Air mata belum kering tangisi pelajar MRSM Bentong, kini dua beradik KV pula meninggal serentak

Iklan
Kejadian menyayat hati itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari rumah menuju ke kolej, membawa bersama impian dan cita-cita yang tidak sempat digapai. Gambar kecil: Luqman Nulrois (atas) dan Siti Nurzulaikha (bawah)

Belum pun kering air mata mengenangkan pemergian pelajar Maktab Rendah Sains Mara Bentong (MRSM) Bentong, Pahang, Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi, 17, yang terkorban dalam kebakaran rumah Khamis lalu, negara sekali lagi diuji dengan berita menyayat hati.

Kali ini, dua beradik yang juga pelajar Kolej Vokasional (KV) Nibong Tebal, Pulau Pinang, pergi buat selama-lamanya dalam satu kemalangan tragis di Lebuh Raya Utara Selatan.

Iklan
Iklan

Luqman Nulrois Mohammad Shukor, 18, dan adiknya, Siti Nurzulaikha Mohammad Shukor, 17, maut selepas motosikal yang mereka naiki merempuh belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti di lorong kecemasan.

Kejadian menyayat hati itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari rumah menuju ke kolej, membawa bersama impian dan cita-cita yang tidak sempat digapai.

Iklan

Siti Nurzulaikha disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Abangnya pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas akibat kecederaan parah.

Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan penuh rahmat dan ketenangan bertukar menjadi detik paling perit buat keluarga ini.

Iklan

Dalam sekelip mata, dua permata hati pergi serentak. Bayangkan bagaimana sunyinya rumah yang sebelum ini diisi dengan gelak tawa dua beradik yang saling melengkapi.

Menurut kenalan rapat, kedua-duanya dikenali sebagai anak yang baik, ringan tulang dan tidak pernah berkira membantu keluarga. Mereka bukan sahaja rapat sebagai adik-beradik, malah sering dilihat bersama ke mana-mana ke kelas, ke program kolej, malah dalam perjalanan rutin harian.

Jenazah kedua-duanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Teroi, kira-kira jam 3 petang Isnin. Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila lebih 300 orang hadir memberikan penghormatan terakhir, termasuk rakan-rakan serta warga kolej.

Sesungguhnya, kematian tidak mengenal usia. Perginya mereka berdua menjadi peringatan bahawa hidup ini terlalu singkat dan penuh dengan rahsia Ilahi.

Semoga roh Siti Nurzulaikha dan Luqman Nulrois ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan dikurniakan syurga tanpa hisab. Al-Fatihah.