Malaysia 2060: Mendepani realiti negara tua dan cabaran kelestarian nasional

Iklan
Gambar hiasan

Negara tua ialah struktur sesebuah negara di mana peratusan penduduk yang berumur 65 tahun dan ke atas melebihi 7 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Malaysia mula menunjukkan ciri-ciri sesebuah negara yang menuju ke arah negara tua berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Iklan
Iklan

Peralihan demografi Malaysia daripada negara muda ke negara tua bukanlah satu fenomena yang berlaku secara mendadak, tetapi merupakan masalah demografi yang berlaku secara berperingkat tanpa kawalan yang sewajarnya.

Masalah demografi ini akan membawa kesan jangka masa panjang dan memberi implikasi terhadap pelbagai aspek serta golongan masyarakat.

Iklan

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah ini dan implikasi kepada negara kita sekiranya isu ini tidak diambil berat oleh masyarakat Malaysia.

Dalam dekad kebelakangan ini trend demografi Malaysia mengalami peralihan yang ketara apabila golongan muda yang sebelum ini mendominasi struktur penduduk mula diatasi oleh peningkatan bilangan golongan berusia dalam pelbagai sektor.

Iklan

Perubahan ini dapat dilihat melalui penyusutan kumpulan umur kanak-kanak dan remaja yang semakin ketara, manakala bilangan golongan berusia pula semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Peralihan struktur umur ini menunjukkan satu proses demografi yang berterusan sejajar dengan perubahan gaya hidup masyarakat masa kini, seperti perancangan keluarga yang lebih kecil dan peningkatan jangka hayat penduduk.

Fenomena demografi yang menyusut ini telah mengubah komposisi penduduk negara dan seterusnya memberi kesan dalam pelbagai aspek pembangunan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, termasuk ekonomi, sosial dan kebajikan masyarakat.

Malaysia telah berada di kelas negara menua pada tahun 2020, namun masalah ini tidak terhenti disahaja apabila kita dianggarkan akan menjadi negara tua pada tahun 2044.

Peralihan ini mengambil masa sebanyak 24 tahun sahaja yang dianggap sangat singkat kerana transisi kita kepada negara tua lebih cepat berbanding negara maju seperti Eropah.

Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang berlaku secara berterusan sehingga membawa kesan jangka panjang yang dihadapi pada masa kini.

Antara punca yang menyumbang kepada trend penyusutan golongan muda ialah amalan pemakanan yang kurang berkhasiat.

Makanan yang tidak bernutrisi dan tidak seimbang sering dijadikan pilihan, menyebabkan tubuh badan tidak dapat berfungsi secara optimum serta menjejaskan tahap kesihatan dan kesuburan masyarakat.

Selain itu, gaya hidup yang kurang proaktif seperti kekurangan aktiviti senaman, tahap stres yang tidak terkawal, tabiat tidak sihat serta pelbagai masalah sosial turut menyumbang kepada fenomena ini.

Terdapat juga segelintir golongan muda yang terlalu fokus terhadap kerjaya sehingga tidak merancang untuk berkahwin dan berkeluarga, manakala sebahagian pasangan yang telah berkahwin pula memilih untuk tidak mempunyai cahaya mata bagi mengurangkan komitmen hidup.

Konsep Double Income, No Kids (DINK) semakin diamalakn oleh ramai pasangan yang baru berkahwin di Malaysia. Kos inflasi kian meningkat mempengaruhi pilihan pasangan baru untuk merancang gaya hidup mereka tanpa menimang cahaya mata.

Namun begitu, hal ini akan menjadi bebanan negara malah golongan muda pada generasi akan datang kerana merancakkan pengecutan piramid penduduk di negara ini.

Peningkatan jumlah warga emas di Malaysia membawa pelbagai implikasi besar yang bakal menjejaskan setiap lapisan masyarakat, terutamanya golongan muda.

Apabila populasi warga tua meningkat, kekerapan masalah kesihatan dalam komuniti juga bertambah sekali gus memaksa kerajaan menanggung kos perubatan yang tinggi merangkumi perolehan ubatubatan, teknologi perubatan terkini, serta penyediaan tenaga pakar yang mencukupi.

Dalam aspek perancangan bandar dan infrastruktur, kerajaan perlu memperuntukkan kos yang besar bagi membina kemudahan mesra warga emas demi menjamin mobiliti dan keselamatan mereka.

Dari sudut ekonomi pula, tekanan terhadap kewangan awam mungkin memaksa kerajaan meningkatkan kadar cukai tertentu bagi membiayai skim bantuan sosial serta bayaran pencen kepada golongan yang layak.

Di sinilah timbulnya isu yang bakal membebankan golongan muda. Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, nisbah semasa menunjukkan 10 orang tenaga kerja bagi setiap seorang warga emas.

Namun, menjelang tahun 2060, unjuran ini dijangka merosot kepada hanya tiga orang pekerja bagi setiap seorang warga emas.

Peralihan demografi ini akan mencabar daya tahan fiskal negara, di mana kerajaan terpaksa mengimbangi bajet yang lebih besar untuk keperluan pencen, infrastruktur khas, dan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat.

Golongan yang mengalami masalah ini dikenali sebagai Sandwich Generation yang sangat ekstrem dimana mereka terperangkap di tengah-tengah dan terpaksa menanggung kos membesarkan anak-anak dan kos penjaga ibu bapa yang kian uzur.

Perjalanan Malaysia menjadi negara tua bukanlah satu transisi angka, tetapi satu isu yang menguji dasar fiskal dan struktur sosial negara.

Sekiranya isu ini terus dibiarkan dengan lebih lama, hidup masyarakat akan terus berada pada tahap yang membimbangkan untuk generasi akan datang.

Fenomena Tua sebelum kaya akan terus menghantui negara kita dimana usaha untuk mencapai negara maju yang mampan hanyalah satu impian yang sukar dicapai akibat masalah sosial ini.

Bebanan dan tanggungjawab untuk membawa negarakita dari terus terperangkap dalam masalah ini bukanlah hanya di bahu kerajaan sahaja namun tanggungjawab bersama dimana setiap lapisan masyarakat dituntut untuk sedar akan masalah yang membunuh negara kita dalam diam ini.

Persediaan yang rapi dan langkah yang proaktif perlu dilakukan dari sekarang untuk menggelakan bebanan warisan yang akan melumpuhkan generasi akan datang.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhamad Nazrul Amirullah Zainol Abidin

2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Jaharudin Padli