Bermula tahun 2027, kerajaan membuka ruang kepada kanak-kanak berusia 6 tahun untuk memulakan Darjah Satu.
Pengumuman ini bukan satu paksaan, sebaliknya memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menilai kesediaan anak mereka. Pendidikan awal kini dilihat sebagai asas penting kepada perkembangan kognitif, sosial dan emosi murid sejak usia muda.
Otak kanak-kanak berkembang pesat pada tahun-tahun awal. Dengan memulakan sekolah lebih awal, mereka berpeluang membina asas literasi, numerasi dan kemahiran sosial dengan lebih kukuh.
Anak-anak belajar bekerja dalam kumpulan, menghormati peraturan dan mengasah keyakinan diri sekali gus kemahiran yang akan menjadi tunjang kepada pembelajaran sepanjang hayat.
Masa tambahan yang mereka peroleh sebelum menempuh pendidikan menengah juga memberi peluang untuk menyesuaikan diri, membentuk rutin belajar yang konsisten dan memperbaiki kelemahan secara berperingkat.
Namun, bukan semua anak bersedia pada usia 6 tahun. Aspek kesiapsiagaan emosi dan sosial berbeza antara seorang anak dengan anak yang lain.
Oleh itu, dasar sukarela yang diperkenalkan kerajaan amat wajar. Ibu bapa diberi ruang membuat keputusan bijak berdasarkan pemerhatian terhadap anak masing-masing, memastikan setiap langkah pendidikan selari dengan kemampuan dan kesediaan mereka.
Di sebalik manfaatnya, pelaksanaan perubahan ini menuntut persediaan sistem pendidikan yang rapi. Guru perlu dilatih, kurikulum awal perlu diperkukuh dan sokongan keluarga menjadi penentu kejayaan.
Apabila ketiga-tiga elemen ini digabungkan, pendidikan awal boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan murid yang lebih holistik, menjadikan mereka bukan sahaja pintar akademik tetapi juga cekap sosial dan emosi.
Keputusan membenarkan kanak-kanak 6 tahun memasuki darjah satu menekankan bahawa pendidikan awal adalah pilihan bijak ibu bapa, bukan satu paksaan.
Bagi mereka yang bersedia, peluang ini memberi asas kukuh untuk masa depan pendidikan anak. Bagi ibu bapa yang mahu menunggu sehingga usia 7 tahun, pilihan itu tetap dihormati kerana yang paling penting adalah kesediaan murid sendiri untuk mula menimba ilmu.