Aidilfititri pastinya lebih meriah dengan pemberian duit raya. Pemberian ikhlas duit raya adalah bertujuan untuk menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran setelah sebulan berpuasa. Tradisi ini sangat dinanti-nantikan terutamanya oleh kanak-kanak.
Namun, di sebalik kegembiraan mereka menerima duit raya, terdapat tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh ibu bapa. Duit raya anak merupakan hak anak dan ibu bapa berperanan sebagai penjaga amanah.
Selain itu, ibu bapa juga perlu mendidik anak tentang amalan pengurusan kewangan yang baik memandangkan jumlah keseluruhan duit raya yang diterima selalunya adalah agak tinggi nilainya.
Laporan dari PNB Resesearch Institute (PNBRI) yang diterbitkan pada Oktober 2025 menunjukkan, pengaruh keluarga, budaya dan komuniti memberikan impak yang signifikan dalam membentuk tabiat menyimpan, bebelanja dan merancang kewangan.
Tidak lama lagi, umat Islam akan menyambut kehadiran bulan Syawal. Ibu bapa boleh mengambil peluang ini utk menerapkan amalan baik dalam pengurusan wang saku dan duit raya agar menjadi panduan dan ikutan kepada anak-anak di masa hadapan kelak.
Persiapan ibu bapa
Ibu bapa perlu mempersiapkan diri agar mereka dapat menguruskan duit raya anak dengan penuh rasa tanggungjawab.
Langkah pertama yang perlu diambil adalah dengan memastikan anak-anak sudah mempunyai akaun simpanan seperti Tabung Haji dan Akaun Bijak dalam Amanah Saham Bumiputera. Akaun sebegini boleh dibuka seawal usia kelahiran.
Sediakan juga tabung khas di rumah. Hasil tabungan sama ada dari duit raya atau wang saku, boleh didepositkan ke dalam akaun simpanan anak secara berkala.
Ini dapat membina tabiat menabung sejak kecil bagi meningkatkan disiplin dan kesejahteraan kewangan di masa hadapan.
Keduanya, ibu bapa dan anak-anak boleh berbincang dan menetapkan sasaran simpanan yang dirasakan munasabah. Sebahagian daripada simpanan tersebut boleh juga digunakan untuk anak-anak membeli barangan yang mereka idamkan seperti basikal atau permainan video.
Penetapan sasaran ini secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi dan memberikan elemen keterujaan kepada anak-anak. Ibu bapa juga boleh juga menetapkan ganjaran sekiranya sasaran tabungan dapat dicapai.
Wang yang telah dikumpul dalam tabung perlu didepositkan ke dalam akaun anak-anak secara berkala. Sebagai contoh setiap 3 bulan sekali. Ini bagi mengelakkan susut nilai terhadap simpanan tersebut dengan mendapatkan pulangan daripada akaun simpanan yang didepositkan.
Dalam era pendigitalan juga, ibu bapa boleh menyemak baki akaun simpanan anak secara dalam talian bagi memudahkan pemantauan pencapaian sasaran simpanan secara berkala.
Pendekatan mengikut peringkat umur
Ibu bapa perlu mengambil peluang ini untuk mengajar tentang nilai wang kepada anak-anak yang masih kecil.
Kanak-kanak perlu memahami bahawa wang bukan sekadar untuk dibelanjakan, tetapi juga untuk disimpan dan disedekahkan kepada golongan yang memerlukan.
Dengan memahami nilai wang, anak-anak akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan perbelanjaan.
Bantu anak-anak merancang bagaimana mereka boleh menggunakan duit raya. Sediakan senarai keperluan dan kehendak, serta menetapkan bajet untuk setiap kategori.
Dengan cara ini, anak-anak akan belajar membuat keputusan perbelanjaan yang bijak dan tidak boros. Terapkan juga nilai kesederhanaan dalam perbelanjaan.
Bagi anak-anak yang lebih dewasa, ibu bapa boleh menggalakkan mereka untuk mengaplikasikan ilmu matematik pengguna yang telah diterapkan dalam kandungan mata pelajaran Matematik tingkatan tiga di sekolah menengah.
Mereka boleh membuat anggaran nilai simpanan berdasarkan faedah simpanan semasa. Konsep faedah kompaun adalah sangat relevan dan boleh menarik minat anak-anak untuk menyimpan dan melabur.
Anak-anak pastinya lebih teruja apabila mereka dapat melihat sendiri hasil pulangan yang mereka peroleh daripada simpanan sebelum ini.
Ibu bapa boleh bersama-sama dengan anak remaja untuk menetapkan sasaran simpanan yang realistik untuk dicapai bersama. Sebagai contoh untuk membeli komputer riba bagi kegunaan di institusi pengajian tinggi kelak.
Dengan cara ini, ibu bapa secara tidak langsung akan menjadi contoh teladan dalam mengurus wang. Tunjukkan kepada anak-anak bagaimana anda menguruskan kewangan keluarga dengan bijak dalam mencapai sasaran kewangan.
Dengan melihat contoh yang baik, anak-anak akan lebih mudah memahami konsep pengurusan kewangan yang efisyen dan membentuk disiplin kewangan yang jitu.
Guna duit raya anak
Dalam dunia yang semakin mencabar, ibu bapa sering berdepan dengan tekanan kewangan yang boleh menyebabkan mereka terpaksa menggunakan duit raya anak untuk keperluan mendesak.
Cabaran seperti kos hidup yang meningkat, keperluan perubatan, dan kehilangan pekerjaan boleh menyebabkan ibu bapa mengambil langkah ini.
Ibu bapa tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan duit raya anak memandangkan duit itu adalah hak milik anak dan ibu bapa adalah pemegang amanahnya.
Justeru, Jabatan Mufti Negeri Selangor menggariskan tiga keadaan ibu bapa diharuskan untuk menggunakan duit raya anak.
Pertama, sekiranya perbelanjaan yang digunakan adalah untuk keperluan asasi anak seperti makan minum dan pelajaran.
Kedua, sekiranya ibu bapa dalam keadaan miskin menggunakan duit raya anak untuk keperluan peribadi yang sangat mendesak seperti membayar sewa rumah dan bil elektrik. Perbelanjaan dalam kategori ini adalah terhad kepada kadar keperluan sahaja tanpa bermewah-mewah.
Manakala kategori terakhir adalah harus bagi ibu bapa menggunakan duit raya anak untuk kegunaan peribadi yang tidak mendesak, tetapi penggunaan ini adalah berstatus pinjaman dan perlu digantikan semula.
Kesimpulan
Mengurus duit raya anak-anak adalah tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh ibu bapa. Ibu bapa juga mempunyai amanah untuk mendidik anak-anak mereka, termasuk dalam aspek pengurusan kewangan.
Dengan mengajar nilai wang, membuat tabungan, merancang perbelanjaan, menjadi contoh teladan, dan menggunakan pendekatan yang sesuai mengikut peringkat umur, ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka membina asas kewangan yang kukuh untuk masa depan.
Dengan cara ini, duit raya bukan sahaja dapat mencetus kegembiraan dan kesyukuran, tetapi juga peluang untuk menerapkan pendidikan kewangan yang berharga.
Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk kita mengambil tanggungjawab ini dengan serius dan memastikan amanah anak-anak kita adalah terjaga.
Dalam keadaan mendesak, pastikan kita mengikut panduan yang telah digariskan demi menjaga keberkatan hidup dan kebajikan anak-anak.
Maklumat penulis
Pensyarah Kanan Program Matematik Kewangan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Siti Masitah Elias & Karmila Hanim Kamil