Sukan pingpong Malaysia terus melakar sejarah membanggakan apabila bakat-bakat muda negara semakin menyerlah di pentas antarabangsa.
Sebelum ini, arena pingpong tanah air telah melahirkan ramai pemain berkaliber yang mencipta nama dan kejayaan tersendiri seperti Wong Qi Shen, Choong Javen, Danny Ng Wann Sing, Chang Li Sian Alice, Dania Elisha Mohd Airul dan Faiz Hizir Mohamad Hizir Ilias.
Terbaharu, permata muda negara, Habib Adrian Muhamad Suhaidin Azhar, 11, atau lebih dikenali sebagai Azhar Habib, mencuri tumpuan apabila muncul sebagai pemain nombor dua dunia kategori bawah 11 tahun selepas merangkul kejuaraan WTT Youth Contender Cappadocia 2026.
Kejayaan luar biasa itu sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dan membuktikan potensi besar Azhar Habib dalam dunia pingpong.
Menerusi perkongsian Facebook Harimau Malaya, Azhar Habib mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan wakil tuan rumah, Ege Bolat dari Turki dengan kemenangan straight set 3–0 (11–7, 11–9, 11–9) pada perlawanan akhir.
Sebelum itu, di peringkat separuh akhir, Azhar Habib berdepan saingan sengit daripada pemain Iraq, Younus Ahmed, sebelum mencatat kemenangan tipis 3–2 dalam perlawanan yang penuh mendebarkan.
"Kemenangan ini membuktikan kemampuan Azhar Habib bersaing di peringkat antarabangsa dan menunjukkan beliau berada pada landasan yang tepat untuk masa depan pingpong Malaysia,” menurut kenyataan yang dikongsikan.
Di sebalik kejayaan tersebut, bapa Azhar Habib, Muhamad Suhaidin Azhar Bidin @ Jamaludin, yang juga pengusaha sebuah pusat latihan pingpong mengakui beliau tidak menyangka minat kedua-dua anak lelakinya, termasuk adik Azhar Habib, Raden Zharif Muhamad Suhaidin Azhar, berkembang menjadi begitu serius.
Menurutnya, pada peringkat awal, mereka sekadar mengikut beliau ke pusat latihan untuk mengisi masa lapang.
"Sejak bayi, saya membawa mereka ke pusat latihan untuk membina keseronokan dan kemahiran asas seperti koordinasi mata dan tangan. Apabila berusia dua tahun, barulah latihan memukul bola diperkenalkan bagi memupuk minat.
"Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya pula membawa mereka menonton kejohanan dan memberi ganjaran kecil agar minat itu terus kekal," katanya seperti dipetik portal tempatan.
Akhir kata, kepada adik Azhar Habib, semoga terus berusaha, kekal rendah diri dan tidak pernah berhenti mengejar impian. Semoga kejayaan hari ini menjadi langkah awal untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia pada masa hadapan.