Bahasa Melayu & Sejarah wajib semua aliran: KPM & KPT sedang sediakan laluan SPM

Iklan
Pihak sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah menengah persendirian Cina telah menyediakan laluan peperiksaan SPM untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian di IPTA. Gambar kecil: Zambry.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini sedang meneliti aspek teknikal pelaksanaan keputusan mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah bagi semua aliran pendidikan di Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tumpuan kini diberikan kepada cara penilaian, peperiksaan dan pemantauan kualiti, terutamanya melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz serta sekolah persendirian Cina.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan, beberapa siri perbincangan telah diadakan termasuk pertemuan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan pelbagai persatuan antaranya Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat, serta wakil sekolah antarabangsa.

“Dalam pertemuan itu, KPM membincangkan ketetapan supaya pelajar di sekolah yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan tetap menduduki Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat SPM. Keputusan rasmi akan dimaklumkan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPT di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Iklan

Bagi KPT, Zambry berkata, sesi libat urus telah diadakan pada 4 Februari lepas bersama persatuan sekolah antarabangsa, jawatankuasa pendidikan daripada Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC), Help International Schools Group, Sunway International Schools, serta Taylor's Education Group.

Daripada sesi itu, pihak sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah menengah persendirian Cina memaklumkan telah menyediakan laluan peperiksaan SPM untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian di IPTA.

Iklan

"Menariknya, lebih 87 peratus pelajar sekolah persendirian Cina mengambil peperiksaan SPM," katanya.

Selain itu, Zambry menjelaskan bahawa KPT dan KPM sedang meneliti perubahan struktur program matrikulasi dan tingkatan enam, termasuk aspek perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.

Jawatankuasa Pemandu Bersama antara KPT dan KPM telah ditubuhkan pada 19 Disember lepas untuk memastikan semua aspek dipantau dengan teliti, termasuk pengoptimuman sumber sedia ada.

Mulai tahun depan, KPT akan mengambil alih keseluruhan sistem prauniversiti, termasuk tingkatan enam dan matrikulasi, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pendidikan tinggi negara.