Adakah sistem pendidikan baharu 2026-2035 sesuai untuk semua?

Iklan
Gambar hiasan

Sistem pendidikan akan mengalami perubahan yang besar.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengumumkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) bagi tempoh 2026 hingga 2035.

Iklan
Iklan

Beliau telah mengumumkan dua perkara yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan prasekolah.

Menurut RPM, pembelajaran Tahun Satu akan bermula seawal umur enam tahun mulai tahun 2027, bergantung kepada kesiapsiagaan pelaksanaan di peringkat nasional.

Iklan

Tujuan langkah ini adalah untuk memperkukuh asas pembelajaran dan menyediakan pelajar agar lebih bersedia.

Ibu bapa masih diberi kebenaran untuk memilih sama ada ingin memasukkan anak-anak ke alam pendidikan Tahun Satu pada usia enam atau tujuh tahun.

Iklan

Selain itu, Perdana Menteri juga menyatakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan pendekatan baharu dalam penilaian pembelajaran di sekolah rendah melalui sistem matriks, iaitu Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat, yang akan dilaksanakan mulai tahun 2026.

Tujuan pentaksiran ini adalah untuk menilai penguasaan empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengukuran ini akan ditadbir oleh Lembaga Peperiksaan sebagai usaha memperkukuh sistem penilaian pendidikan negara.

Sistem ini lebih menyeluruh dan berfokus kepada penguasaan pembelajaran murid.

Pendekatan ini juga bertujuan memastikan tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti lebih awal. Ini membolehkan intervensi dilaksanakan secara tersasar bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Namun begitu, persoalan yang wajar dibincangkan ialah sejauh mana kedua-dua pengumuman ini akan memberi perubahan kepada murid, guru dan ibu bapa.

Dari sudut pendidikan, pengumuman ini dijangka memberi kesan positif kepada semua golongan.

Bagi isu pentaksiran Tahun Empat, ia berfungsi sebagai penanda aras yang cekap di peringkat awal sekolah rendah. Pendekatan ini membolehkan pelajar bersedia lebih awal sebelum memasuki alam peperiksaan.

Mereka juga akan memperoleh pengalaman awal dalam menghadapi penilaian formal.

Selain itu, pihak sekolah akan mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti tahap penguasaan murid di peringkat awal dalam kemahiran 4M sebelum memasuki sekolah menengah.

Hal ini turut membantu kerjasama antara guru dan ibu bapa dalam mengenal pasti murid yang lemah serta menyediakan latihan untuk meningkatkan penguasaan mereka.

Keadaan ini dapat membantu pelajar memasuki Tingkatan Satu dengan tahap pengetahuan yang lebih baik.

Sebelum ini, ramai pelajar memasuki Tingkatan Satu tanpa penguasaan yang baik dalam kemahiran 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.

Situasi ini menyebabkan ramai pelajar terpaksa memasuki kelas peralihan berbanding kelas Tingkatan Satu biasa, terutamanya dalam kalangan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Pelaksanaan pentaksiran ini diharapkan dapat mengurangkan bilangan pelajar yang memasuki kelas peralihan dan membolehkan mereka terus mengikuti pembelajaran di Tingkatan Satu.

Hakikatnya, terdapat juga pelajar dari sekolah kebangsaan yang masih belum menguasai sepenuhnya kemahiran 3M. Namun, mereka tetap memasuki Tingkatan Satu dan menghadapi kesukaran dalam subjek teras.

Melalui pendekatan ini, guru dapat menilai tahap pelajar dengan lebih awal. Mereka juga dapat menyediakan latihan yang mencukupi dan memastikan murid bersedia memasuki Tingkatan Satu dengan lebih yakin.

Bagi pengumuman yang membenarkan kanak-kanak berumur enam tahun memasuki Tahun Satu, langkah ini membolehkan mereka memperoleh pendedahan pembelajaran lebih awal. Ia juga membantu persediaan jangka panjang untuk memasuki alam sekolah menengah.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pengumuman ini juga mempunyai kekurangan.

Pelaksanaan pentaksiran terhadap pelajar Tahun Empat yang berumur sekitar 10 tahun berpotensi menyebabkan tekanan dan kebimbangan dalam kalangan murid.

Mereka mungkin mengalami tekanan emosi dan mental kerana perlu memberi tumpuan lebih tinggi serta membuat persediaan rapi untuk mencapai keputusan yang baik.

Walaupun pentaksiran ini bertujuan menilai penguasaan pembelajaran, terdapat kebimbangan bahawa sekolah dan ibu bapa akan terlalu menumpukan perhatian kepada skor dan perbandingan. Hal ini boleh meningkatkan tekanan kepada murid dan guru.

