Keprihatinan sosial dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL) dizahirkan menerusi penganjuran program khidmat masyarakat bertajuk 'Jalinan Ceria UNISEL dan PDK Sungai Buloh' dengan tema 'Sehari Bersama Sahabat Istimewa' di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.
Program anjuran pelajar kursus Social Work Skills itu bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai keperluan serta cabaran yang dihadapi oleh komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), selain memupuk nilai empati, keprihatinan sosial dan tanggungjawab masyarakat dalam kalangan generasi muda.
Pensyarah kursus, Ir Ts Dr Nazlin Hanie Abdullah menekankan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti komuniti sebagai satu pendekatan pembelajaran bermakna yang menerapkan nilai kemanusiaan selari dengan ilmu akademik.
Program ini membantu mahasiswa memahami realiti kehidupan komuniti OKU dan membentuk kepekaan sosial dan empati, serta melahirkan graduan yang lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat.
Pelbagai aktiviti mesra OKU telah dijalankan sepanjang program, antaranya permainan bola hantaran, aktiviti menyanyi bersama, 'dance freeze' dan 'magic hands' yang berjaya menceriakan suasana serta menggalakkan interaksi sosial positif antara mahasiswa dan anak-anak OKU.
Sehubungan itu, pengarah program, Nur Aresha Zaara binti Sallehuddin, menyatakan bahawa penganjuran aktiviti tersebut memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada semua ahli kumpulan.
Aktiviti ini mengajar mereka bahawa sedikit perhatian dan kasih sayang mampu membawa kegembiraan yang besar kepada sahabat istimewa. Program berkenaan turut membuka mata peserta tentang erti sebenar empati dan nilai kemanusiaan.
Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamarataan) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) melalui usaha meningkatkan inklusiviti dan kesejahteraan emosi komuniti OKU, pembelajaran berasaskan pengalaman kepada mahasiswa serta kerjasama erat antara universiti dan komuniti setempat.
Penyelia PDK Sungai Buloh, Sapura Arshad menzahirkan penghargaan kepada pihak UNISEL atas keprihatinan yang ditunjukkan.
Kehadiran mahasiswa dan pensyarah bukan sahaja membawa keceriaan kepada anak-anak, malah program ini memberi sokongan emosi yang positif dan nilai bermakna kepada komuniti.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mewujudkan suasana ceria dan penuh kasih sayang sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat setempat.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mewujudkan suasana ceria dan penuh kasih sayang di PDK Sungai Buloh sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.
Inisiatif sebegini membuktikan peranan mahasiswa sebagai pencetus perubahan sosial dalam membina kebersamaan masyarakat yang lebih inklusif dan mampan.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki nilai empati, tanggungjawab sosial dan kemanusiaan yang tinggi.
Maklumat penulis:
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan & Sains Hayat, Ir Ts Dr Nazlin Hanie Abdullah