Berjaya serlahkan potensi pelajar

Iklan

Sorakan bergema sebaik sahaja nama pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Jawa, Klang diumumkan sebagai juara Pertandingan Bicara Berirama sempena Karangkraf Ramadan Bookfest.

Ada yang menutup wajah, memeluk rakan di sisi, malah tidak kurang mengalirkan air mata kegembiraan.

Iklan
Iklan

Bagi guru pengiring sekolah, Nur Amalina Ishak, itu antara momen bermakna sepanjang perjalanan murid-muridnya dalam dunia bicara berirama.

“Alhamdulillah, sejujurnya saya tidak menyangka kerana semua pasukan memberikan persembahan yang sangat baik dan bertenaga.

Iklan

“Tangisan kegembiraan anak-anak ini pasti akan tersemat di hati sampai bila-bila,” katanya kepada Sinar Bestari selepas penyampaian hadiah.

Iklan

Pertandingan Bicara Berirama yang berlangsung di Studio F Karangkraf itu disertai lima sekolah. SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara berjaya menduduki tempat kedua, manakala SMK Puchong Utama (1) menghuni tempat ketiga.

Meskipun baru tahun kedua menyertai pertandingan bicara berirama, Nur Amalina mengakui persembahan daripada murid-murid nyata berbeza.

Nur Amalina berkata lagi, dalam tempoh dua minggu, pasukannya menyiapkan dan menghafal skrip serta merancang pergerakan dengan komitmen yang tinggi.

“Perkembangan itu satu petanda positif bahawa murid semakin yakin dan matang.

“Menariknya, tidak semua peserta bermula dengan keberanian. Ada yang takut dan malumalu apabila berada di hadapan orang ramai.

“Dengan suasana latihan yang santai dan saling memberi galakan menjadi faktor utama mereka mencapai kata sepakat,” ujarnya.

Setiap masalah didengar secara terbuka, manakala pemantauan individu dilakukan agar setiap murid berpeluang menyerlahkan potensi diri.

Baginya, peranan ketua kumpulan turut diperkasakan sebagai orang tengah antara guru penasihat dan pasukan.

“Saya percaya, suasana yang positif dan ceria menjadi tunjang utama kepada kejayaan ini,” katanya lagi.