Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk terus diperkukuh apabila 30 pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah menyertai Program Santuni Masyarakat: Memperkukuh Keharmonian dan Perpaduan Kaum sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Program dengan kerjasama Masjid Al-Ummah Telok Chengai itu menyaksikan para pelajar turun padang mengunjungi beberapa taman perumahan bagi mengedarkan buah limau kepada masyarakat Tionghua sebagai simbol penghormatan dan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina.
Inisiatif berkenaan bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan biasa, sebaliknya menjadi medan pembelajaran secara langsung kepada pelajar untuk menghayati nilai toleransi, hormat-menghormati dan semangat muhibah berbilang kaum.
Menurut pensyarah Jabatan Pengajian Am POLIMAS, Ustaz Mohd Nazimi Zaim Ismail, penglibatan pelajar dalam program sebegini merupakan platform terbaik untuk menterjemahkan teori yang dipelajari di dalam kelas kepada amalan sebenar dalam kehidupan bermasyarakat.
"Program ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi satu proses pembelajaran berimpak tinggi.
"Pelajar dapat memahami realiti kehidupan masyarakat majmuk negara kita secara lebih dekat, sekali gus membentuk nilai empati, tanggungjawab sosial dan kepekaan terhadap sensitiviti budaya," jelasnya yang juga penasihat program.
Beliau berkata, kumpulan pelajar yang terlibat terdiri daripada pelajar Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal serta pelajar Diploma Ukur Bahan, Jabatan Kejuruteraan Awam yang mengikuti kursus Penghayatan Etika dan Peradaban.
"Melalui kursus ini, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada aspek teori berkaitan etika dan peradaban, malah digalakkan melaksanakan aktiviti berbentuk khidmat komuniti agar nilai yang dipelajari benar-benar difahami dan dihayati," katanya lagi.
Sementara itu, wakil pelajar, Muhammad Afiq Mohd Haizul menyifatkan pengalaman tersebut sebagai amat bermakna dan membuka perspektif baharu kepada peserta.
"Interaksi secara langsung dengan masyarakat pelbagai kaum memberi kami peluang memahami budaya dan cara hidup komuniti dengan lebih dekat. Kami belajar untuk berkomunikasi dengan lebih berhemah dan menghormati perbezaan yang ada," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Masjid Al-Ummah Telok Chengai, Wan Nordin Wan Daud merakamkan penghargaan kepada pihak POLIMAS atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan pensyarah serta para pelajar.
Beliau menegaskan bahawa program seperti ini selari dengan fungsi masjid sebagai institusi yang menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
"Masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah pusat penyatuan ummah dan masyarakat setempat. Apabila institusi pendidikan dan masjid berganding bahu menganjurkan program sebegini, ia memberi mesej jelas bahawa perpaduan perlu dipupuk secara berterusan," ujarnya.