Pelaksanaan penilaian asas pada Tahun Empat di bawah Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 bertujuan mengenal pasti kelemahan murid dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira lebih awal, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan intervensi dan pemulihan dapat dilaksanakan lebih awal, sebelum murid melangkah ke peringkat menengah, berbanding hanya bergantung kepada penilaian pada Tahun Enam.
Beliau menegaskan dasar berkenaan dirangka bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih bersedia melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, termasuk dalam bidang teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
"Dasar pendidikan negara (RPN) yang baharu memberi penekanan kepada peningkatan mutu pendidikan demi menjamin masa depan anak-anak," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran blok baharu Hospital Seberang Jaya di Perai.
Anwar turut menyentuh cadangan penyegerakan kemasukan prasekolah seawal usia lima tahun sebagai langkah persediaan awal sebelum kanak-kanak memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun.
Anwar berkata, kerajaan turut menyediakan kemudahan prasekolah secara percuma di sekolah-sekolah bagi memastikan semua murid memperoleh asas pendidikan yang mencukupi sejak awal.
Dalam pada itu, beliau menegaskan isu pendidikan tidak wajar terus dipolemikkan dengan perkara yang boleh memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada kualiti pembelajaran serta pembinaan nilai insan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.
Beliau berkata, kerajaan bersedia memberi ruang kepada pelbagai aliran pendidikan, termasuk sekolah agama, sekolah antarabangsa dan aliran bahasa, dengan syarat pelajar menguasai bahasa Melayu serta memahami sejarah Malaysia sebagai asas kepada perpaduan nasional.
Anwar turut menjelaskan pelajar daripada pelbagai sistem pendidikan yang memenuhi syarat itu wajar diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk ke kolej dan universiti dalam bidang tertentu.
Perdana Menteri menegaskan pendekatan inklusif itu penting bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal adil dan saksama, serta memberi peluang kepada semua, namun tetap berpaksikan identiti kebangsaan.
"Pada masa sama, sistem pendidikan bukan sahaja perlu menekankan penguasaan teknologi dan kemahiran baharu, malah berperanan membentuk insan yang mempunyai nilai kemanusiaan, saling menghormati antara kaum serta memahami kepelbagaian budaya di Malaysia," katanya. - Bernama