5 Ikon Guru Negara ke Scotland, bawa suara pendidikan Malaysia ke pentas global!

Iklan
Penglibatan kelima-lima guru ini dalam program GIFT bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu di peringkat antarabangsa, malah secara tidak langsung memperkukuh jaringan kerjasama pendidikan global serta memperkenalkan amalan terbaik pendidikan Malaysia ke pentas dunia.

Lima Ikon Guru Negara mengharumkan nama Malaysia apabila terpilih mewakili negara dalam Program Global Immersion for Future-Ready Teacher (GIFT) di Fairview International School, Scotland baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada Cikgu Amirudin Razali (Anugerah Ikon Guru Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)); Cikgu Mohd Zulkhairi Umar (Anugerah Guru Berwibawa - Guru Orang Asli/Peribumi); Cikgu Dr Oh Zi Jian (Anugerah Guru Inovatif); Cikgu Mohamad Nazri Mat Irani (Anugerah Ikon Guru Sukan) dan Cikgu Dr Tan Yong Chee (Anugerah Guru Berwibawa - Guru Sekolah Swasta).

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, penglibatan kelima-lima guru ini dalam program GIFT bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu di peringkat antarabangsa, malah secara tidak langsung memperkukuh jaringan kerjasama pendidikan global serta memperkenalkan amalan terbaik pendidikan Malaysia ke pentas dunia.

"Program yang berlangsung hampir seminggu itu memberi pendedahan menyeluruh kepada pendekatan International Baccalaureate (IB), termasuk aspek pengurusan kesejahteraan murid, pedagogi inovatif, sokongan pembelajaran individu serta kepimpinan sekolah bertaraf antarabangsa.

Iklan

"Sepanjang program, para guru berpeluang mengikuti sesi pemerhatian pengajaran merentas pelbagai bidang seperti Matematik, Sains, Muzik, Bahasa, Geografi, Seni Visual dan Pendidikan Kesihatan. Pengalaman ini membolehkan mereka meneliti secara langsung kaedah pelaksanaan kurikulum dan budaya pembelajaran yang diamalkan dalam persekitaran pendidikan global.

Iklan

"Antara pendekatan yang mendapat perhatian ialah penggunaan struktur pengajaran First-Next-Last, penilaian reflektif murid serta amalan pembelajaran berasaskan inkuiri yang dilaksanakan secara konsisten merentas semua peringkat umur," kongsi kenyataan itu.

Seterusnya, para peserta turut didedahkan dengan sistem Individual Education Programme (IEP), amalan perlindungan dan keselamatan murid serta budaya profesionalisme tinggi dalam kalangan warga sekolah, yang dilihat sebagai tunjang kepada pembelajaran berkesan dan inklusif.

Memperkukuh perspektif STEM dan refleksi pembelajaran

Sebagai Ikon Guru STEM, Cikgu Amirudin berkata, dia menekankan kepentingan membina budaya pembelajaran kendiri dan reflektif dalam kalangan murid.

Dirinya tertarik dengan pendekatan Chili Rubric iaitu kaedah penilaian yang membimbing murid menilai tahap kesukaran tugasan, membuat refleksi kendiri dan membandingkan persepsi mereka dengan penilaian guru.

"Pendekatan ini bukan sahaja membantu murid memahami proses pembelajaran mereka sendiri, malah membentuk growth mindset dan rasa tanggungjawab terhadap pembelajaran jangka panjang.

"Amalan di Fairview menunjukkan bahawa pembelajaran yang bermakna berlaku apabila murid faham mereka belajar untuk diri sendiri, bukan semata-mata untuk ganjaran. Budaya ini dibina melalui sokongan konsisten guru dan ibu bapa sejak awal," jelasnya.

Beliau turut melihat potensi besar pendekatan IB dalam pengajaran Sains dan Matematik untuk melahirkan murid yang berfikir secara saintifik, kritikal dan mampu menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Sumbangan dan perspektif rakan-rakan delegasi

Sementara itu, rakan-rakan delegasi turut berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing sepanjang mengikuti program di Scotland.

Bagi Cikgu Mohd Zulkhairi, beliau memberi perhatian kepada aspek keterangkuman dan sokongan emosi murid, khususnya dalam membina keyakinan dan jati diri pelajar.

Cikgu Zi Jian pula meneliti pendekatan inovasi bilik darjah dan kreativiti pengajaran merentas subjek.

Cikgu Mohamad Nazri tertarik dengan keseimbangan antara akademik dan pembangunan fizikal murid melalui aktiviti kokurikulum dan sukan, manakala Cikgu Yong Chee menekankan kekuatan kepimpinan sekolah serta peranan budaya profesional dalam menjamin kualiti pengajaran.

Bahasa, budaya dan pertukaran global

Selain aktiviti yang disediakan, GIFT turut dimeriahkan dengan sesi pertukaran budaya apabila guru dan murid Fairview menyertai tarian tradisional Malaysia, aktiviti batik dan permainan tradisional.

Selain itu, pengajaran bahasa asing seperti Mandarin dan Sepanyol yang dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa sasaran memberi inspirasi kepada delegasi Malaysia tentang kepentingan pembelajaran imersif dan ketekunan guru.

"Kesemua guru bersetuju bahawa penyertaan dalam GIFT ini memberi pendedahan berharga yang akan dimanfaatkan dalam konteks pendidikan di Malaysia.

"Ilmu dan amalan terbaik yang diperoleh dijangka menyumbang kepada peningkatan kualiti pengajaran, pembangunan sahsiah murid dan pengukuhan budaya sekolah yang lebih reflektif, inklusif serta berwawasan global," ujarnya.

Akhir sekali, GIFT membuktikan bahawa pendidik Malaysia mampu berdiri setara dengan pendidik antarabangsa dan memainkan peranan aktif dalam membentuk landskap pendidikan global.