MSU santuni 200 anak yatim, sumbang RM120,000 sempena Ihya Ramadan 2026

Iklan

Keindahan Ramadan bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga tetapi menyuburkan nilai empati serta keprihatinan terhadap insan memerlukan.

Atas semangat itu, Management and Science University (MSU) menerusi program MSU Ihya Ramadan 2026 menganjurkan Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Anak-Anak Yatim 2026 di Dewan Canselor, kampus induknya di sini, pada 27 Februari lalu.

Iklan
Iklan

Program itu menghimpunkan 20 rumah kebajikan sekitar Lembah Klang melibatkan kira-kira 200 penghuni yang diraikan dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan.

Majlis disempurnakan Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid yang turut menyampaikan sumbangan wang zakat dan duit raya daripada Yayasan MSU berjumlah RM120,000 kepada rumah kebajikan serta para penghuninya.

Iklan

Antara rumah kebajikan terlibat adalah Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras; Rumah Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa; Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin; Pusat Jagaan Amal Asyura; Madrasah Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah; serta lima rumah kebajikan baharu iaitu Pertubuhan Kebajikan Raudhatul Al-Faeez; Pertubuhan Rumah Anak Yatim dan Miskin Sungai Pinang, Klang; Pertubuhan Pendidikan dan Pembangunan Sosial Ibn Battuta; dan Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia.

Iklan

Hubungan antara MSU dan rumah-rumah kebajikan ini bukanlah baharu. Kerjasama yang terjalin sejak tahun 2011 itu terus diperkukuh setiap tahun, bukan sekadar melalui pengagihan dana, malah melibatkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bersama warga kampus.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid; Naib Presiden Kanan Endowmen dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof; barisan pengurusan kanan universiti serta wakil-wakil rumah kebajikan dan anak-anak yatim.

Majlis penyerahan zakat dan duit raya ini menjadi tradisi tahunan MSU, mencerminkan komitmen universiti dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat serta menyuburkan budaya bersyukur dan memberi atau 2G Culture dalam kalangan warga kampus dan masyarakat.

Sepanjang Ramadan tahun ini, MSU Ihya Ramadan 2026 turut menyaksikan pelaksanaan lebih 657 aktiviti melibatkan warga kampus, komuniti setempat dan komuniti antarabangsa. Antara golongan yang disantuni termasuk anak-anak yatim, asnaf, mualaf, kategori B40, Orang Asli, petugas barisan hadapan, pelajar MSU dan Kolej MSU, pelajar sekolah serta rakan industri.

Program Ihya Ramadan 2026 digerakkan melalui lima teras utama iaitu RamadanCare, RamadanShare, RamadanRecharge, RamadanVibes dan RamadanConnect membuktikan Ramadan di MSU bukan sekadar acara tahunan, tetapi gerakan menyeluruh menyentuh pelbagai lapisan komuniti.

Di sebalik angka dan statistik, yang lebih bermakna ialah senyuman anak-anak yang diraikan tanda bahawa Ramadan terus menjadi jambatan kasih antara institusi pendidikan dan masyarakat.