Hayati hikmah diturunkan al-Quran

Iklan
Peristiwa penting ini kemudiannya dikenal sebagai Nuzul al-Quran, yang mana turunnya ayat al-Quran buat pertama kali dari Malaikat Jibril kepada baginda Nabi ﷺ, iaitu Surah al-‘Alaq ayat 1-5. Gambar hiasan

'Iqra'! Kalimah ini bergema memecah kesunyian malam di Gua Hira' pada tanggal 17 Ramadan Tahun 610 Masihi.

Peristiwa penting ini kemudiannya dikenal sebagai Nuzul al-Quran, yang mana turunnya ayat al-Quran buat pertama kali dari Malaikat Jibril kepada baginda Nabi ﷺ, iaitu Surah al-‘Alaq ayat 1-5.

Iklan
Iklan

Peristiwa bersejarah ini saban tahun disambut dan diperingati dengan pelbagai macam kegiatan.

Namun, bukan hanya sekadar 'sambutan', apa yang lebih utama ialah penghayatan terhadap hikmah diturunkan al-Quran yang seharusnya membekas di dalam dada sehingga dengan demikian hidup akan terasa indah dan penuh bermakna.

Iklan

Apabila dicermati, antara hikmah terbesar diturunkan al-Quran ialah sebagai petunjuk kehidupan, sepertimana telah digambarkan di dalam al-Quran,"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan di antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Imam Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya, ayat tersebut merupakan suatu pujian untuk al-Quran yang diturunkan oleh ALLAH sebagai petunjuk bagi hati para hamba yang mahu beriman, membenarkan dan mengikutinya.

Iklan

Al-Quran juga menjadi dalil dan hujjah yang terang lagi jelas bagi sesiapa yang memahami dan mentadabburinya, menunjukkan atas kebenaran petunjuk (al-Quran) sebagai penepis kesesatan, menjadi pembeza di antara kebenaran dan kesesatan serta perkara halal dan haram.

Imam al-Qurtubi pula di dalam kitab tafsirnya menghuraikan bahawa al-Quran telah menjelaskan perbuatan yang wajib dilakukan dan yang wajib ditinggalkan, menjelaskan apa yang boleh diambil dan apa yang tidak.

Ia juga menjadi piawai yang menentukan mana yang haq dan batil. 

Berdasarkan tafsiran di atas, umat Islam wajib menjadikan al-Quran sebagai petunjuk yang memandu dan memimpin kehidupan serta sebagai sumber hukum dan penyelesaian bagi seluruh masalah kehidupan.

Umat Islam wajib berpegang teguh dengan al-Quran sebagaimana Rasulullah dan para sahabat berpegang teguh dengannya.

Hanya kitab al-Quran sahaja yang layak dijadikan sebagai pegangan hidup, yang petunjuknya menjulang akar sehingga ke lubuk kalbu yang paling dalam serta menyusur ke segenap penjuru kehidupan. 

Secara mafhum mukhalafah (pemahaman terbalik), seseorang yang tidak berpegang teguh dengan al-Quran, hidupnya akan menjadi tidak terarah dan berantakan sehingga boleh mengakibatkannya terjerumus ke lembah kesesatan. 

Realitinya pada hari ini, ramai di kalangan umat Islam sendiri yang telah jauh daripada al-Quran.

Mereka mengabaikan al-Quran dengan tidak membacanya, atau hanya dijadikan sebagai bacaan tanpa memahami serta mengamalkan ajaran dan petunjuk yang terkandung di dalamnya.

Hal ini telah dikhabarkan melalui firman Allah Ta’ala perihal doa Nabi Muhammad ﷺ ketika merasa bimbang terhadap kaumnya yang meninggalkan al-Quran,"Dan berkatalah Rasul:"Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai." (Surah al-Furqan: 30)

Ayat di atas menggambarkan luahan hati Rasulullah ﷺ kepada ALLAH tentang sikap kaumnya yang meninggalkan dan mengabaikan al-Quran, padahal yang wajib bagi mereka ialah tunduk kepadanya (al-Quran), mendatangi hukum-hukumnya dan berjalan mengikutinya. 

Menurut tafsiran Imam Ibnu Kathir, hal-hal yang termasuk mengabaikan al-Quran ialah tidak mengimani dan membenarkannya, tidak mahu membaca dan mendengarkan bacaannya, tidak mentadabbur (mengkaji) dan memahaminya, tidak mengamalkan dan mematuhi perintah dan larangannya, berpaling darinya dan lebih memilih yang lain, baik berupa syair, nyanyian, permainan atau jalan hidup yang diambil dari selain al-Quran.

Oleh itu, sempena peringatan Nuzul al-Quran, alangkah baiknya bagi umat Islam untuk bermusahabah diri, apakah selama ini al-Quran telah benar-benar dijadikan petunjuk, sumber hukum sekaligus penyelesai segala masalah kehidupan?

Hidup di zaman penuh cabaran dan fitnah, sudah tiba masanya untuk umat Islam kembali kepada al-Quran, iaitu hidup di bawah naungan al-Quran dengan sentiasa berinteraksi dengannya. Antara cara berinteraksi dengan al-Quran ialah:

Pertama: Sentiasa membacanya. Ini merupakan peringkat awal interaksi seseorang dengan al-Quran.

Dengan membacanya, ia akan membuka jalinan komunikasi di antara manusia sebagai hamba dengan ALLAH sebagai Pencipta yang telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada jalan kebenaran.

Kedua: Memahami kandungannya. Hakikatnya, tidak cukup sekadar merutinkan membaca ayat suci al-Quran atau melantunkannya dengan suara yang merdu dan irama yang menyentuh.

Akan tetapi, perlu juga untuk memahami tuntutan dan tuntunan yang terkandung di dalamnya serta menggali dan menelaah mutiara hikmah yang tiada tara dalam memimpin hidup untuk menggapai bahagia.

Untuk memahami hikmah ayat-ayat al-Quran, perlu kepada bimbingan yang intensif dari para ulama melalui karya-karya tafsir dan majlis ilmu supaya pemahaman terhadap al-Quran semakin baik dan sempurna.

Ketiga: Mengamalkan petunjuknya. Tidaklah cukup memiliki ilmu dan hikmah tentang al-Quran seandainya tidak diamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya.

Mengamalkan ajaran al-Quran merupakan kunci utama untuk merasai hidup yang indah dan bahagia di bawah naungan al-Quran.

Sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dalam segala aspek kehidupannya, maka dirinya akan terarah dalam menapak jejak langkah kehidupan yang penuh mencabar.

Tuntasnya, al-Quran benar-benar tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan.

Ia merupakan kalamullah yang mengandungi kebenaran yang abadi, terpancar laksana bintang yang bergemerlapan, menghiasi langit dan bumi serta membawa suluh dan obor untuk menerangi kegelapan.

Oleh yang demikian, bersama-sama kita menghayati hikmah diturunkan al-Quran sekaligus memastikan al-Quran sentiasa dijunjung tinggi sebagai petunjuk hidup dengan membaca ayat-ayatnya, menghayati isi kandungannya dan meneladani petunjuk dan aturan yang termuat di dalamnya supaya dapat melahirkan generasi manusia yang berwawasan dan teguh dengan kebenaran. 

Wallahu a’lam.

Maklumat penulis

Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Johor, Dr Muhammad Fahmi Md Ramzan 

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my