Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, para pelajar dan ibu bapa turut mengharapkan keputusan cemerlang.
Tangisan kegembiraan dan teriakan keterujaan menjadi antara memori terindah dalam kehidupan mereka. Namun, satu fenomena membimbangkan sedang berlaku.
Statistik terkini menunjukkan seramai 6,246 calon SPM 2024 langsung tidak hadir menduduki peperiksaan, walaupun angka ini menunjukkan penurunan daripada 8,676 calon pada 2023.
Lebih mengejutkan, 57.8 peratus daripada mereka yang tidak hadir mengambil keputusan untuk bekerja, didorong oleh tuntutan ekonomi keluarga atau tarikan gaya hidup.
Penurunan dalam ketidakhadiran ini sebenarnya tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita berasa lega, kerana isu yang lebih besar sedang mengetuk pintu iaitu ramai pelajar yang berjaya menamatkan SPM kini mempertikai nilai sebenar pendidikan tinggi.
Kementerian Pendidikan mengakui bahawa hampir 300,000 lepasan SPM tidak berminat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Situasi ini bukan sekadar angka statistik, tetapi simbol perubahan paradigma yang sedang berlaku dalam kalangan generasi muda.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia turut mencatatkan kemerosotan mendadak dalam pendaftaran pendidikan tinggi, daripada 1,342,278 pelajar pada 2016 kepada 1,226,545 pada 2020.
Lebih membimbangkan lagi, sejak 2020, sebanyak 51 peratus atau 188,884 daripada 365,553 pelajar bumiputera lepasan SPM menolak tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.
Angka ini bukan sahaja tinggi, malah menandakan satu transformasi sosial yang perlu difahami dengan lebih mendalam.
Pempengaruh media sosial dan ekonomi gig telah menjadi jawapan baharu bagi generasi muda yang mahukan kebebasan kewangan pantas.
Tidak hairanlah apabila 72.1 peratus lepasan SPM lebih cenderung kepada pekerjaan yang ditawarkan oleh ekonomi gig berbanding pilihan pekerjaan tradisional.
Mereka melihat peluang untuk menjana pendapatan tanpa perlu menempuh empat tahun pengajian dan berhutang dengan pinjaman pendidikan.
Namun, realiti sebenar ekonomi gig tidak seindah yang digambarkan.
Data kajian mengenai pekerja p-hailing mendedahkan bahawa 97.71 peratus pekerja dalam sektor ini adalah golongan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun.
Komposisi pendidikan mereka juga menarik iaitu 39.54 peratus berkelulusan SPM atau SPMV, 23.24 peratus mempunyai diploma, dan 11.79 peratus pemegang ijazah sarjana muda.
Walaupun 73.98 peratus menjadikan p-hailing sebagai sumber pendapatan utama, skala pendapatan mereka sebenarnya sederhana.
Kebanyakan memperoleh antara RM1,501 hingga RM2,499 sebulan (26.78 peratus), manakala 23.39 peratus lagi berpendapatan RM1,500 ke bawah.
Yang lebih membimbangkan, sebanyak 63.39 peratus pekerja p-hailing tidak mempunyai sebarang simpanan atau pelaburan untuk masa depan.
Situasi ini membuktikan bahawa kerjaya dalam ekonomi gig, walaupun menawarkan fleksibiliti, tidak menjamin keselamatan kewangan jangka panjang.
Kerjaya sebagai pempengaruh media sosial turut didambakan oleh ramai anak muda kerana persepsi bahawa ia menawarkan pendapatan lumayan dengan kerja yang santai.
Ekonomi digital Asia Tenggara mencapai $200 bilion pada 2022 dan dijangka mencecah $330 bilion menjelang 2025, dengan pempengaruh memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ini.
Namun, realiti yang jarang disebut ialah kerjaya ini memerlukan komitmen tinggi, kreativiti berterusan, dan tiada jaminan kestabilan.
Lebih memburukkan, pempengaruh terdedah kepada risiko kurangnya prospek pembangunan kerjaya yang progresif seiring dengan usia.
Sekiranya mereka kekeringan idea untuk menghasilkan kandungan menarik, ditambah pula dengan gelombang pempengaruh baharu yang terus muncul, mereka berkemungkinan akan tenggelam dan menjadi tidak relevan.
