Jalan baru, hidup baru: Bagaimana jalan raya luar bandar mengubah nasib komuniti desa?

Iklan
Gambar hiasan

Pembangunan infrastruktur jalan raya merupakan agenda paling kritikal dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar di Malaysia.

Bagi penduduk di kawasan pedalaman, akses jalan raya bukan sekadar kemudahan fizikal, malah ia merupakan pemangkin utama kepada perubahan taraf hidup dan mobiliti sosial.

Iklan
Iklan

Tanpa jaringan yang efisien, komuniti desa akan terus terpinggir daripada arus perdana, terutamanya dalam aspek kesihatan, pendidikan dan ekonomi.

Salah satu kesan paling ketara daripada pembangunan ini ialah pengurangan masa perjalanan yang drastik.

Iklan

Sebelum ini, kekangan geografi menyebabkan penduduk di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak, terpaksa memakan masa berjam-jam untuk sampai ke pusat bandar bagi mendapatkan perkhidmatan asas.

Sebagai contoh, pembinaan Jambatan Long Lama pada Ogos 2019 telah menjadi titik tolak penting bagi ketersambungan di Sarawak.

Iklan

Berdasarkan Laporan Borneo Post Online, sebelum jambatan ini dibina, lebih 20,000 penduduk di Telang Usan dan sekitarnya bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan feri untuk merentasi Sungai Baram.

Kini, transformasi tersebut diteruskan menerusi projek mega Jalan Raya Miri-Marudi, MarudiMulu, dan Long Lama-Long Panai (MMMLL) yang bernilai RM3.8 bilion.

Projek yang melibatkan 75,000 penduduk di Baram ini dijangka akan membawa revolusi mobiliti yang besar kepada rakyat setempat. Mengikut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), masa perjalanan dari Miri ke Mulu yang dahulunya memakan masa sembilan jam bakal dipendekkan menjadi dua jam sahaja apabila rangkaian jalan raya ini siap sepenuhnya.

Ketersambungan yang lebih baik ini membolehkan pelajar di pedalaman bergerak ke sekolah dengan lebih selamat dan pantas tanpa halangan logistik yang membebankan.

Selain itu, ketersambungan ini bertindak sebagai talian hayat yang merapatkan jurang akses terhadap perkhidmatan kesihatan pakar bagi penduduk pedalaman.

Kepantasan untuk sampai ke hospital dalam tempoh yang singkat bukan lagisatu kemewahan, tetapi dilihat sebagai faktor penentu ‘antara hidup dan mati’ yang menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup warga desa secara menyeluruh.

Dari sudut ekonomi, jalan raya yang efisien mengurangkan kos logistik dan membuka akses pasaran yang lebih luas.

Jaringan perhubungan yang efisien membolehkan hasil pertanian dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kini boleh dihantar terus ke bandar dengan lebih pantas.

Hal ini secara langsung mengurangkan kebergantungan pengeluar desa kepada ‘orang tengah’, sekali gus meningkatkan margin keuntungan dan daya saing produk mereka di pasaran nasional.

Keberkesanan pembangunan infrastruktur ini dicerminkan secara jelas melalui data rasmi pendapatan rakyat.

Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pendapatan penengah (median) isi rumah luar bandar mencecah RM4,588 sebulan.

Ini merupakan kenaikan sebanyak 10.2 peratus berbanding RM4,164 pada tahun 2022, membuktikan ketersambungan fizikal membantu menstabilkan ekonomi penduduk.

Kenaikan ini membuktikan ketersambungan fizikal membantu menstabilkan dan meningkatkan ekonomi penduduk desa.

Pada masa yang sama, laporan itu menandakan ekonomi mereka kini semakin dinamik dan tidak lagi bergantung kepada sektor sara diri semata-mata.

Dengan adanya jalan raya yang sempurna, penduduk mempunyai peluang lebih besar untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Aktiviti perniagaan formal, sektor ekopelancongan seperti inap desa (homestay), serta aktiviti pertanian komersial berskala besar kini menjadi lebih maju.

Transformasi ekonomi ini amat penting bagi memastikan kelestarian komuniti luar bandar dan seterusnya mengurangkan kadar migrasi belia ke bandar.

Walau bagaimanapun, niat yang baik dalam pembinaan jalan raya harus disusuli dengan kelestarian penyelenggaraan.

Isu kerosakan jalan yang berulang merupakan kritikan utama komuniti kerana ia melibatkan risiko nyawa pengguna yang kerap kali tiada pilihan laluan alternatif.

Laporan Bernama (26 Ogos 2025) mendedahkan sebanyak 224 jalan berlubang terpaksa ditampal di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun tersebut.

Tindakan sekadar 'menampal' ini bersifat sementara dan tidak mencukupi untuk menjamin keselamatan jangka panjang.

Pembangunan yang berjaya bukan hanya terletak pada projek yang siap dibina, tetapi pada kualiti penyelenggaraan yang mampan.

Pihak berwajib perlu beralih daripada sekadar mengejar KPI pembinaan kepada memastikan jalan sentiasa selamat untuk digunakan oleh setiap lapisan rakyat.

Sektor infrastruktur luar bandar tidak memerlukan penyelesaian jangka pendek. Ia memerlukan komitmen berterusan terhadap keselamatan dan kualiti bagi memastikan kesejahteraan rakyat di pedalaman benar-benar terjaga untuk masa hadapan.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Masliza Masen.

2. Penyelaras kursus Sosiologi Desa, FSSK, UKM, Dr Velan Kunjuraman.