Dalam usaha Malaysia mencapai pembangunan ekonomi yang mampan, isu sosial seperti buli sering kali dipandang ringan, sedangkan kesannya mampu menjejaskan pertumbuhan negara.
Pembangunan bukan Sahaja melibatkan peningkatan Keluaran Dalam Negara (KDNK) dan pelabur asing, malah ianya juga bergantung kepada kualiti modal insan dalam negara kerana banyak menjadi penggerak utama ekonomi negara.
Dalam era Malaysia Madani yang banyak menekankan nilai hormat dan ihsan, budaya buli yang semakin dilihat pada masa sekarang telah menjadi penghalang kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang seimbang.
Fenomena buli bukan sekadar isu disiplin di sekolah ataupun di tempat kerja. Ia merupakan satu bentuk ketidakseimbangan kuasa oleh masyarakat yang berakar daripada kelemahan empati dan nilai moral khususnya di dalam sekolah.
Dari sudut ekonomi pembangunan, buli boleh dianggap sebagai halangan kepada pembentukan modal insan berkualiti.
Hal ini kerana apabila pelajar tertekan atau trauma akibat dibuli, potensi mereka untuk belajar dan menyumbang kepada ekonomi akan terbantut.
Dalam jangka panjang, jumlah pelajar yang tidak hadir ke sekolah akan meningkat dan ini akan menyumbang kepada kadar pengangguran belia.
Muktahir ini, masyarakat dikejutkan dengan beberapa peristiwa tragis yang melibatkan pelajar di institusi pendidikan.
Kejadian ini menimbulkan pelbagai persoalan apabila timbul dakwaan berkaitan perbuatan buli, kecuaian pihak bertanggungjawab serta tekanan emosi yang dialami oleh pelajar.
Situasi sebegini bukan sahaja mengundang rasa sedih dan simpati, malah memperlihatkan hakikat bahawa wujud masalah dalam menangani kesejahteraan pelajar. Isu ini tidak wajar dianggap sebagai masalah terpencil atau kes disiplin semata-mata,
Sebaliknya, ia mencerminlan kelemahan dalam sistem sosial dan pendidikan yang sepatutnya berfungsi sebagai tempat paling selamat untuk pembentukan sahsiah dan keperibadian pelajar dan lebih membimbangkan lagi, kejadian seperti ini menunjukkan bahawa nilai-nilai murni seperti ihsan, adab dan rasa tanggungjawab sesama manusia masih belum benar-benar diamalkan secara menyeluruh, walaupun sering ditekan dalam dasar dan falsafah pendidikan negara.
Individu yang menjadi mangsa buli sering mengalami kesan psikologi jangka panjang seperti kemurungan, ketakutan sosial dan kehilangan keyakinan diri.
Perkara ini memberi kesan yang sangat besar terhadap pembangunan tenaga kerja negara kerana tenaga kerja yang sihat dari segi mental dan emosi merupakan asas kepada produktiviti serta inovasi ekonomi.
Dalam jangka masa yang panjang, generasi muda yang trauma dan hilang keyakinan, akan menghadapi kesukaran menyesuaikan diri di alam pekerjaan dan masyarakat, sekaligus menggugat matlamat negara untuk melahirkan modal insan yang seimbang dan berdaya tahan.
Selain daripada kesan terhadap produktiviti, isu buli juga mewujudkan dimensi ekonomi secara tidak langsung.
Hal ini akan mengakibatkan Kerajaan perlu memperuntukkan belanja tambahan untuk menangani masalah kesihatan mental, melatih kaunselor, dan melaksanakan kempen kesedaran awam.
Sumber kewangan yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi terpaksa dialihkan bagi menangani kesan sosial yang berpunca dariapda budaya negetif ini.
Keadaan ini akan memperlihatkan bagaimana isu sosial seperti buli memberi kesan rantaian terhadap pembangunan nasional secara menyeluruh.
Buli turut memberikan kesan sosial dan moral yang mendalam kepada komuniti sekolah. Apabila pelaku tidak dikenakan tindakan yang adil, nilai kepercayaan dan rasa hormat antara pelajar akan terhakis.
Rakan-rakan kepada mangsa ataupun pelaku yang menjadi saksi pula cenderung untuk berdiam diri kerana takut akan turut menjadi mangsa.
Keadaan ini akan menjadikan sekolah yang sepatutnya tempat untuk membina jati diri berubah menjadi ruang yang tidak selamat dan penuh tekanan.
Dalam jangka panjang, generasi muda akan membesar dalam suasana yang tidak sihat dan sering menjadikan kekerasan dan penghinaan sebagai norma.
