Penuntut IPT Sabah terima 'duit raya' menerusi program SENTOSA

Iklan
Hajiji menyampaikan sumbangan menerusi insiatif SENTOSA kepada pelajar Politeknik Kota Kinabalu di Dewan Rafflesia Politeknik Kota Kinabalu.

Kegembiraan Aidilfitri tahun ini pastinya lebih bermakna buat kira-kira 30,000 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Sabah apabila menerima bantuan wang menerusi program Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA).

Setiap anak Sabah yang menuntut di IPT menerima bantuan sebanyak RM300 untuk tujuan meringankan beban perbelanjaan mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan itu diwujudkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa anak-anak Sabah yang berusaha menimba ilmu demi masa depan diri, keluarga dan negeri.

"Tahun ini, dianggarkan seramai 30,000 pelajar IPT Sabah yang menuntut dalam negeri akan menerima manfaat bantuan SENTOSA.

Iklan

"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar, khususnya untuk pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif SENTOSA 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu di sini, pada Khamis.

Pada majlis itu, seramai 3,366 pelajar Sabah di Politeknik Kota Kinabalu turut menerima bantuan SENTOSA secara tunai.

Iklan

Tambah beliau lagi, bantuan tersebut antara 14 inisiatif pendidikan dilaksanakan kerajaan Sabah dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap pembangunan modal insan di negeri ini.

Katanya, secara keseluruhan kerajaan negeri membelanjakan RM210.25 juta dalam tempoh lima tahun untuk melaksanakan inisiatif tersebut dan seterusnya memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar di seluruh Sabah.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan kesemua inisiatif pendidikan tahun ini yang turut merangkumi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI); Bantuan Ihsan Komputer (BAIK); Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI); Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI); Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS); Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH); Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU).

Turut diteruskan iaitu program Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA); Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA); Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY); SENTOSA; Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One-Off (SUKSES) dan bantuan terbaharu ialah Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU).

"Inisiatif ini berbentuk dana dan kemudahan bagi pelbagai tujuan termasuk pendaftaran pelajar IPT, program pendidikan serta kelengkapan kemudahan dan digital selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," katanya.

Hajiji dalam pada itu menegaskan, walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, kerajaan negeri tetap proaktif menjalin kerjasama berterusan demi memastikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat di Sabah.

"Usaha ini selari dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026-2030 yang menjadi pelan strategik utama melonjakkan daya saing dan produktiviti negeri secara mampan serta inklusif.

"Pelajar adalah pemimpin pelapis masa depan. Tumpukan perhatian kepada pembelajaran dan latihan kerana ilmu adalah kunci utama memajukan negeri dan negara.

"Jadi, manfaatkan sepenuhnya subsidi tiket, bantuan tunai dan zakat yang disediakan kerajaan, selain mengambil tahu setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk pembangunan infrastruktur air, jalan raya dan elektrik," katanya.