Tanpa pelan keluar yang jelas, ke manakah hala tuju mereka selepas itu?
Salah satu alasan utama mengapa lepasan SPM enggan menyambung pengajian adalah kerana mereka tidak percaya pendidikan tinggi menjamin gaji yang setimpal.
Persepsi ini tidak sepenuhnya salah.
Kajian terkini Graduate Choice Award 2024 mendedahkan bahawa kebanyakan graduan mengharapkan gaji permulaan antara RM3,000 hingga RM3,500.
Namun realiti di pasaran kerja jauh lebih keras. Gaji permulaan graduan di Malaysia tidak banyak berubah dalam sedekad terakhir, dan hampir satu perlima graduan masih menerima gaji rendah di bawah RM2,000 walaupun selepas lebih sedekad bekerja.
Dari sudut pulangan pelaburan, tidak semua ijazah menawarkan nilai yang sama.
Berdasarkan kajian, 43 peratus ijazah dua tahun dan ijazah sarjana gagal memberikan pulangan yang setimpal dengan kos dan masa yang dilaburkan.
Pulangan pendidikan sangat bergantung pada bidang pengajian seperti kejuruteraan, sains komputer, dan kejururawatan menawarkan ROI yang tinggi, manakala bidang seni, pendidikan, dan psikologi menghasilkan pulangan yang jauh lebih rendah.
Penyelidikan antarabangsa turut mengesahkan bahawa setiap tahun pendidikan untuk seseorang menghasilkan kira-kira 10 peratus peningkatan dalam pendapatan tahunan, tetapi ini bergantung pada kualiti pendidikan yang diterima, bukan sekadar memiliki ijazah tanpa kemahiran.
Masalah ketidakpadanan kemahiran atau"job mismatch" turut memburukkan lagi situasi. Data Jabatan Perangkaan Malaysia 2024 menunjukkan bahawa 2.06 juta individu berkelulusan tertiari bekerja dalam pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan akademik mereka.
Hal ini bermakna mereka terpaksa menerima pekerjaan separuh mahir atau rendah mahir walaupun memiliki diploma atau ijazah.
Sebanyak 26.9 peratus graduan pada 2022 bekerja di luar bidang pengajian mereka. Tambahan pula, kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun masih tinggi pada 10.5 peratus, manakala bagi golongan 15 hingga 30 tahun mencecah 6.5 peratus.
Pada tahun 2023 sahaja, sebanyak 167,300 siswazah dilaporkan menganggur. Angka ini membuktikan bahawa memiliki ijazah tidak secara automatik menjamin pekerjaan, apatah lagi pekerjaan yang berkualiti.
Walaupun wujud cabaran dari segi gaji dan pengangguran, melihat pendidikan tinggi hanya dari sudut ekonomi adalah satu kesilapan besar.
Universiti bukan sekadar tempat untuk mendapatkan sijil, tetapi ruang pembentukan kemahiran insaniah yang kritikal untuk kejayaan jangka panjang.
Kemahiran seperti komunikasi, pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, kepimpinan, dan etika moral tidak boleh diperoleh melalui tontonan video di media sosial atau pengalaman bekerja sebagai penghantar makanan.
Majikan kini mengiktiraf pemikiran kritis sebagai kemahiran paling penting dalam kalangan pekerja mereka.
Dalam pasaran kerja yang semakin kompleks, keupayaan untuk menganalisis maklumat, membuat keputusan berasaskan bukti, dan menyelesaikan masalah secara strategik menjadi faktor pembeza yang mendorong kemajuan kerjaya.
Kemahiran ini dibina secara sistematik melalui pendidikan formal di universiti, bukan melalui pembelajaran sambil lewa di platform media sosial.
Kajian juga menunjukkan bahawa kualiti pendidikan, terutamanya penguasaan kemahiran kognitif, mempunyai pengaruh yang kuat dan mantap terhadap pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
Hal ini bermakna pelaburan dalam pendidikan berkualiti bukan sahaja menguntungkan individu, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.
Pendidikan tinggi juga memainkan peranan penting dalam mobiliti sosial. Dalam masyarakat Malaysia yang masih menekankan status dan kelayakan akademik, pendidikan adalah tangga utama untuk bergerak ke lapisan sosial yang lebih tinggi.
