Bukan alasan tetapi kekuatan

Iklan
Solehah mengakui tidak menyangka namanya diumumkan sebagai antara calon terbaik pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 yang berlangsung di SIRAJ SUBA.

Murid OKU penglihatan kongsi kisah manis raih 8A, 1B UPKK 2025

Tenang tutur katanya, lembut senyumannya namun di sebalik keperibadian itu tersimpan jiwa yang cukup luar biasa.

Nurul Aina Solehah Zainuddin, 12, bukan sekadar murid biasa.

Iklan
Iklan

Kekurangan penglihatan yang dimilikinya tidak pernah dijadikan alasan untuk mengalah, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus membuktikan kemampuan diri.

Hasilnya, dia berjaya meraih keputusan cemerlang 8A dan 1B dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025.

Iklan

Kejayaan manis itu menjadi detik paling bermakna dalam hidupnya sebagai murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan, Kuala Terengganu, Terengganu. 

Nurul Aina Solehah yang lebih selesa dengan panggilan Solehah mengakui tidak menyangka namanya diumumkan sebagai antara calon terbaik pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 yang berlangsung di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi Saidina Othman Ibnu Affan (SIRAJ SUBA), Kuala Lumpur.

Iklan

"Tak sangka boleh dapat keputusan cemerlang sebab mata pelajaran Akidah susah sikit, saya tidak jangka dapat semua A," kongsi murid ini.

Di sebalik kejayaan itu, terserlah personaliti Solehah yang tekun dan berdisiplin.

Dia kerap mengulang kaji di rumah serta sentiasa menerima dorongan guru yang yakin dengan kebolehannya.

Tidak terhenti di situ, Solehah menyimpan impian untuk bergelar seorang guru dan berhasrat untuk meneruskan persekolahan dalam aliran Bahasa Arab apabila melangkah ke sekolah menengah nanti.

Tekad dan kesungguhannya membuktikan setiap kekurangan mampu menjadi kekuatan apabila disulami usaha serta keyakinan diri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada Nurul Aina Solehah yang meraih keputusan cemerlang dalam UPKK, sambil disaksikan ibu bapanya.

Hadiah 8A penuh makna

Rasa syukur jelas terpancar pada wajah seorang ibu apabila menceritakan kejayaan anaknya meraih 8A dalam UPKK. 

Bagi Latipah Salleh, 45, kecemerlangan itu bukan hadir secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada sikap anaknya yang sentiasa mendengar kata dan mudah menerima teguran.

"Alhamdulillah, anak kita ni cemerlang, mendapat 8A. Solehah seorang anak yang mendengar kata ibu bapanya, mudah ikut arahan dan boleh mendisiplinkan diri dengan masa," kongsinya penuh syukur.

Latipah yang juga guru pendidikan khas berkata, disiplin diri menjadi kunci utama kejayaan anaknya.

Di rumah, dia tidak pernah jemu membimbing Solehah mengulang kaji pelajaran serta membuat persediaan rapi sebelum menduduki UPKK.

"Rutin ulang kaji disusun teratur agar Solehah dapat fokus sepenuhnya terhadap setiap subjek yang dipelajari.

"Saya hargai peranan besar pihak sekolah yang banyak membantu sepanjang pembelajaran di kelas KAFA.

"Sokongan dan komitmen guru-guru membimbing murid menjadi pelengkap kepada usaha di rumah," katanya lagi.