Menghasilkan projek akhir tahun di universiti bukanlah kerja mudah. Ia menuntut tenaga, idea kreatif dan kesabaran yang tinggi.
Sekiranya tidak mampu menghadapi cabaran, pelajar boleh menjadi tertekan atau hampir berputus asa.
Baru-baru ini, pempengaruh dan graduan cemerlang, Mek Yun berkongsi nasihat berharga untuk semua pelajar Tahun Akhir di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan pelajar lain.
"Jangan pernah rasa projek anda kecil, biasa atau tak cukup hebat. Setiap idea yang dihasilkan itu adalah langkah pertama untuk masa depan anda sendiri.
"Mek Yun dulu pun bermula macam adik-adik semua. Jadi percaya pada diri. Consistent. Jangan berhenti belajar," katanya di Facebook pada Ahad.
Mek Yun atau nama penuhnya Wee Yun Nee, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, UTHM.
Beliau pernah menerima Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik semasa Istiadat Konvokesyen ke-21 UTHM.
Kini, Mek Yun dilantik sebagai Panel Penilai Projek Akhir Tahun Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Tahniah Mek Yun. Semoga terus cemerlang, memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar dan berjaya dalam setiap langkah kerjaya yang diceburi.