Seseorang yang menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah akan digelar sebagai"Dr", sekali gus meningkatkan kredibiliti dan status sosial mereka dalam masyarakat.
Lebih penting lagi, pendidikan membantu individu membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi, dan kemampuan untuk bersaing dalam pasaran kerja global.
Ia membuka pintu kepada peluang yang tidak akan dapat diakses oleh mereka yang hanya bergantung pada kelayakan SPM.
Salah satu punca utama generasi muda hilang minat terhadap pendidikan formal adalah pengaruh media sosial.
Penggunaan media sosial yang berlebihan mengurangkan fokus akademik pelajar dan menimbulkan masalah disiplin di sekolah.
Pempengaruh sering mempromosikan nilai konsumerisme dan gaya hidup mewah yang tidak realistik, menyebabkan golongan belia terjebak dalam beban hutang.
Statistik mendedahkan bahawa 53,000 individu muda berusia bawah 30 tahun kini dibebani hutang berjumlah hampir RM1.9 bilion akibat terpengaruh dengan gaya hidup yang dipaparkan di media sosial.
Persepsi bahawa menjadi pempengaruh adalah jalan mudah untuk meraih kejayaan adalah satu ilusi berbahaya.
Realiti menunjukkan bahawa hanya segelintir sahaja yang berjaya dalam bidang ini, manakala majoriti terpaksa bergelut dengan ketidakstabilan pendapatan, tekanan untuk sentiasa relevan, dan ketiadaan jaminan sosial seperti simpanan persaraan atau insurans.
Kerjaya sebagai pempengaruh juga tidak mempunyai struktur pembangunan profesional yang jelas, dan terdedah kepada risiko kehilangan populariti dengan cepat sekiranya trend berubah.
Persoalan sama ada universiti adalah keperluan atau pilihan tidak boleh dijawab secara hitam putih.
Bagi mereka yang benar-benar ingin membina kerjaya profesional yang mampan, mempunyai kredibiliti dalam bidang tertentu, dan memperolehi kemahiran insaniah yang mendalam, universiti tetap relevan dan penting.
Data menunjukkan bahawa 59.1 peratus pemegang ijazah pendidikan mudah mendapat pekerjaan dan tidak menganggur, membuktikan bahawa kelayakan akademik masih dihargai dalam pasaran kerja.
Namun, sistem pendidikan tinggi di Malaysia juga perlu berubah. Universiti harus menawarkan program yang lebih seiring dengan keperluan industri, mengurangkan jurang antara teori dan praktik, serta memastikan pelajar dilengkapi dengan kemahiran yang benar-benar diperlukan oleh majikan.
Institusi pendidikan perlu lebih proaktif dalam menyediakan bimbingan kerjaya, latihan industri, dan peluang rangkaian profesional yang dapat membantu graduan mendapat pekerjaan berkualiti selepas tamat pengajian.
Bagi pelajar pula, keputusan untuk melanjutkan pengajian atau tidak, harus dibuat berdasarkan pertimbangan matang, bukan sekadar terpengaruh dengan gambaran glamor yang dilihat di media sosial.
Jika memilih untuk bekerja tanpa sambung belajar, mereka perlu sedar bahawa tangga mobiliti sosial akan lebih terhad, dan kerjaya jangka panjang mereka mungkin tidak semampan yang dijangkakan.
Sebaliknya, jika memilih untuk melanjutkan pengajian, mereka perlu bijak memilih bidang yang mempunyai prospek pekerjaan yang baik dan ROI yang tinggi, serta memanfaatkan sepenuhnya peluang pembelajaran dan pembangunan diri yang ditawarkan oleh universiti.
Akhirnya, pilihan terletak di tangan individu. Namun, keputusan yang bijak adalah keputusan yang dibuat berasaskan fakta, bukan ilusi.
Pendidikan tinggi mungkin tidak menjamin kekayaan segera, tetapi ia membina nilai diri, membuka peluang, dan melengkapkan individu dengan kemahiran untuk terus relevan dalam dunia yang semakin kompleks.
Dalam jangka masa panjang, ilmu pengetahuan yang diperoleh melalui pendidikan formal tetap merupakan pelaburan yang tidak ternilai harganya.
Maklumat penulis:
1. Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, Refqah Sofea Mohd Sofi dan Nurul Nisha Mohd Shah