Genius, cantik dan solehah. Itulah gambaran tepat yang sesuai diberikan kepada pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Singapura, Sumayyah Jumadi yang muncul antara pelajar terbaik Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IB) di madrasah itu tahun lalu.
Menerusi sebuah video yang tular di media sosial, Sumayyah mendedahkan bahawa kejayaannya lahir daripada berdikari, kesabaran dan sokongan tanpa henti daripada keluarga dan rakan-rakan.
"Ibu bapa saya sentiasa berada di sisi saya, bahkan ketika belajar hingga larut malam. Sokongan mereka adalah yang terbesar. Kawan-kawan juga banyak membantu dalam pelajaran.
"Nasihat saya kepada semua, sentiasalah bersyukur kerana dengan kesyukuran kita akan terdorong untuk memberi yang terbaik dalam setiap bidang yang diceburi," katanya.
Bercakap tentang masa depan, Sumayyah bercita-cita menceburi dua bidang iaitu bidang ukhrawi (ilmu Fiqh atau Syariah di Universiti Al-Azhar) dan akademik (sosiologi).
Semoga impian Sumayyah menjadi kenyataan dan kisahnya menjadi dorongan kepada generasi muda bahawa setiap usaha, kesabaran dan doa keluarga adalah kunci untuk meraih kejayaan yang gemilang.
Untuk info, Madrasah Aljunied Al-Islamiah ialah sebuah institusi pendidikan Islam sepenuh masa di Singapura yang berusia hampir satu abad, diasaskan pada 1927 oleh Syed Abdul Rahman Aljunied.
Ia merupakan salah satu madrasah tertua dan paling dihormati di negara itu, terkenal dengan standard tinggi dalam bahasa Arab dan ilmu keislaman serta berperanan melahirkan pemimpin agama dan sarjana Muslim di seluruh Asia Tenggara.