Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila tersenarai di kedudukan pertama bagi 10 Universiti (IPTA) dengan Permohonan Hak Cipta Tertinggi di Malaysia 2025.
Lebih membanggakan, UiTM turut berada di kedudukan ke-9 bagi Permohonan Paten Tertinggi di Malaysia bagi tempoh 2023 hingga 2025, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang konsisten memacu agenda penyelidikan dan inovasi negara.
Pengiktirafan itu dikeluarkan oleh Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO), agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang bertanggungjawab mengurus pendaftaran serta perlindungan harta intelek di Malaysia.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan warga penyelidik, inovator serta keseluruhan ekosistem UiTM dalam memperkasa budaya penyelidikan dan inovasi, di samping menitikberatkan aspek perlindungan harta intelek.
Permohonan hak cipta dan paten yang tinggi bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi indikator jelas bahawa hasil kajian dan inovasi universiti bukan sahaja aktif dihasilkan, malah diurus secara profesional bagi memastikan ia dilindungi serta berpotensi dikomersialkan demi manfaat masyarakat dan negara.
Usaha berterusan dalam memperkasa penyelidikan turut selari dengan aspirasi transformasi UiTM menjelang 2030, yang menekankan kecemerlangan akademik, inovasi berimpak tinggi dan jaringan industri strategik.
Kejayaan ini turut menjadi suntikan motivasi kepada warga universiti untuk terus melakar lebih banyak inovasi berimpak tinggi, khususnya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan era pendigitalan yang kian pesat.
Dengan sokongan kepimpinan universiti serta kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi harta intelek dan rakan industri, UiTM dilihat berada pada landasan tepat untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara peneraju inovasi dalam kalangan IPTA di Malaysia.
Setinggi-tinggi penghargaan wajar diberikan kepada semua penyelidik, pensyarah, pelajar serta pihak pengurusan yang menyumbang kepada kecemerlangan ini.
Semoga kejayaan berterusan UiTM menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidikan untuk terus memacu budaya penyelidikan, inovasi dan perlindungan harta intelek demi kemajuan negara!