Selain itu, kanak-kanak berumur empat atau lima tahun yang baru mempelajari asas membaca, menulis dan mengira mungkin berasa terbeban sekiranya terus memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun tanpa persediaan mencukupi.

Keadaan ini boleh menyebabkan tekanan dari segi perkembangan mental dan emosi.

Walaupun Perdana Menteri menegaskan bahawa keputusan adalah terpulang kepada ibu bapa, terdapat kebimbangan bahawa ibu bapa akan terburu-buru menghantar anak ke Tahun Satu tanpa mengambil kira tahap kesiapsiagaan dan kebolehan anak masing-masing.

Selain memberi tekanan kepada kanak-kanak, perubahan ini juga boleh meningkatkan beban terhadap pihak guru. Banyak sekolah di Malaysia masih berhadapan dengan masalah kekurangan guru.

Pelaksanaan sistem pentaksiran baharu memerlukan guru yang berkualiti dari segi fizikal dan mental.

Guru perlu bersedia menyediakan murid dengan baik. Jika perancangan tidak dibuat secara rapi, pentaksiran ini berisiko gagal mencapai matlamat.

Guru juga perlu menilai dan memantau setiap murid secara menyeluruh, bukan sahaja di peringkat prasekolah tetapi juga sekolah rendah.

Kedua-dua peringkat guru perlu bekerjasama dan berusaha keras untuk memastikan murid menguasai kemahiran 3M dengan baik.

Oleh itu, bagi memastikan perubahan dasar ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, pelaksanaannya perlu dirangka secara teliti dan berperingkat.

Pentaksiran Tahun Empat perlu difahami sebagai alat sokongan pembelajaran, bukan semata-mata untuk mendapatkan skor tinggi.

Penekanan harus diberikan kepada keupayaan murid membaca, menulis dan mengira agar mereka berasa kurang takut menghadapi pentaksiran.

Bagi kanak-kanak berumur enam tahun yang ingin memasuki Tahun Satu, penguasaan asas pembelajaran perlu dinilai dengan cara yang betul. Pentaksiran harus berasaskan penguasaan ilmu, bukan hanya pencapaian skor.

Kementerian Pendidikan Malaysia akan menjalankan ujian diagnostik untuk mengenal pasti tahap asas pendidikan dan keperluan khusus setiap murid.

Langkah ini penting untuk membantu ibu bapa dan pihak sekolah menentukan sama ada seseorang kanak-kanak benar-benar bersedia dari segi psikologi dan emosi.

Selain itu, pihak sekolah dan kerajaan perlu menyediakan latihan tambahan kepada guru.

Guru yang berkeupayaan tinggi amat penting kerana mereka berperanan secara langsung dalam mendidik dan memantau murid.

Guru perlu lebih peka, berdedikasi dan menitikberatkan proses pengajaran agar murid memahami dan menguasai pembelajaran dengan cekap. Pentaksiran Tahun Empat perlu dijalankan berlandaskan prinsip perkembangan kanak-kanak.

Pembelajaran harus berasaskan penerokaan, permainan dan interaksi sosial.

Pendekatan ini membantu murid membina minat terhadap pembelajaran dalam persekitaran yang sihat serta membentuk asas emosi yang kukuh.

Latihan dan sokongan berterusan kepada guru sangat penting bagi memastikan pelaksanaan pentaksiran berjalan lancar. Ibu bapa juga perlu mempunyai komunikasi yang jelas dan telus dengan pihak sekolah.

Mereka harus memahami bahawa pentaksiran ini bertujuan membantu perkembangan anak, bukan untuk menilai kejayaan atau kegagalan semata-mata.

Kerajaan telah memberi kelonggaran kepada ibu bapa untuk membuat pilihan sama ada anak mereka bersedia memasuki Tahun Satu atau tidak.

Keputusan ini tidak seharusnya dibuat secara paksaan. Sekiranya kanak-kanak belum bersedia, mereka masih diberi peluang meneruskan pendidikan prasekolah.

Hal ini tidak bermaksud kanak-kanak yang memasuki Tahun Satu lebih bijak, atau kanak-kanak yang belum memasuki Tahun Satu kurang pandai.

Kesimpulannya pelaksanaan perubahan pendidikan ini berpotensi memberi manfaat dan cabaran kepada murid, guru dan ibu bapa.

Kejayaan dasar ini bergantung kepada persediaan yang teliti, kerjasama pihak sekolah, guru, dan ibu bapa, serta pemantauan berterusan bagi memastikan murid benar-benar bersedia dan dapat menguasai asas pembelajaran dengan baik.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Hasviny Vasudevan.

2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli.