Adakah kadar gaji minimum RM1,700 mencukupi di bandar?

Iklan

Gaji minimum merupakan jumlah gaji paling rendah yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan para pekerja menerima bayaran yang adil dan setimpal dengan kos kehidupan semasa.

Ia juga berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial bagi mengelakkan pekerja daripada dieksploitasi oleh majikan.

Iklan
Iklan

Hal ini kerana, ramai pekerja tidak mendapat gaji yang setimpal dengan pekerjaannya. Ini boleh menimbulkan pelbagai konflik terhadap pekerja itu sendiri dalam menghadapi cabaran ekonomi masa kini.

Di Malaysia, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini dilihat sebagai satu langkah positif bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Iklan

Namun, dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, timbul persoalan sama ada kadar gaji minimum tersebut benar-benar mencukupi untuk menampung kehidupan di kawasan bandar yang mempunyai kos sara hidup yang jauh lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.

Kenaikan kadar gaji minimum ini dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025 untuk majikan yang mempunyai lima pekerja atau lebih, termasuk sektor profesional seperti yang diklasifikasikan di bawah Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) 2020.

Iklan

Sementara itu, bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dalam sektor bukan profesional, kadar gaji minimum RM1,700 ini akan mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2025.

Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025.

Langkah ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan pekerja berpendapatan rendah (B40) yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut menegaskan bahawa majikan wajib mematuhi Perintah Gaji Minimum di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].

Sekiranya gagal, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, dan bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat kepada RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Langkah penguatkuasaan ini penting bagi memastikan keadilan sosial dalam pasaran buruh serta mengelakkan eksploitasi terhadap pekerja. Namun begitu, hidup di bandar bukanlah sesuatu yang mudah.

Kadar inflasi yang meningkat saban tahun memberi kesan langsung terhadap harga barangan dan perkhidmatan.

Kos barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, dan bahan mentah lain terus meningkat disebabkan faktor global seperti gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga minyak mentah dunia dan ketegangan geopolitik antarabangsa.

Hal ini menyebabkan nilai sebenar wang semakin berkurangan, di mana kuasa beli rakyat merosot meskipun gaji nominal meningkat.

Dengan kata lain, walaupun seseorang memperoleh RM1,700 sebulan, nilai sebenar gaji tersebut jauh lebih kecil apabila dibandingkan dengan harga barang dan perkhidmatan di pasaran bandar.

Sebagai contoh, di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Pulau Pinang, kadar sewa bagi sebuah bilik kecil kini mencecah RM600 hingga RM900 sebulan.

Itu belum termasuk bil elektrik, air, internet dan kos pengangkutan. Bagi mereka yang bekerja jauh dari tempat tinggal, tambang pengangkutan awam pula boleh menelan belanja RM200 hingga RM300 sebulan.

Sementara itu, perbelanjaan makanan harian pula sekurang-kurangnya RM20 sehari, iaitu kira-kira RM600 sebulan.

Secara kasar, jumlah keseluruhan perbelanjaan asas di bandar boleh mencecah antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan melebihi kadar gaji minimum semasa.

Ini menunjukkan bahawa gaji RM1,700 hanya cukup untuk keperluan asas dan hampir tiada baki untuk disimpan atau digunakan dalam keadaan kecemasan.

Keadaan ini menjadi lebih mencabar bagi mereka yang telah berkeluarga. Kos pendidikan anak-anak, penjagaan harian, keperluan pakaian, serta perbelanjaan kesihatan menambah lagi tekanan kewangan isi rumah.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata perbelanjaan isi rumah bandar kini melebihi RM6,000 sebulan.

Walaupun angka ini termasuk isi rumah berpendapatan sederhana dan tinggi, ia tetap menunjukkan jurang ketara antara pendapatan dan kos sara hidup sebenar bagi pekerja bergaji minimum.

Akibatnya, ramai pekerja terpaksa mencari pendapatan tambahan melalui kerja sambilan atau pekerjaan gig seperti penghantaran makanan dan pemandu e-hailing.

Fenomena ini menandakan wujudnya masalah ketidakseimbangan dalam struktur ekonomi negara.

