Malam Sabtu itu sepatutnya menjadi malam biasa buat seorang pelajar Tahun Akhir Diploma Teknologi Elektrik di Kolej Vokasional Kuala Krai, Kelantan. Namun siapa sangka, dalam sekelip mata, kemalangan jalan raya yang berlaku telah mengubah seluruh perjalanan hidupnya.
Impian yang sedang dibina di bangku pengajian kini berdepan ujian tidak pernah terbayang, menjadikan detik itu sebagai titik perubahan besar dalam hidupnya.
Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai-Chuchoh Puteri, mangsa, Sayyid Iskandar Mohamad Azaha, 19, atau lebih mesra dikenali sebagai Butat mengalami kecederaan parah sehingga terpaksa kehilangan kaki kanan.
Lebih menyentuh hati, Sayyid Iskandar bukan sahaja seorang pelajar aktif, malah merupakan pelatih bagi pasukan SUKMA Ragbi Lelaki Terengganu, dengan impian besar untuk terus mengharumkan nama pasukan dan negeri suatu hari nanti.
Kini, beliau sedang menerima rawatan rapi di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan serius yang dialami.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Batu Balai menuju ke Kampung Mengkebang dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan.
Akibat pertembungan tersebut, Sayyid Iskandar mengalami kecederaan parah termasuk putus kaki kanan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak pengurusan KV Kuala Krai tidak menunggu lama untuk menzahirkan sokongan.
Pengarahnya, Mohd Sahardi Che Harun bersama wakil kolej telah hadir menziarahi pelajar berkenaan di hospital bagi memberi sokongan moral kepada keluarga.
Kunjungan itu turut disertai penyampaian sumbangan kepada ibu mangsa bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga dalam menghadapi ujian berat ini.
Sementara itu, perkongsian mengenai keadaan beliau di media sosial mengundang rasa sebak warga maya yang tidak putus-putus menitipkan doa agar anak muda tersebut diberikan kekuatan untuk bangkit semula.
Semoga ALLAH SWT mengurniakan kesembuhan buat Sayyid Iskandar serta memberikan ketabahan luar biasa dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.