan TVET Nasional 2030 digubal bagi meningkatkan pengiktirafan kelayakan TVET setaraf standard antarabangsa serta memperkukuh kerjasama dengan sektor industri.
Melalui program seperti Skim Latihan Dual Nasional (SLDN), pelajar TVET diberikan peluang untuk menimba pengalaman kerja yang sebenar ketika masih dalam tempoh pengajian.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sekitar 60 peratus pekerjaan baharu menjelang 2023 memerlukan kelayakan teknikal dan vokasional.
Fakta ini jelas menunjukkan bahawa TVET menjadi platform strategik dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan mengurangkan pergantungan negara kepada tenaga kerja asing terutama dalam bidang seperti automasi, kejuruteraan perindustrian dan tenaga boleh diperbaharui.
Pelabur asing lebih berminat untuk melabur denngan negara yang mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan mampu meningkatkan produktiviti syarikat mereka.
Sektor perkilangan, teknologi maklumat, automasi dan tenaga hijau dikenal pasti sebagai bidang utama ekonomi Malaysia untuk masa hadapan.
Namun begitu, industri masih berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja mahir.
Oleh itu, sistem pendidikan perlu lebih fleksibel serta responsif terhadap perubahan teknologi dan keperluan industri. kurikulum juga turut digalakkan dalam sistem pembelajaran untuk mengurangkan orientasi peperiksaan semata-mata dan memberi tumpuan lebih kepada pemikiran yang analitikal, penyelidikan, pembelajaran berasaskan projek serta kerja berpasukan.
Walaupun banyak inisiatif yang telah dilaksanakan, masih terdapat perkara yang perlu diperbaiki secara berterusan agar pendidikan berkualiti dapat dicapai secara menyeluruh.
Namun terdapat cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan seperti kekurangan guru terlatih dalam bidang teknologi, jurang akses digital di kawasan pedalaman serta isu penyelenggaraan prasarana sekolah yang memerlukan pembiayaan besar untuk melaksananya.
Terdapat juga pelajar dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk mempunyai peranti atau internet stabil untuk mengikuti pengajaran dalam talian, sekaligus meningkatkan jurang pencapaian.
Bagi mengatasi cabaran tersebut, pakar telah mencadangkan supaya kerajaan terus memperkukuh pelan jangka panjang pembangunan profesional guru serta menambah bilangan tenaga pakar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Guru yang berkemahiran tinggi akan membantu pelajar untuk menguasai ilmu yang lebih kompleks dan relevan dengan keperluan masa kini.
“Keupayaan negara untuk bersaing di peringkat global bergantung kepada tahap penguasaan ilmu dan kemahiran generasi muda hari ini. Pelaburan dalam pendidikan ialah pelaburan paling bernilai untuk masa depan ekonomi dan sosial negara,” kata seorang penganalisis pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia ketika ditemu bual mengenai isu ini.
Selain itu, usaha memastikan pembelajaran inklusif untuk semua pelajar perlu diteruskan tanpa mengira agama, tahap ekonomi keluarga atau keperluan khas.
Pendidikan yang berkualiti dan adil menjadi asas dalam membina masyarakat yang progresif, berintegriti dan beretika tinggi.
Pelajar yang dilengkapi dengan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, empati dan kebolehan beradaptasi akan lebih berdaya tahan untuk menghadapi perubahan lanskap pekerjaan pada masa hadapan.
Kerajaan juga berhasrat untuk menjadi pendidikan sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara.
Dengan dasar progresif, kerjasama strategik antara institusi pendidikan serta sektor industri dan sokongan masyarakat secara menyeluruh, Malaysia amat yakin mampu untuk melahirkan modal insan berkualiti yang memacu ekonomi negara mencapai status pendapatan tinggi.
Pendidikan berkualiti bukan sahaja melahirkan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan ekonomi, tetapi membantu membentuk generasi yang inovatif dan mampu menerajui kemajuan negara.
Negara Malaysia juga berpotensi melahirkan graduan yang boleh mencipta peluang baharu dalam bidang keusahawanan teknologi, inovasi sosial dan ekonomi digital.
Modal insan yang kompeten serta berpemikiran global akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi nasional yang lebih kukuh dan dinamik.
Oleh itu, transformasi pendidikan yang berterusan amat penting supaya negara tidak ketinggalan dalam era Revolusi Industri 4.0 dan seterusnya.
Kesimpulannya, pendidikan berkualiti merupakan tonggak utama kepada kejayaan ekonomi Malaysia.
Dengan memberi penekanan kepada TVET, STEM, digitalisasi pembelajaran dan pembangunan kemahiran insaniah, Malaysia berupaya memastikan modal insan yang dilahirkan bukan sahaja mampu memenuhi keperluan industri, malah mendorong pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih progresif dan berkesan.
Maklumat penulis:
1. Pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Terengganu, Siti Aisyah Azman