Hal ini jesteru bertentang dengan semangat madani yang menuntut masyarakat hidup berasaskan kasih sayang dan adab.
Cabaran dalam menangani isu buli pada era madani dapat dilihat daripada beberapa aspek utama.
Pertama, kegagalan membina empati dan jati diri moral dalam kalangan murid menjadi faktor utama penyumbang kepada kelangsungan budaya buli.
Kanak-kanak lelaki lebih cenderung kepada buli fizikal manakala perempuan lebih kepada bentuk yang tidak langsung seperti penyisihan sosial atau penyebaran fitnah yang tidak berasas.
Kedua, budaya sekolah yang menormalisasikan sikap yang kasar turut menjadi penyebab peningkatan kes buli apabila sikap agresif dianggap sebagai perkara biasa, pelaku tidak lagi melihat perbuatan itu sebagai satu kesalahan.
Di Malaysia, situasi ini sering berlaku apabila masyarakat menganggap 'gurauan kasar' sebagai norma sosial, padahal ianya merupakan perkara yang boleh mencederakan maruah dan harga diri individu lain.
Ketiga, terdapat kitaran berulang Dimana mangsa buli akhirnya menjadi pembuli. Hal ini kerana trauma yang dialami oleh mangsa buli menyebabkan mereka membalas dendam terhadap orang lain sebagai bentuk pertahanan diri.
Jika keadaan ini tidak ditangani, ia akan melahirkan generasi yang terperangkap dalam lingkaran keganasan emosi yang sukar dipulihkan.
Dalam usaha membanteras budaya buli, peranan ibubapa, guru dan masyarakat adalah amat penting kerana ibu bapa perlu menjadi contoh teladan dengan menanam nilai empati, hormat dan kasih sayang dalam sesebuah institusi keluarga.
Pihak sekolah pula mestilah menyediakan sistem sokongan psikologi yang mesra pelajar seperti sesi kaunseling dan saluran aduan yang selamat.
Komuniti masyarakat juga tidak boleh bersikap seperti acuh tak acuh, sebaliknya perlulah memberikan tekanan sosial terhadap perlakuan tidak beretika ini.
Kerjasama era tantara rumah, sekolah dan masyarakat merupakan kunci kepada kejayaan membentuk insan Madani yang berjiwa lebih penyayang, bertanggungjawab, beradab, dan berdisiplin.
Dalam kerangka pembangunan MADANI, yang menekan nilai ihsan, hormat dan kesejahteraan sejagat, pembasmian budaya buli merupakan tanggungjawab bersama.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa pihak sekolah dan ibu bapa perlulah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menangani kes buli di institusi pendidikan serta tidak melindungi pelaku atas alasan ingin menjaga imej sekolah.
Beliau juga menegaskan bahawa isu buli bukan boleh diselesaikan dengan hukuman semata-mata memerlukan pendidikan nilai dan bimbingan moral secara berterusan agar pelajar sedar tentang kesan sosial dan emosi akibat perbuatan mereka.
Secara keseluruhannya, kerajaan perlu memperkukuhkan pelaksanaan dasar anti buli secara menyeluruh dengan memperkenalkan program pendidikan nilai di sekolah seperti pendidikan ihsan dan adab.
Latihan wajib bagi guru untuk mengenal pasti tanda-tanda awal tekanan pelajar juga wajib untuk diperluaskan agar tindakan intervensi dapat dilakukan lebih awal.
Selain itu, kempen kesedaran yang berasaskan konsep Rahmah dan Madani hendaklah dilaksanakan bagi membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan peka terhadap isu buli.
Fenomena buli bukan sahaja sekadar masalah disiplin pelajar, tetapi merupakan cabaran besar terhadap misi nasional untuk membentuk masyarkat yang lebih prihatin dan peka terhadap isu buli.
Fenomena buli bukan sekadar masalah disiplin pelajar, tetapi juga merupakan cabaran besar terhadap misi nasional untuk membentuk insan yang berilmu, berakhlak dan berempati.
Hanya melalui pendekatan yang berpaksikan kasih sayang, pendidikan nilai dan tanggungjawab sosial, Malaysia mampu melahirkan generasi Madani yang benar-benar mencerminkan nilai kemanusiaan sejati serta menjadi asas kukuh kepada kemajuan negara yang berterusan kerana generasi inilah yang akan menjadi jambatan antara kemajuan dan kemanusiaan untuk membina negara Malaysia yang bukan sekadar maju pada zahirnya, tetapi juga indah pada akhlaknya.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd Khuzairi Saratin
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli