Hujan berterusan yang melanda beberapa daerah di Sabah bukan sahaja menyebabkan paras sungai meningkat dan laluan utama terputus, malah menjejaskan sesi persekolahan apabila seramai 5,730 pelajar sekolah rendah dan menengah terkesan akibat banjir.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin, memaklumkan jumlah itu melibatkan 27 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran, Pitas dan Sipitang.
Menurut beliau, sebanyak 16 sekolah di bawah PPD Beluran membabitkan 2,575 pelajar yang terjejas akibat banjir. Di PPD Pitas pula, enam sekolah melibatkan 2,029 pelajar terkesan banjir, manakala empat lagi sekolah membabitkan 1,068 pelajar terjejas susulan kejadian jalan terputus.
“Selain itu, sebuah sekolah di bawah PPD Sipitang turut terkesan akibat banjir melibatkan 58 pelajar,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Ruddy Awah, berkata pembukaan semula sekolah pada Isnin masih dalam perbincangan berikutan beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menggunakan bangunan sekolah sebagai lokasi penempatan mangsa banjir.
Beliau memaklumkan perbincangan telah diadakan bersama guru besar dan Pegawai Pendidikan Daerah bagi menentukan langkah seterusnya sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.
“Soal pendidikan ada caranya untuk disusun semula, tetapi keselamatan nyawa perlu diutamakan,” tegasnya.
Situasi ini sekali lagi mengingatkan bahawa di sebalik jadual kelas dan peperiksaan, aspek keselamatan serta kebajikan murid menjadi keutamaan. Bagi pelajar yang terjejas, cabaran banjir bukan sekadar menunda sesi pembelajaran, tetapi juga menguji ketahanan emosi dan semangat mereka untuk terus mengejar ilmu dalam apa jua keadaan.
Pihak berkuasa dan sekolah kini memantau perkembangan cuaca dari semasa ke semasa, sambil memastikan segala tindakan yang diambil mengutamakan keselamatan pelajar, guru dan komuniti setempat.