Dari sudut ekonomi makro, kadar gaji minimum yang terlalu rendah berbanding kos sara hidup boleh menjejaskan kestabilan ekonomi jangka panjang.

Apabila pekerja tidak mampu memenuhi keperluan asas, kuasa beli mereka menurun dan seterusnya mengurangkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan domestik.

Ini boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara kerana sektor peruncitan dan perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bergantung kepada perbelanjaan pengguna.

Sebaliknya, kadar gaji yang seimbang mampu meningkatkan daya beli rakyat, merangsang aktiviti ekonomi, dan memperkukuh aliran tunai dalam pasaran tempatan.

Walau bagaimanapun, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa gaji RM1,700 masih boleh mencukupi sekiranya seseorang mengamalkan gaya hidup sederhana dan berjimat cermat.

Sebagai contoh, mereka boleh berkongsi rumah dengan rakan, menggunakan pengangkutan awam, memasak di rumah dan mengelak perbelanjaan tidak perlu seperti hiburan mahal atau pembelian dalam talian.

Namun, pendekatan ini tidak sesuai untuk semua golongan, terutama mereka yang mempunyai tanggungan keluarga atau tinggal di bandar besar dengan kos perkhidmatan tinggi.

Tambahan pula, konsep berjimat bukanlah penyelesaian jangka panjang terhadap masalah ekonomi seperti ketidakseimbangan pendapatan dan inflasi yang tidak terkawal.

Dari perspektif ekonomi negara, penetapan kadar gaji minimum juga berkait rapat dengan isu produktiviti dan daya saing.

Dalam teori ekonomi, peningkatan gaji seharusnya seiring dengan peningkatan produktiviti tenaga kerja.

Jika gaji dinaikkan tanpa peningkatan produktiviti, majikan mungkin terpaksa menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung kos, yang akhirnya menyumbang kepada inflasi.

Oleh itu, kerajaan dan sektor swasta perlu melaksanakan strategi jangka panjang seperti memperkukuh kemahiran pekerja, memperluas latihan vokasional, dan memperkenalkan sistem automatik dalam sektor perindustrian agar kenaikan gaji tidak membebankan majikan tetapi tetap memberi manfaat kepada ekonomi keseluruhan.

Selain itu, kerajaan juga disaran untuk menilai semula kadar gaji minimum berdasarkan lokasi geografi dan tahap kos sara hidup sebenar.

Sebagai contoh, kadar gaji minimum di Kuala Lumpur, Selangor, dan Pulau Pinang wajar lebih tinggi berbanding negeri yang mempunyai kos hidup lebih rendah seperti Kelantan atau Perlis.

Model ini telah diamalkan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun yang menetapkan gaji minimum berbeza mengikut wilayah.

Pendekatan ini lebih adil dan realistik dalam memastikan kesejahteraan pekerja bandar tidak diukur dengan standard yang sama seperti luar bandar.

Dalam masa yang sama, majikan juga digalakkan menyediakan elaun tambahan seperti elaun perumahan, pengangkutan, atau insentif kesihatan bagi meringankan beban pekerja.

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan motivasi dan kesetiaan pekerja, tetapi juga membantu mengekalkan kestabilan sosial serta mengurangkan kadar kemiskinan bandar.

Dari sudut ekonomi makro, kesejahteraan pekerja yang meningkat akan memperkukuh pasaran buruh, mengurangkan pergantungan terhadap subsidi kerajaan, serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Kesimpulannya, kadar gaji minimum RM1,700 masih belum mencukupi untuk menampung kehidupan di bandar, terutamanya dalam konteks ekonomi semasa yang dipengaruhi oleh inflasi, kenaikan harga barang dan perumahan, serta penurunan kuasa beli rakyat.

Oleh itu, kerajaan perlu menilai semula kadar gaji minimum secara berkala berdasarkan indikator ekonomi sebenar dan kos sara hidup di setiap kawasan.

Langkah ini penting agar setiap pekerja di Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih bermaruah, selesa dan seimbang sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang masa hadapan.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Anis Syafiqah Muhamad

2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli